"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 remaja maut, motosikal bertembung ketika 'wheelie'

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
KEADAAN motosikal yang terbabit kemalangan di Jalan Elmina Business Park, malam tadi. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN motosikal yang terbabit kemalangan di Jalan Elmina Business Park, malam tadi. FOTO Ihsan Polis
Sungai Buloh: Dua remaja menemui ajal selepas motosikal mereka bertembung ketika melakukan aksi 'wheelie' di Jalan Elmina Business Park, Aman Putri, Sungai Pelong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 11.20 malam.

"Kemalangan membabitkan dua penunggang motosikal kedua-duanya berusia lingkungan 13 tahun yang mengenali antara satu sama lain disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua motosikal bertembung di lalu bertentangan arah ketika melakukan aksi 'wheelie'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, jenazah kedua-dua mangsa yang tinggal di sekitar Kampung Kubu Gajah, di sini itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasatan.

Mengulas lanjut Mohd Hafiz berkata, kadar kemalangan maut membabitkan aktiviti berlumba atau menduga kelajuan menunjukkan peningkatan drastik sejak Januari hingga Ogos.

"Sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka membabitkan 11 penunggang motosikal maut dalam daerah Sungai Buloh setakat Ogos tahun ini.

"Peningkatan ini amat membimbangkan berikutan hanya tiga kertas siasatan dan tiga kematian membabitkan penunggang motosikal dicatatkan di sini tahun lalu," katanya.

Menurutnya, Ibu bapa harus peka dan cakna dalam mengawal aktiviti anak-anak bawah umur terutama pada waktu malam serta memastikan mereka tidak terbabit dengan aktiviti lumba haram.

Katanya, kegiatan itu bukan sahaja berbahaya dan boleh meragut nyawa sendiri malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Penunggang motosikal bawah umur dan penjaga mereka boleh dituduh di bawah Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda mencecah RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Ibu, bapa juga boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda mencecah RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tiada ulasan: