KOSMO
NEW DELHI – Seorang gadis berusia 19 tahun yang baru beberapa jam berkahwin didakwa dibunuh oleh suaminya selepas bertengkar petang Rabu lalu dalam kejadian di daerah Kolar, negeri Karnataka, lapor portal berita The Indian Express kelmarin.
Menurut polis, mangsa dikenali sebagai Likitha dan tertuduh sebagai Naveen, 27.
Wanita itu meninggal dunia di sebuah hospital kelmarin.
Polis berkata, kejadian berlaku di Chambarasabahalli sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan), hanya beberapa jam selepas Naveen dan Likitha berkahwin.
“Perkahwinan pasangan itu diadakan di dewan kampung Chambarasabahalli. Selepas majlis selesai, mereka meluangkan masa bersama saudara-mara,” kata seorang pegawai polis tempatan.
Menurut polis, Naveen membawa Likhitha ke rumah bapa saudaranya di mana mereka dihidangkan dengan minuman.
Beberapa minit kemudian, Naveen dan Likitha masuk ke dalam sebuah bilik dan menutup pintu.
Dalam tempoh beberapa minit berikutnya, saudara-mara lain terdengar mereka menjerit antara satu sama lain dan ketika menjenguk ke dalam bilik dari tingkap, Naveen dilihat sedang menyerang Likitha dengan parang.
Apabila berjaya membuka pintu, mereka mendapati Likitha terbaring berlumuran darah dan Naveen mengalami kecederaan.
Mangsa dibawa ke hospital berdekatan tetapi doktor mengisytiharkan Likitha telah meninggal dunia, manakala Naveen berada dalam keadaan kritikal.
Polis masih belum dapat memastikan punca pergaduhan mereka dan bagaimana Naveen boleh mendapatkan parang di rumah bapa saudaranya. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan