FMT Reporters
PETALING JAYA: Pakatan Harapan Terengganu menganggap Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar dan Exco memboikot Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana tidak ada alasan berasas mewajarkan ketiadaan mereka ketika lawatan kerja ketua kerajaan pusat itu.
Ketua Penerangan Mohd Sufian Mat Ali menolak alasan tiada makluman rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri kerana setiausaha kerajaan negeri sendiri, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, hadir menyambut Anwar.
“Menteri besar dan Exco perlu muhasabah dan perbaiki profesionalisme mereka bagi kepentingan negeri berbanding politik mereka,” katanya dalam kenyataan.
Selepas lawatan kerja yang antara lain menyaksikan Anwar menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin, perdana menteri mengumumkan pertemuan dengan kerajaan negeri akan dibuat selepas “suhu politik dileraikan”.
Sultan Terengganu telah diberitahu mengenai perkara itu, yang tidak dijelaskan dalam kenyataan perdana menteri. Anwar berikrar setiap negeri akan diberi layanan setara dan saksama.
PH Terengganu membandingkan tindakan menteri besar Terengganu dan exconya dengan pemimpin Kelantan, yang sekalipun tidak membelakangi perdana menteri. Terengganu dan Kelantan masing-masing ditadbir PAS.
“Hubungan antara kerajaan negeri dan pusat seharusnya dilangsung dengan baik demi kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri,” kata Sufian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan