Shakira Buang
ULASAN | Apabila pemimpin, perwakilan dan pemerhati Umno berkumpul di dewan bangunan yang menempatkan ibu pejabat parti itu mulai malam ini, ia ditakdirkan mencatat sejarah tersendiri.
Buat pertama kali, Perhimpunan Agung Umno (PAU) menyaksikan mereka - walaupun menjadi kerajaan - adalah sebahagian daripada komponen pentadbiran yang diketuai PH.
Selepas bertahun-tahun berseteru, kali ini Umno akan berhimpun, berbahas, berucap dan membuat ketetapan dan pada ketika yang sama PH bukan lagi musuh mereka.
Justeru dipercayai tidak ada lagi kata-kata membakar semangat dan emosi untuk ahli parti itu 'berperang' dengan PH, sebaliknya mungkin kritikan dan serangan dialihkan kepada PN.
PAU kali ini berlangsung hanya beberapa ketika selepas Ahmad Zahid Hamidi - selalu presiden parti - memberikan persetujuan untuk membentuk kerjasama dengan PH sebagai kerajaan pusat.
Langkah Ahmad Zahid itu jugalah yang membawa kepada kerjasama PH-BN di beberapa negeri, khususnya Perak dan Pahang yang turut mengadakan pilihan raya negeri pada 19 Nov 2022.
Pada masa sama PAU ini juga dijangka akan menjadi cerminan kepada orang ramai untuk membaca serta mentafsir penerimaan perwakilan terhadap keputusan Ahmad Zahid dan sekutunya.
Ketika boleh dijangkakan ada suara yang membantah muncul, isu sekarang ialah bagaimana ia diuruskan oleh parti, dan sejauh mana keterbukaan Umno untuk mendengar keluhan akar umbi.
Untuk berlaku adil, PAU yang bermula esok sehingga Sabtu nanti juga menyediakan ruang buat Ahmad Zahid berucap secara terus di depan ahli parti.
Terserahlah kepada ahli parlimen Bagan Datuk itu sama ada dia mahu membuat kenyataan yang macam mana, atau jika dia mahu membela diri, malah memberikan sekali lagi justifikasi terhadap pendiriannya membawa Umno berdampingan dengan PH.
Tiada jemputan buat PH
Perhatian juga dijangka akan tertumpu kepada isu yang menegangkan pendirian Umno sebelum ini apabila mereka berkeras dengan pendirian ‘No Anwar, No DAP, No Bersatu’.
Ia adalah mantera Umno selepas mereka didakwa pihak luar - khususnya PN - sedang mempersiap diri bekerjasama dengan PH selepas PRU ke-15 berakhir.
Satu lagi tumpuan besar ialah ucapan dasar presiden.
Seperti selalu ucapan dasar itu akan menjadi kunci kepada perwakilan untuk berbahas hampir apa saja yang dirasakan wajar termasuk memungkinkan semakin terzahirnya keretakan dalaman di antara kem Ahmad Zahid dan mereka yang menolaknya.
Berdasarkan apa yang berlaku sebelum kerajaan perpaduan dibentuk, di seberang kem Ahmad Zahid ialah beberapa pemimpin kanan Umno termasuk Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussien.
Ismail Sabri ialah naib presiden Umno, manakala Hishammuddin adalah bekas naib presiden.
Justeru dapat juga difahami mengapa Umno memutuskan untuk tidak menunjukkan sikap mesra lagi hangat kepada parti seperti PKR dan DAP.
Dengan ketetapan itu Umno tidak memanjangkan jemputan kepada mana-mana parti dalam PH di sebalik hakikat mereka bersama-sama membentuk kerajaan pusat.
PAU 2022 dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan akan dihadiri 6,198 perwakilan dan pemerhati.
Secara umum ia bolehlah dianggap sebagai perhimpunan untuk menduga dalamnya tasik yang ada, dan besarnya riak-riak ombak di permukaan.
Terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin serta ahli akar umbi Umno untuk memastikan mereka tidak karam ketika bahtera mereka bergoncang dilanda ribut dan taufan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan