"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua Polis Negara saman papagomo kerana memfitnahnya

Didakwa fitnah, KPN saman penulis blog Wan Azri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara (KPN), Razarudin Husain memfailkan saman terhadap penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atas dakwaan fitnah.

Razarudin menyaman bekas exco Pemuda Umno itu atas kenyataan dalam video dimuat naik ke YouTube dan TikTok, yang turut dikongsi di platform media sosial lain.

Peguam Razarudin, Raam Kumar, berkata notis tuntutan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini kelmarin melalui Tetuan K.B. Tan Kumar & Partners.

Beliau berkata, notis itu sudah diserahkan kepada Wan Azri yang dinamakan defendan petang semalam.

“Plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan dan bertulis, ganti rugi am, teruk atau teladan dan ganti rugi khas,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Razarudin turut memohon injunksi bagi menghalang defendan, sama ada secara sendiri atau pekerjanya atau mana-mana pihak lain mengeluarkan kenyataan dianggap fitnah atau menerbitkan semula kenyataan itu.

Raam berkata, Razarudin menuntut Wan Azri menarik balik kenyataan didakwa fitnah itu atau memadam serta memusnahkan semua video, penerbitan dan mesej atau bahan mempunyai kandungan sedemikian.

“Plaintif turut menuntut defendan membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan melalui semua akaun laman sosial dan media massa dan media dalam talian dengan kandungan permohonan maaf harus dipersetujui plaintif terlebih dahulu.”

Razarudin mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan kertas siasatan dibuka ke atas video didakwa berunsur fitnah terhadap KPN dan ia sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: