"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ismail Sabri tercicir dari senarai 'menteri angkat' Zahid

Malaysiakini

Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob diketepikan daripada tanggungjawab menjaga Umno negeri-negeri melalui 'projek menteri angkat' yang diperkenalkan Ahmad Zahid Hamidi.

Nama Ismail Sabri tiada dalam senarai tersebut di sebalik langkah presiden Umno berkenaan memberikan kepercayaan kepada dua naib presiden lain.

Mohamed Khaled Nordin yang juga menteri pengajian tinggi dilantik menjadi menteri angkat bgi Terengganu, manakala Mahdzir Khalid menjaga Kedah.

Bagaimanapun ketika ini Mahdzir bukanlah anggota kabinet selepas kalah di kerusi Padang Terap dalam PRU ke-15 lalu.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan diberi kepercayaan 'menjaga' Negeri Sembilan. Mohamad ialah menteri pertahanan.

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir pula menjadi pilihan Ahmad Zahid mengelolakan Kelantan, manakala ahli parlimen Pengerang Azalina Othman Said di Pulau Pinang.

Azalina ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang dan reformasi institusi, manakala Zambry kini menjadi menteri luar.

Bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pula menjadi menteri angkat bagi Selangor.

Senarai itu diumumkan Ahmad Zahid semasa menggulung perbahasan petang ini.

Senarai tersebut dikeluarkan Ahmad Zahid sebagai menjawab persoalan dibangkitkan perwakilan mengenai persediaan Umno menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

"Untuk memastikan fokus dan strategi gerak kerja dapat disusun dengan baik, sesuai dengan cadangan yang dikemukakan oleh jurucakap, kita akan melantik anggota MT (majlis tertinggi) dan menteri angkat bagi setiap negeri yang terlibat," katanya.

Bagi memastikan semua gerak kerja tersebut berjalan lancar pula, Ahmad Zahid berkata, Majlis Kerja Tertinggi Umno bersetuju melantik bekas ahli parlimen Kepala Batas, Reezal Merina Naina Merican sebagai penyelaras operasi PRN.

Tiada ulasan: