FMT Reporters
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun kedai emas lepas tembakan apabila keretanya ditahan polis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang anggota polis terkena tembakan dalam satu kes cubaan bunuh di Kajang petang tadi.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata seorang lelaki melepaskan tembakan apabila pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang sedang meronda menahan keretanya, di susur masuk Tol Sungai Balak Lebuh Raya SILK.
Dalam kejadian tersebut, suspek enggan berhenti dan telah melepaskan tembakan ke arah pihak polis, katanya dalam kenyataan.
Pihak polis telah membalas tembakan dan suspek dipercayai mati terkena tembakan dalam kejadian tersebut.
Berita Harian melaporkan anggota polis yang terkena tembakan itu selamat, kerana memakai baju kalis peluru.
Sementara itu, polis berkata suspek seorang warga tempatan berusia pertengahan 30-an, dan mempunyai enam rekod jenayah samun.
Dia dipercayai terlibat dalam kejadian samun di kedai emas di Plaza Metro Kajang beberapa bulan lalu.
Pengunjung sebuah kompleks beli-belah berdepan detik cemas pada petang 17 Jun lalu, apabila sekumpulan individu bertopeng dan bersenjata merompak sebuah kedai emas.
Menurut laporan, empat orang suspek dilihat memakai baju seakan pengawal keselamatan memasuki premis itu, dan memecahkan cermin kaca simpanan emas menggunakan tukul.
Mereka dipercayai membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang, menurut polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan