Yasmin Abdul Latif
SUBANG JAYA: Pesawat membawa 127 rakyat Palestin bagi mendapatkan rawatan tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang, petang tadi.
Penumpang adalah 41 pesakit bersama waris masing-masing yang seramai 86 orang, terdiri daripada lelaki, wanita, dan kanak-kanak dalam lingkungan usia 8 bulan hingga 62 tahun.
Mereka antara orang awam yang berlindung di Mesir susulan serangan Israel ke atas Gaza, yang setakat ini meragut hampir 40,000 nyawa.
Mereka yang datang ini adalah pesakit kronik, kebanyakan mengalami trauma dan kecederaan fizikal, kata Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin pada sidang media di lokasi.
Mereka diterbangkan dari Lapangan Terbang Pangkalan Tentera Udara Almaza, Mesir dengan menaiki dua pesawat Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia, yang berlepas semalam.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 4 Ogos lepas mengumumkan Malaysia akan membantu merawat rakyat Palestin yang cedera. Duta Mesir Ragai Nasr dilapor berkata negaranya kini menempatkan lebih 70,000 rakyat Palestin di 40 hospital.
Khaled memaklumkan rancangan membawa pesakit bersama waris mereka ke Malaysia dirangka selama dua bulan bersama kerajaan Mesir, selepas mengambil kira hospital medan berisiko menjadi sasaran rejim Israel.
Ia mempunyai risiko yang tinggi kerana tentera Israel tidak mengira…jadi kita bawa balik tanpa ada apa-apa gangguan, katanya.
Sementara itu, Duta Palestin Walid Abu Ali berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana sudi merawat rakyat Palestin di sini.
Saya pasti bahawa rakyat Palestin yang tiba di Malaysia akan merasakan Malaysia sebagai rumah kedua, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan