"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Biar kami dengar apa Presiden nak kata dulu'

Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Biar kami dengar dulu apa yang Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) nak katakan," kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung kemelut politik di Sabah.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan pengguguran Datuk Seri Bung Moktar Radin daripada barisan Kabinet baru Sabah yang diumumkan hari ini.

Menurutnya, isu berkenaan mungkin antara yang akan dibincangkan dalam Taklimat Khas Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022) pada petang ini.

"Mungkin ada beberapa pandangan mengenai apa yang berlaku di Sabah. Pada saya apa yang berlaku di Sabah terlalu cepat.

"Justeru, lebih baik kita dengar apa Presiden nak beritahu dulu," katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri taklimat khas berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Taklimat khas secara tertutup yang dijadualkan bermula jam 3 petang itu akan disampaikan oleh Presiden parti, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan.

Antara pemimpin politik yang dilihat hadir taklimat itu ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said, MKT yang juga bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar, Ketua Penerangan Umno Isham Jalil dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan rombakan Kabinet yang menyaksikan perubahan dalam lapan daripada 11 portfolio menteri negeri.

Seperti dijangka, tiga menteri dari BN iaitu Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag; Adun Krambunai Datuk Yakub Khan dan Adun Sukau, Datuk Jafry Arifin digugurkan.

Ia berikutan tindakan BN Sabah diketuai Bung Moktar menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan Ketua Menteri hingga mencetuskan kemelut politik minggu lalu.

Tiada ulasan: