FMT Reporters
PETALING JAYA: Keputusan Perhimpunan Agung Umno meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan mendapat kritikan warganet.
Rata-rata pengguna media sosial menjangkakan keputusan itu hanya akan membiarkan Umno “terkubur” dan memberi risiko terhadap kedudukan parti yang sebelum ini kalah teruk pada PRU15 dengan hanya memperoleh 26 kerusi Parlimen.
Seorang pengguna Facebook Ali Jaafar menulis di ruangan komen, “Umno akan terkubur selepas ini kerana tiada pertandingan jawatan tertinggi”.
Manakala seorang lagi pengguna, Nordin Lokman menerusi ruangan komen di Umno Online berkata, “nampaknya Umno akan terus karam jika kepimpinan sekarang terus berkuasa setelah kalah teruk pada PRU15”.
Dalam pada itu, menerusi ruangan komen di Facebook Umno Online ada juga sebilangan warganet mengkritik usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan kerana ia memberi gambaran Umno seakan menolak demokrasi dan takut kalah bertanding.
“Umno bangkit mencanak lepas pemilihan 1987, kali ini kalau tiada pemilihan Umno tidak bangkit bersama pimpinan yang takut kalah bertanding,” tulis warganet dengan akaun bernama Syed Faisol Aljafree
“Aku tidak sangka parti yang aku sayang cintai adalah sebuah parti yang tolak demokrasi,” tulis Mohd Nasrihan.
Sementara di Twitter, pengguna bernama @mrfirdausjailan pula menulis, keputusan itu menandakan demokrasi dalam Umno terkubur bersama karier politik bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang sebelum ini mendakwa wujud “perwakilan import” untuk menyokong usul tersebut.
Terdahulu, majoriti perwakilan menyokong usul dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan sekali gus menandakan jawatan Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dan timbalannya Mohamad Hasan tidak akan dipertandingkan pada pemilihan mesti dibuat sebelum 19 Mei.
Pemilihan presiden dan timbalan presiden Umno menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan