Malaysiakini
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyangkal spekulasi berkenaan seorang menteri PKR akan digugurkan daripada Kabinet.
Menurut laporan Sinar Harian hari ini, Rafizi yang juga timbalan presiden PKR menyifatkan spekulasi tersebut hanya polemik politik dan taktik lapuk untuk menyerang kerajaan.
"Saya nasihatkan begini, saya rasa ni taktik lapuk, apabila lawan kami tidak boleh berdepan hal penting untuk negara seperti hal ekonomi dan pentadbiran.
“Jadi diambil isu-isu picisan seperti ini untuk disebar dan dipolitikkan,” katanya seperti dipetik.
Pada 12 Ogos lalu, Free Malaysia Today memetik sumber yang membayangkan seorang menteri daripada PKR berisiko ditukar portfolio atau digugurkan daripada Kabinet atas faktor prestasi.
Laporan itu turut mendakwa seorang menteri besar dijangka dilantik sebagai menteri persekutuan.
Ia juga memetik sumber DAP yang mendakwa rombakan Kabinet mungkin dibuat pada akhir bulan ini, dengan beberapa timbalan menteri mungkin dilantik sebagai menteri penuh.
Namun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan spekulasi itu.
“Baru saya diberitahu. Macam mana saya tak dengar lagi? Siapa nak tolong reshuffle (rombak) tu? Saya tak dengar, serious ini, saya belum dengar,” katanya.
Sementara itu, Rafizi berkata sepanjang 25 tahun menjadi anggota PKR, parti itu dalam keadaan paling stabil dan aman pada masa ini.
“Tiada apa-apa masalah daripada PKR ketika ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan