Bernama
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai penguat kuasa sebuah jabatan di Sabah kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok dan melepaskan barang penyeludupan.
Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki berusia 30 hingga 40-an itu ditahan kira-kira 4 petang hingga 11 malam tadi, dalam operasi dijalankan SPRM Sabah di pekan Keningau.
“Tangkapan melibatkan dua daripada pegawai penguat kuasa tersebut adalah susulan daripada tangkapan (ke atas) seorang pegawai penguat kuasa berkaitan kes sama iaitu disyaki meminta rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok sekitar Keningau dan melepaskan lori serta barang penyeludupan yang telah ditahan oleh jabatan itu.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai melakukan perbuatan itu baru-baru ini (Ogos 2024), katanya memetik sumber itu.
Sumber memaklumkan, semua suspek direman lima hari hingga 16 Ogos dan reman dibenarkan Majistret Aslianlydia Asneh selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan