NIK HASYUDEEN
Pagi ini saya membaca satu hantaran Puan Ainon Mohd (Puan Ainon Mohd) berkenaan kos tetap di dalam perniagaan. Dia pesan jika nak minum susu, beli susunya, bukan beli lembu.
Ini mengingatkan saya berkenaan cadangan supaya Tabung Haji membeli Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) di satu masa lalu.
Di kala itu MAS menghadapi masalah dan ada pihak yang mencadangkan supaya Tabung Haji membelinya kerana memudahkan Tabung Haji menjalankan urusan hajinya.
Lalu, insan yang mengilhamkan Tabung Haji iaitu Ungku Aziz telah menegur “jika nak makan durian belilah buahnya, jangan beli kebun durian”. Ini adalah satu teguran yang amat bernas. Akhirnya, MAS dibantu dengan cara lain.
Semasa saya berkhidmat di Suruhanjaya Sekuriti (SC), ada sahabat yang selalu mengingatkan “janganlah kita mewujudkan penyelesaian yang mencari masalah”.
Ini adalah kerana SC sentiasa membentuk polisi yang diguna pakai di pasaran modal. Pesanan berkenaan adalah supaya polisi kita tidak menjadi sebab mewujudkan masalah yang baharu yang tidak wujud sebelum polisi demikian diperkenalkan.
Puan Ainon mahu mengingatkan usahawan supaya berfikir betul-betul di dalam menyelesaikan masalah perniagan mereka. Janganlah penyelesaian itu membawa masalah yang lebih besar dan berpanjangan.
Pak Ungku pula mungkin mahu menegur isu yang lebih besar. Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menguasai dana yang besar.
Maka, ada lah pihak yang mahu mengambil kesempatan dengan membawa pelbagai cadangan supaya dana berkenaan dapat mereka tebuk.
Untuk mencantikkan kerja mereka ini, mereka wujudkan slogan yang sedap bunyinya. Tabung Haji sebagai tunggak ekonomi umat Islam. Bila dah jadi tunggak mudahlah berbelanja di sana sini.
Saya pernah membaca kertas cadangan Pak Ungku berkenaan Tabung Haji. Matlamatnya satu sahaja, mahu membantu orang Islam untuk menabung supaya mereka tidak perlu menjual aset-aset yang lain seperti rumah, tanah dan binatang peliharaan mereka apabila sampai masa untuk menunaikan haji.
Dana yang dikumpulkan dilabur di dalam pelaburan yang bersesuaian selari dengan sebuah tabungan.
Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji Malaya (PWSBH) yang ditubuhkan di dalam tahun 1963 hanyalah sebuah institusi yang menguruskan tabungan semata-mata. Ia tidak ada tanggungjawab untuk menguruskan kerja-kerja haji.
Lembaga Urusan dan Tabung Haji hanya ditubuhkan pada tahun 1969 di mana tabungan dan urusan haji digabungkan. Jadi, konsep subsidi haji pun adalah satu ”bid’ah” yang diperkenalkan hanya pada tahun 2001.
Kegilaan untuk membeli kebun durian hanya kerana teringin nak makan durian ini banyak masalahnya. Kebun durian perlu diurus secara pakar.
Kalau salah urus boleh membawa kerugian pula. Dari nak makan durian akhirnya kena menanggung biawak hidup.
Saya amat berharap kita mencari penyelesaian dengan cara yang berhati-hati terutamanya apabila melibatkan dana awam atau dana pihak ketiga seperti yang diuruskan oleh GLIC.
Jika penyelesaian yang dipilih menyebabkan rakyat, pendeposit, pencarum dan pesara menanggung kos yang tidak patut mereka tanggung, itu adalah satu pengkhianatan walaupun dibuat di atas slogan-slogan berbunyi “mulia”.
Di akhirat nanti, macam mana nak jawab?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan