"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas (OKU) 'ghaib' dari halaman rumah

Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my
Usaha pencarian Zaiton dilakukan penduduk disekitar Kampung Permatang Panjang di Jementah, Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Usaha pencarian Zaiton dilakukan penduduk disekitar Kampung Permatang Panjang di Jementah, Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Segamat: Keluarga warga emas, wanita orang kurang upaya (OKU) Zaiton Hamzah meminta bantuan orang ramai bagi mengesan wanita itu yang hilang sejak tiga hari lalu.

Zaiton, 60, didakwa kali terakhir dilihat berada di halaman rumahnya di Kampung Permatang Panjang, Jementah, Segamat, di sini, pada 7 Ogos lalu.

Adiknya, Zaidi Hamzah, 57, berkata, Zaiton yang mempunyai menantu dan cucu, disedari hilang kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin selepas dilihat bersiar di luar rumah.

"Dia keluar tanpa membawa dokumen pengenalan diri, berkaki 'ayam' dan memakai baju T kelabu dan berkain batik.

"Sejak itu pencarian terhadap Zaiton dilakukan di sekitar tempat awam di Segamat, Jementah dan Muar serta laporan polis sudah dibuat," katanya yang ditemui di Kampung Permatang Panjang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, selain mendapatkan khidmat bantuan pengamal perubatan Islam, keluarganya turut membawa gambar Zaiton di kawasan orang ramai termasuk stesen bas serta pasar awam, jika ada melihatnya.

Beliau juga mendakwa Zaiton mempunyai masalah kesihatan dan kadang kala mengalami hilang ingatan selain mempunyai masalah pendengaran.

"Pemeriksaan di hospital juga sudah dibuat namun tiada rekod namanya dan kini kami meneruskan pencarian di beberapa lokasi kebun sawit, kebun getah dan belukar di sekitar Jementah

"Sebelum ini, Zaiton sudah beberapa kali hilang namun berjaya ditemui kerana membawa kad pengenalan bersama," katanya lagi.

Susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Zaiton diminta berhubung dengan balai polis berhampiran.

Sementara Itu, Ketua Polis Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata wanita berkenaan kali terakhir dilihat berada di luar kediamannya di Kampung Permatang Panjang, Jementah pada kira-kira jam 4.30 petang, 7 Ogos lalu.

"Orang hilang (OH) bernama Zaiton Hamzah, berusia 60 tahun, berketinggian 153 sentimeter, berat 70 kilogram dan berkulit sawo matang.

"Laporan polis berkaitan kehilangannya dibuat oleh keluarga mangsa. Difahamkan mangsa berstatus OKU," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di talian 07-9312222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Tiada ulasan: