KOSMO
Lugner ketika mengahwini Simone. - Shutterstock/People
VIENNA – Seorang bilionair Austria yang pernah menjalin hubungan dengan beberapa bintang popular, meninggal dunia beberapa minggu selepas mengahwini isteri keenamnya, lapor akhbar The Sun UK.
Richard Lugner menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun semalam di vila miliknya di Doebling, barat laut Vienna selepas mengalami sakit belakang dan keletihan yang teruk.
Perkhidmatan kecemasan bergegas ke kediaman tersebut tetapi gagal memulihkan keadaan Lugner.
Taikun itu dikenali ramai kerana pernah menjalin skandal dengan selebriti-selebriti berprofil tinggi.
Beliau dikatakan membayar wang yang banyak kepada Kim Kardashian dan Paris Hilton untuk mengiringinya di acara-acara besar selain berpesta dengan bekas anggota Spice Girl, Geri Halliwell dan supermodel Grace Jones.
Lugner dilaporkan baru dua bulan berkahwin dengan Simone Reilaender yang berusia 49 tahun lebih muda.
Simone mengendalikan pusat beli-belah milik Lugner di Vienna dengan bilionair itu berkata pada minggu lalu bahawa isterinya akan menjadi bos tunggal empayar perniagaannya.
“Isteri saya mengendalikan empayar ini sekarang. Mulai sekarang, kami akan berkongsi kerja. Pada satu ketika apabila saya sudah tiada, dia akan menjadi bos tunggal,” ujar Lugner.
Lugner mempunyai empat orang anak selepas berkahwin dengan enam wanita. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan