AFP
Bangkok: Mahkamah Perlembagaan Thailand memecat Perdana Menteri Srettha Thavisin daripada jawatan pada Rabu, atas dakwaan kes etika yang membawa kerajaan itu ke dalam pergolakan politik baharu.
Barisan hakim dengan keputusan 5-4 mendapati Srettha melanggar peraturan dengan melantik seorang peguam dengan sabitan jenayah ke dalam kabinetnya, dalam kes yang dibawa oleh sekumpulan bekas senator yang dilantik oleh bekas junta pemerintah Thailand.
Keputusan itu dibuat seminggu selepas mahkamah yang sama membubarkan pembangkang utama Parti Move Forward (MFP) dan melarang bekas pemimpinnya daripada politik selama 10 tahun.
"Mahkamah memutuskan dengan majoriti bahawa jawatan perdana menteri ditamatkan di bawah perlembagaan, kerana beliau tidak menunjukkan kejujuran dalam melantik menteri ini," kata Hakim Punya Udchachon ketika membaca penghakiman mahkamah.
Punya berkata bahawa Srettha pasti tahu tentang sabitan kesalahan peguam Pichit Chuenban pada 2008 apabila dia melantiknya ke kabinet.
"Pelantikan responden kedua (Pichit) menunjukkan responden pertama (Srettha) tidak mempunyai kejujuran dan melanggar piawaian etika," tambah Punya.
Srettha meninggalkan jawatan selepas kurang setahun memegang jawatan itu, perdana menteri ketiga dari parti Pheu Thai yang ditendang keluar oleh Mahkamah Perlembagaan.
Keputusan mahkamah menolak bukan sahaja Srettha tetapi juga seluruh kabinetnya, dan parlimen kini perlu bermesyuarat untuk memilih perdana menteri baharu.
Sememtara itu, Srettha berkata, dia menghormati keputusan mahkamah yang memecatnya daripada jawatan dalam kes etika.
"Saya menghormati keputusan itu. Saya mengulangi bahawa selama hampir setahun saya memegang jawatan ini, saya telah mencuba dengan niat yang baik untuk memimpin negara dengan jujur," kata Srettha kepada pemberita di luar pejabatnya selepas keputusan Mahkamah Perlembagaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan