KOSMO!
Eskalator ‘permaidani ajaib’ membawa pelancong naik ke puncak bagi menikmati pemandangan indah Air Terjun Detian. - Xiaohongshu/Weibo
BEIJING – Pihak berkuasa China menahan beberapa individu berikutan insiden berdarah di sebuah lokasi pelancongan popular di Jeram Detian dalam wilayah autonomi Guangxi Zhuang, lapor saluran berita Channel NewsAsia semalam.
Nahas pada 10 Ogos lalu itu melibatkan struktur menyerupai eskalator digelar ‘permaidani ajaib’ yang mengalami kegagalan fungsi.
Alat tersebut digunakan sebagai ‘pengangkutan’ untuk membawa pelancong mendaki gunung bagi menikmati pemandangan indah Air Terjun Detian yang terletak di sempadan China dan Vietnam.
Beberapa individu yang terlibat ditahan polis, kata pegawai tempatan dalam satu kenyataan kelmarin sambil menambah, siasatan sedang dilakukan.
Polis bagaimanapun tidak menyatakan bilangan individu yang ditahan atau identiti mereka.
Kenyataan itu juga menjelaskan lebih lanjut mengenai punca kemalangan, dengan menyatakan bahawa siasatan awal menunjukkan terdapat keretakan pada ‘sambungan engsel’ semasa alat itu beroperasi.
Menurutnya, alat tersebut yang sedang bergerak pada arah mendaki, secara tiba-tiba memecut ke arah berlawanan.
Ia menyebabkan orang ramai berlanggar antara satu sama lain dan membawa kepada kecederaan dan kematian.
Dalam kejadian itu, seorang meninggal dunia, manakala 60 yang lain cedera dengan seorang daripada mereka parah.
Tarikan pelancongan itu kini ditutup untuk tujuan penyelenggaraan dan pemeriksaan peralatan, manakala pihak pengurusan mengucapkan takziah dan memohon maaf kepada mangsa yang cedera dan keluarga mereka. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan