MALAYSIADATELINE
Agenda memperkukuh semula UMNO perlu diutamakan setelah ‘terpukul’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding melayani kehendak individu yang bersifat ‘gunting dalam lipatan,’ kata Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi pada PRU15.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata ahli UMNO setiap peringkat perlu menggunakan pendekatan kebijaksanaan politik dan tatasusila dalam usaha pengukuhanan parti.
“Matlamat untuk menyatupadukan parti secara majoriti adalah lebih utama daripada melayani satu, dua gunting di dalam lipatan yang tidak pernah berhenti untuk menggunting agar lipatan itu berderai,” katanya pada program Naratif Khas Bersama Timbalan Perdana Menteri terbitan RTM malam ini.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, sebaliknya mengajak ahli UMNO untuk bermuhasabah dan bersatu dari segi pemikiran, hati nurani serta tindakan bagi mengembalikan semula kekuatan parti yang sebelum ini menjadi tunjang memartabat bangsa, agama dan negara.
“Marilah kita muhasabah, melakukan kritikan kendiri tentang apa yang telah dilakukan, bukan dengan menuding jari kepada hanya seorang.
“Ramai yang bertanggungjawab, saya amat tahu bahawa apa yang berlaku adalah harga mahal yang terpaksa kita bayar atas tidak adanya penyatuan pemikiran,” katanya.
Beliau juga berkata mesyuarat semua UMNO Bahagian bagi tahun ini akan dijalankan serentak di seluruh negara yang memfokus kepada pemilihan di peringkat bahagian dan pusat.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memberikan tarikh khusus bagi mesyuarat itu namun berkata Perhimpunan Agung UMNO 2023 akan diadakan pada pertengahan tahun ini.
“Persidangan bahagian-bahagian untuk 2023 akan dijalankan serentak di seluruh negara pada hari yang sama dan ketika itulah akan ada pemilihan untuk memilih kepimpinan di peringkat bahagian dan juga kepimpinan di peringkat nasional,” katanya.
Pada Julai lepas, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan meluluskan permohonan berkaitan pindaan Perlembangaan parti itu supaya pemilihan di semua peringkat diadakan tidak lebih enam bulan selepas Pilihan Raya Umum.
Sementara itu, Perhimpunan Agung UMNO 2022 dijadual berlangsung dari 11 hingga 14 Jan ini selepas ditangguhkan ekoran PRU15.
— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan