MalaysiaNow
Dr Mahathir Mohamad yang pernah memberi amaran mengenai kebanjiran warga China yang menetap di Malaysia disebabkan pelbagai kelonggaran oleh kerajaan, mengulangi kebimbangan itu baru-baru ini di sebalik laporan bilangan penduduk dari tanah besar itu meningkat dua kali ganda sejak dua tahun lalu.
Bekas perdana menteri itu berkata pendatang dari tanah besar China lebih sukar dikesan oleh pihak berkuasa disebabkan kehadiran kaum Cina warganegara Malaysia, menjadikan mereka "mudah hilang".
Ia berbeza dengan penghijrahan bangsa lain yang lebih mudah dikenal pasti di kalangan masyarakat Malaysia.
Katanya ia merumitkan usaha pihak berkuasa memastikan sama ada mereka meninggalkan negara ini atau tidak.
"Itulah yang menyebabkan jumlah mereka banyak, kerana kita tidak boleh kenal pasti warganegara asal dengan orang pendatang," katanya dalam wawancara bersama MalaysiaNow baru-baru ini.
The Financial Times melaporkan peningkatan mendadak warga China yang menetap di Malaysia, daripada 82,000 pada 2022, kepada 150,000 hingga 200,000.
Selain pengecualian visa selama 30 hari, pelbagai insentif di bawah Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H), iaitu program kerajaan menarik rakyat asing membawa masuk dana dengan kemudahan visa jangka panjang, turut dilihat menggalakkan lebih ramai rakyat China memutuskan untuk menetap di Malaysia.
Sebelum ini, proses permohonan MM2H diletakkan di bawah kuasa Jabatan Imigresen.
Bagaimanapun, langkah pentadbiran kerajaan campuran meletakkan MM2H di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang diterajui Tiong King Sing - menteri yang agresif mempromosikan China di Malaysia - menyaksikan pelonggaran syarat penyertaan program itu.
Perkembangan itu menyebabkan pakar dan penganalisis mengingatkan Putrajaya mengenai cabaran dan kesan penghijrahan besar-besaran rakyat China ke Malaysia, di samping menggesa kerajaan menjadikan pengalaman di Singapura sebagai iktibar.
Ini termasuklah implikasi pada sektor hartanah dan pemilikan rumah, di mana pemaju akan lebih berminat membina hartanah mewah berbanding rumah mampu milik yang lazimnya dicari rakyat tempatan, di samping perubahan demografi dan kesan domino lain.
Mahathir merupakan antara pemimpin politik paling awal mempersoalkan usaha menarik rakyat China menetap di Malaysia, menjadikannya antara topik hangat pada pilihan raya 2018 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional.
Ia termasuk kritikan lantangnya terhadap projek Forest City yang kini dirundum masalah, yang menyasarkan ratusan ribu warga China untuk membeli hartanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan