Willie Jude
KOTA KINABALU: Satu majlis angkat sumpah jemaah menteri dikatakan bakal berlangsung di Istana Negeri, di sini, pagi esok.
Surat jemputan kepada ADUN, aturcara majlis dan surat pemakluman daripada Istana Negeri kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu turut tular di media sosial, hari ini.
ADUN Barisan Nasional (BN), James Ratib antara nama dikatakan dijemput dalam surat yang tular itu.
Ketika dihubungi, beliau tidak menafikan atau mengesahkan menerima jemputan daripada Istana Negeri.
“Mungkin betullah tu, tapi saya belum nampak surat jemputan itu (secara fizikal) lagi,” katanya ringkas.
James salah seorang daripada lima ADUN BN yang menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Hajiji Noor kekal sebagai ketua menteri. Empat lagi ADUN Umno yang menyokong Hajiji ialah Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Dr Yusuf Yacob (Sindumin), Jasnih Daya (Pantai Dalit), dan Arshad Bistari (Tempasuk).
Sementara itu, sumber yang rapat kepada Umno Sabah mengesahkan tiada seorang pun ADUN yang memihak kepada Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin dijemput ke majlis itu.
Selain itu, sumber daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) turut mengesahkan tidak menerima sebarang jemputan.
Terdahulu, Umno Sabah, Warisan dan PKDM menyatakan sokongan mereka terhadap saranan perdana menteri agar kerajaan perpaduan diwujudkan bagi menyelesaikan kemelut politik di Sabah.
Hari ini, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata, saranan Anwar ialah agar pembentukan kerajaan perpaduan di Sabah yang melibatkan semua parti dalam kerajaan persekutuan.
Warisan dan PKDM adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang diterajui Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan