Keputusan KJ sokong Anwar strategi survival politik
Raevathi Supramaniam
PETALING JAYA: Penganalisis politik berpandangan tindakan Khairy Jamaluddin mengumumkan sokongan terhadap kerajaan Anwar Ibrahim sebagai luahan seseorang yang mahu mencari survival politik.
James Chin, profesor dari Kajian Asia di University of Tasmania, memberitahu FMT beliau percaya bekas menteri kesihatan itu melihat peluang lebih baik baginya dengan kerjasama Umno dan Pakatan Harapan (PH), berbanding Perikatan Nasional (PN).
Katanya, ini kerana Khairy berdepan prospek yang terhad di bawah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
“Boleh jadi sikap untuk menjadi reformis ini sebagai usaha mengukur reputasinya kerana dia sentiasa menonjolkan dirinya seperti ini dalam Umno,” katanya.
Chin berkata, pengumuman Khairy itu mengejutkan mengambil kira pendiriannya sebelum ini keberatan menyokong Anwar sebagai perdana menteri.
“Tapi, saya kira jika Umno mengorak langkah mahu bekerjasama dengan PN sekali lagi, peluangnya akan menjadi terhad.”
Semalam, berucap dalam forum anjuran Institut ISEAS-Yusof Ishak, Khairy berkata, Umno akan terus menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar sekiranya beliau dan sekutunya menguasai kepimpinan dalam pemilihan parti.
Chin berkata, Khairy kurang popular dalam kalangan akar umbi Umno dan berkemungkinan gagal dalam impiannya memimpin parti.
Khairy bertanding merebut jawatan presiden Umno, pada 2018 namun kalah.
Dalam pada itu, Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), berkata Khairy sepatutnya tidak bercakap mewakili sekutunya menyokong Anwar.
“Masalah sebenar timbul sama ada beliau boleh memberi jaminan sekutunya juga bersetuju dengannya. Apa jadi kalau sebaliknya?
“Kita masih tidak tahu apa sentimen di akar umbi. Ramai dalam Umno sendiri yang berpandangan PN pilihan lebih baik dalam jajaran politik,” katanya.
Katanya, Anwar perlu berhati-hati dengan sokongan ditunjukkan Khairy, memandangkan rekodnya sebelum ini menyokong bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.
Sementara itu, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata berkemungkinan Khairy tidak mampu menandingi Zahid dalam pemilihan parti.
“Khairy sekadar mahu memancing. Zahid menerima sokongan meluas akar umbi dan bahagian,” katanya. “Kepercayaan dalam politik bersifat komoditi yang mahal dan boleh dipindahkan serta tidak kekal.”
Perhimpunan Agung Umno 2022 bermula hari ini hingga Sabtu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan