Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas kecoh dua kejadian pencerobohan puncak bangunan kedua tertinggi di dunia, Menara Merdeka 118, timbul pula insiden pelancong dari China yang menerbangkan dron di menara berkenaan.
Pelancong China terbabit menerbangkan dron untuk mengambil gambar dan video menara berkenaan sebelum terlanggar bangunan itu dan terhempas.
Dalam video yang dimuat naik di aplikasi media sosial China, Bilibili, individu berkenaan memaklumkan dia menerbangkan dron bagi menunjukkan ketinggian Menara Merdeka 118.
Ketika berada di kawasan bangunan berkenaan, pelancong itu bertanyakan kepada pekerja warga asing sama ada dibenarkan menerbangkan dron berhampiran menara itu.
Pekerja warga asing itu kemudian terus membawa pelancong berkenaan ke laluan di bahagian belakang dan selepas memilih tempat di platform yang tinggi, pelancong itu kemudian menerbangkan dron untuk mengambil gambar dan video di ruang udara sekitar bangunan berkenaan.
Bagaimanapun, dron itu kemudian hilang kawalan sebelum dan melanggar bangunan terbabit sebelum terhempas menyebabkan lelaki terbabit panik.
Pelancong berkenaan yang dilihat panik berlari di sekitar bangunan itu untuk mendapatkan semula dron terbabit dan video berkenaan tamat dengan gelagat lelaki itu berlari dalam keadaan panik untuk mencari dron miliknya.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi memaklumkan tiada laporan diterima pihaknya berhubung kejadian itu setakat ini.
Sementara itu, pihak PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang membuat semakan berhubung perkara berkenaan.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan di menara Merdeka 118 susulan terdapat satu lagi rakaman video tular bangunan berkenaan diceroboh sekumpulan lelaki, baru-baru ini.
PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad dalam kenyataan, kelmarin, memaklumkan insiden itu berlaku pada 1 Mei tahun lalu.
Sebelum ini, media melaporkan pasangan dari Rusia, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau memuat naik rakaman dari puncak berkenaan di laman sesawang SkyscraperCity.com.
Pasangan itu turut menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara itu untuk naik ke puncak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan