"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh budak 7 tahun, 2 remaja diarah bela diri

Bernama

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memerintahkan dua remaja membela diri atas pertuduhan asal membunuh kanak-kanak berusia tujuh tahun di sebuah pusat tahfiz, hampir lima tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu, selepas membenarkan permohonan rayuan pihak pendakwaan untuk menukar keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini meminda pertuduhan asal membunuh itu kepada menyebabkan kematian.

Pada 6 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi meminda pertuduhan asal membunuh kepada menyebabkan kematian dan memerintahkan kedua-dua remaja itu membela diri.

Dalam prosiding hari ini, Ahmad Zaidi berkata berdasarkan keterangan dikemukakan khususnya keterangan saksi dan pakar patologi, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap remaja tersebut.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga berjaya membuktikan unsur niat untuk membunuh.

Beliau kemudian memerintahkan kedua-dua remaja itu membela diri di hadapan pesuruhjaya kehakiman yang sama, Roslan Mat Nor di Mahkamah Tinggi Temerloh di Pahang.

Ahmad Zaidi yang bersidang bersama Hakim Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin, menetapkan tarikh 19 Ogos untuk sebutan kes di Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua remaja yang berusia 13 tahun ketika itu, didakwa membunuh kanak-kanak itu di asrama Maahad Tahfiz Nahdah Syubban Addiniyah di Kampung Kuala Kaung di Lanchang, Temerloh, Pahang antara 11.30 pagi dan 1.30 tengah hari pada 7 Nov 2019.

Pada 6 Mac tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Roslan memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur niat untuk membunuh dan dengan itu meminda pertuduhan kepada menyebabkan kematian.

Roslan kemudiannya mengarahkan mereka untuk membela diri atas pertuduhan tersebut.

Selepas keputusan itu, remaja terbabit memutuskan untuk mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian.

Mahkamah Tinggi mengarahkan penahanan kedua-dua remaja itu di Sekolah Henry Gurney untuk tempoh tiga tahun bermula 6 Mac 2023, sebelum pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Penemuan fakta pesuruhjaya kehakiman menunjukkan bahawa remaja itu menyerang mangsa di asrama. Mereka menumbuk perut mangsa, menghentak perutnya sehingga najis dan air kencingnya terkeluar, dan mencampakkan mangsa ke lantai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman, manakala remaja itu diwakili Amer Hamzah Arshad, Joshua Tay H’ng Foong dan Lee Yee Woei.

Tiada ulasan: