"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Remaja 15 tahun ditahan tunggang motosikal

NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
Mohd. Zamri (tengah) sedang memeriksa sebuah motosikal dalam Ops Motosikal di Jabatan Angkat Kuala Terengganu malam tadi
KUALA TERENGGANU – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun antara ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu selepas didapati menunggang motosikal tanpa lesen memandu sah dalam Ops Motosikal di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, di sini, pada kelmarin.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, penahanan remaja berkenaan membuktikan isu pemanduan bawah umur masih berlaku khususnya di lokasi tumpuan dan berisiko pada lewat malam.

“Sebanyak 81,107 buah motosikal telah diperiksa di seluruh Terengganu sejak awal tahun ini, 16,396 motosikal telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan,” katanya selepas mengetuai Ops Khas Motosikal di sini, malam tadi.

Mohd. Zamri berkata, sebangak 369 kes kes pemandu bawah umur dicatatkan dan kebanyakan mereka yang ditahan dikesan berada di kawasan berisiko sama ada berkumpul, menonton atau terlibat dengan aktiviti tunggangan berbahaya serta perlumbaan haram. – KOSMO! ONLINE

Lebih 90 mayat ditemukan bawah runtuhan di Gaza

Pertahanan Awam Gaza pada Sabtu memaklumkan bahawa mereka menemukan 94 mayat rakyat Palestin yang tertimbus di bawah runtuhan di wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, organisasi berkenaan berkata mayat-mayat itu dijumpai di kawasan tengah Gaza dan dipindahkan ke jabatan forensik di Kompleks Perubatan Al-Shifa bagi urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Syuhada di bandar Deir al-Balah.

Ribuan rakyat Palestin dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah di Gaza sejak bermulanya perang Israel ke atas wilayah itu pada Okt 2023.

Menurut Pertahanan Awam Gaza, mereka dengan kerjasama kementerian kesihatan dan hal ehwal agama berjaya memindahkan ribuan mayat yang dikebumikan di lokasi rawak ke tanah perkuburan di wilayah itu.

Israel membunuh hampir 70,700 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,100 yang lain dalam serangan sejak Okt 2023 sebelum ia dihentikan susulan perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Okt.

- Bernama/Anadolu

Kelantan: Pegawai polis narkotik disiasat, didakwa cabul isteri tahanan

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Pegawai polis narkotik disiasat selepas dipercayai mencabul seorang wanita di dalam sebuah kereta di Pasir Mas, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa dikatakan menghubungi pegawai polis berkenaan untuk bertanyakan status suaminya yang ditahan berkaitan kes dadah.

Sebaik dihubungi isteri tahanan berkenaan, pegawai polis itu dikatakan mengajak wanita terbabit bertemu di sekitar bandar Pasir Mas sebelum melakukan cabul dalam sebuah kereta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika ditemui mengesahkan kejadian dan memaklumkan pegawai polis itu berusia 30-an manakala mangsa berusia 20-an.

Katanya, mangsa adalah isteri kepada tahanan yang ditangkap dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 345 Kanun Keseksaan," katanya.

Budak 2 tahun cedera, kereta sorong terbalik di eskalator pusat beli belah

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun cedera selepas kereta sorong bayi dinaikinya terbalik ketika menuruni eskalator di sebuah pusat beli-belah di Brickfields, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Brickfields, Superintendan Ahmad Firdaus Mustaffa Kamal berkata, kejadian jam 5.11 petang itu membabitkan seorang wanita warga Indonesia berusia 40 tahun yang juga penjaga kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, wanita terbabit dipercayai menggunakan eskalator dari aras satu ke tingkat bawah sebelum tergelincir dan terjatuh ketika menolak kereta sorong bayi berkenaan.

"Kanak-kanak itu dibawa ke klinik swasta berhampiran untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan hanya mengalami luka kecil di bahagian dahi," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kanak-kanak itu menerima rawatan sebagai pesakit luar dan sudah dibawa pulang ibu bapanya.

"Wanita berkenaan pula menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur selepas cedera di leher dan kaki.

"Setakat ini tiada laporan polis dibuat keluarga terbabit," katanya.

Pasangan maut di sauna, dipercayai terperangkap

Buletin TV3 

TOKYO: Sepasang suami isteri dalam lingkungan usia 30-an maut selepas terperangkap di dalam sebuah sauna persendirian ketika kebakaran di Tokyo, Jepun, pada 15 Disember lalu, lapor MS News.

Menurut media tempatan, pasangan itu ditemui tidak sedarkan diri berhampiran pintu masuk bilik mereka.

Susulan penemuan berkenaan, mereka kemudian dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia.

Pihak berkuasa menerima makluman mengenai kebakaran itu selepas penggera kecemasan di kemudahan berkenaan berbunyi pada jam 12.25 tengah hari.

Setibanya mereka di lokasi, kebakaran didapati berlaku di tingkat tiga bangunan lima tingkat berkenaan.

Dalam pada itu, kebakaran itu berjaya dipadamkan dalam tempoh kurang daripada satu jam.

Menurut Yomiuri Shimbun, sebuah bangku di bahagian belakang sauna terbakar dan beberapa tuala hangus turut ditemui.

Media sama melaporkan, mangsa juga mempunyai kesan melecur di bahagian belakang badan.

Sementara itu, mengikut sumber pihak polis, mereka mendapati tombol pintu bilik persendirian pasangan itu tercabut di kedua-dua belah pintu, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa pasangan berkenaan terperangkap di dalam.

Polis juga percaya, pasangan itu menekan butang kecemasan di dalam bilik terbabit, namun butang itu dipercayai mengalami kerosakan.

Mangsa dikenal pasti sebagai Masaya Matsuda, 36, dan isterinya Yoko Matsuda, 37, yang masing-masing pemilik salon kecantikan dan jurumanikur.

Polis sedang menyiasat punca kebakaran manakala mayat kedua-dua mangsa dihantar untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian. – AGENSI

Penduduk cemas langit merah seperti darah

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan fenomena langit merah seperti darah di daerah Panimbang kelmarin. - TikTok
JAKARTA – Penduduk di Pandeglang, wilayah Banten digemparkan dengan pemandangan langit bertukar warna merah seperti darah, lapor portal berita Lambe Turah. 

Kejadian berlaku sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan) di daerah Panimbang kelmarin. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @kumparan menunjukkan  penunggang motosikal melintasi jalan dengan berlatarbelakangkan langit berwarna merah darah. 

Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Doni berkata, fenomena itu berlaku selepas hujan. 

“Sepanjang 10 tahun saya tinggal di sini, ini pertama kali saya melihat langit berwarna merah seperti darah. Jika matahari terbenam, langit biasanya berwarna kekuningan.

“Penduduk mula cemas kerana dianggap petanda buruk,” kata Doni. 

Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Wilayah II, Hartanto menjelaskan bahawa fenoma langit merah tercetus apabila habuk dan zarah kecil terperangkap di atmosfera disebabkan tekanan tinggi. – AGENSI

Mayat bayi perempuan ditemui dalam plastik belakang pasar raya – Polis

Ruwaida Md Zain
Foto IPD Shah Alam
SHAH ALAM: Mayat bayi perempuan ditemukan dalam plastik dipercayai ditinggalkan di tepi lorong belakang sebuah pasar raya di Jalan Ria 25/62, Seksyen 25, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima panggilan orang awam memaklumkan menjumpai bayi itu kira-kira jam 7.30 pagi.

“Anggota ronda yang bertugas di lapangan diarahkan ke tempat kejadian serta mengesahkan maklumat, seterusnya dijadikan sebagai maklumat pertama.

“Siasatan awal mendapati, pihak polis menerusi Pusat Kawalan IPD Shah Alam menghubungi pihak ambulans dan pihak ambulans mengesahkan bahawa bayi perempuan yang ditemukan itu sudah meninggal dunia.

“Bantuan Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hadir untuk mengendalikan tempat kejadian bagi mengumpul sebarang bukti dan barang kes yang boleh membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian disyaki bayi itu dilahirkan di tempat lain dan dibuang di tempat kejadian. Bayi itu dipercayai ditinggalkan anggaran tujuh hingga lapan jam sebelum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramsay berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengumpul segala bukti dan keterangan yang ada di sekitar kawasan tempat kejadian.

“Mayat bayi itu dihantar ke Unit Forensik Jabatan Patologi, Hospital Klang untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan secara rahsia menyembunyikan kelahiran sama ada bayi mati sebelum atau selepas melahirkan. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-17554394,” katanya.

Lelaki misteri baling tukul pecahkan cermin bank

MOHD YUNUS YAKKUB

KLANG – Cermin pintu masuk hadapan sebuah bank di Jalan Batu Nilam 1 di sini pecah selepas dibaling tukul besi oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Jalan Batu Nilam 1, Bandar Bukit Tinggi di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.20 pagi dengan lelaki terbabit dipercayai berjalan kaki sambil menolak sebuah troli sebelum berhenti di hadapan premis bank berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamal Arifin Aman Shah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sekitar pukul 7.30 pagi selepas mendapati kerosakan pada cermin pintu masuk bank tersebut.

“Hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati suspek bertindak membaling tukul besi ke arah cermin pintu masuk sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kes disiasat mengikut 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Daerah ini di talian 03-3376 2222,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Lelaki maut kereta terjatuh ke dalam Sungai Perak

FMT Reporters

Mangsa berusia 34 tahun ditemukan terperangkap di dalam Proton Waja.
Sebuah Proton Waja yang terjatuh ke dalam Sungai Perak semalam berjaya dikesan pada jarak lebih kurang 20m daripada jeti sebelum dibawa naik menggunakan kren. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang lelaki maut setelah terperangkap di dalam kereta dipandunya yang terjatuh ke dalam Sungai Perak di Parit semalam.

Ketua Polis Perak Tengah Hafezul Helmi Hamzah berkata, orang awam memaklumkan tentang kejadian pada kira-kira 11.27 malam tadi selepas melihat sebuah Proton Waja dipandu lelaki dikenalinya terjatuh ke dalam sungai di Kampung Baru Layang-layang Kanan.

Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat segera diaktifkan bersama pasukan bomba sebelum kenderaan mangsa dijumpai hari íni.

“Mangsa ditemui terperangkap di dalam kereta. Operasi mengeluarkan mangsa segera dijalankan, namun lelaki itu disahkan meninggal dunia,” katanya, lapor Kosmo.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Iskandar untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, pemangku Penolong Pengarah Operasi Bomba Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, operasi pencarian dilakukan sejauh 100m dari jeti, iaitu tempat kereta itu dipercayai jatuh menuju ke hilir sungai.

Katanya, kereta itu kemudian berjaya dikesan pada jarak lebih kurang 20m sebelum dibawa naik menggunakan kren.

“Mangsa berusia 34 tahun berjaya dijumpai di dalam kereta tersebut pada 2.10 petang,” katanya.

PAS dan Bersatu terus bertelingkah

PAS parti terbaik urus negara, Sanusi jawab Saifuddin

Anne Muhammad

Ketua pengarah pilihan raya PAS menegaskan partinya sedia terajui PN dalam menghadapi PRU16 kerana memiliki barisan kepimpinan berpengalaman.

Kenyataan Sanusi Nor menyusul gesaan Saifuddin Abdullah yang PN perlu kemuka pimpinan berkeupayaan mengurus ekonomi ketika negara mungkin bersedia menghadapi PRU16.
PUTRAJAYA: PAS adalah parti terbaik bukan saja untuk Perikatan Nasional malah negara ini, kata Sanusi Nor.

Kenyataan ketua pengarah pilihan raya PAS menyusul gesaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, kelmarin, PN perlu mengemukakan pimpinan berkeupayaan mengurus ekonomi ketika negara mungkin bersedia menghadapi PRU16 susulan tempoh Parlimen yang genap tiga tahun.

Sanusi menegaskan, partinya sedia menerajui PN dalam menghadapi PRU16 kerana memiliki barisan kepimpinan berpengalaman dan berkeupayaan mengurus negara.

Beliau berkata, PAS juga memiliki pemimpin yang menganggotai Jemaah Menteri kerajaan persekutuan sebelum ini selain ramai yang pernah dan sedang memegang jawatan menteri besar serta ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

“Kita ada ramai teknokrat yang menjadi ahli dan penyokong PAS untuk diketengahkan sebagai pemimpin negara dan negeri. Dari sudut jentera parti dan akar umbi, PAS adalah parti terbaik di negara ini. Bukan saja untuk PN, malah negara ini perlu dipimpin oleh PAS.

“Ramai pegawai tadbir dan kakitangan awam ada kebolehan, hanya perlu kepada teraju yang mampu membuat keputusan yang munasabah,” kata menteri besar Kedah kepada FMT.

Menerusi pentadbiran PN sebelum ini dua pemimpin tertinggi PAS dilantik sebagai menteri iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man (alam sekitar dan air) serta Takiyuddin Hassan (Parlimen dan Undang-undang bawah Jabatan Perdana Menteri).

Sementara itu, ketika ditanya adakah calon pemimpin PN yang ‘berkeupayaan mengurus ekonomi’ perlu datang daripada PAS, Sanusi berkata ‘tidak semestinya’.

“Yang penting daripada orang yang betul-betul ahli, ada kemahiran yang wajar dalam sesuatu bidang. Jangan pakai formula sendiri saja, tak peduli pandangan orang yang benar-benar ahli sesuatu bidang,” katanya.

Kantoi!!! Menyorok di sebalik almari elak dicekup bermadu asmara dengan ibu tunggal

MOHD SHARKAWI LONDING

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki bertindak menyorok di sebalik almari di dalam sebuah bilik untuk mengelak daripada dicekup ketika pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi cegah maksiat di sebuah rumah teres dua tingkat di sini, awal pagi semalam.

Usaha lelaki berusia 40-an itu bagaimanapun tidak berhasil apabila dia dicekup berkhalwat dengan pemilik rumah yang juga seorang janda.

Menurut jurucakap JAINJ, operasi yang dijalankan ke atas rumah berkenaan kira-kira pukul 1.20 pagi.

Katanya, ketika tiba di lokasi terbabit, terdapat kereta milik wanita dan motosikal disyaki kepunyaan lelaki itu di dalam kawasan pagar yang berkunci.

“Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk untuk membuat pemeriksaan. Di ruang tamu, lampu terpasang dan terdapat tilam di hadapan televisyen yang tertutup.

“Apabila ditanya berapa orang di dalam rumah, wanita diam membisu. Pemeriksaan di tingkat bawah, bilik dan dapur tiada orang lain ditemui.

“Penguat kuasa naik ke tingkat atas yang mempunyai dua bilik. Seorang lelaki ditemui menyorok sebelah almari di dalam sebuah bilik dengan berpakaian lengkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JAINJ memaklumkan apabila ditanya hubungan mereka mengaku berjumpa tanpa nikah.

Katanya, wanita berstatus janda dan bekerja di daerah ini.

“Lelaki pula berstatus suami orang dan berasal dari negeri ini. Lelaki terbabit menyatakan berhasrat untuk bernikah dengan wanita itu, tetapi pernah ‘kantoi’ dengan isteri dan berlaku pergaduhan antara mereka.

“Lelaki ini mendakwa dalam proses perceraian di Mahkamah Syariah, tetapi belum diputuskan bercerai.

Katanya, sebaik saja selesai proses cerai, dia akan melakukan proses untuk bernikah dengan janda berkenaan.

“Anggota penguat kuasa mengesyaki ruang tamu menjadi lokasi pasangan itu berada sebelum diserbu, berdasarkan keadaan selimut dan tuala yang berselerakan dan basah,” katanya.

Pasangan berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997. – KOSMO! ONLINE

Rafizi: Anwar abai sentimen rakyat, hantar isyarat salah

Malaysiakini 

Rafizi Ramli mendakwa rakyat negara ini beranggapan rombakan kabinet yang baru dilaksanakan oleh Anwar Ibrahim tidak membawa apa-apa makna apabila hasrat majoriti mereka mahu melihat perdana menteri membawa perubahan pada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak berlaku.

Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu berpendapat, rakyat hanya teruja untuk melihat perubahan di KPM dan menyaksikan Fadhlina Sidek digantikan dengan orang lain.

Malah, dakwa Rafizi, tokoh yang dibawa menggantikan portfolionya di Kementerian Ekonomi tidak begitu ditunggu-tunggu.

"Yang orang paling teruja dan menunggu hanyalah satu nama Fadhlina... yang itu yang orang tunggu dalam kalangan rakyat biasa yang tidak partisan.

“Kerana KPM itu sangat penting, malah soal siapa jadi menteri ekonomi orang tak tumpu sangat pun.

"Apabila rombakan ini tak melibatkan Fadhlina langsung dan KPM tak disentuh langsung, bagi sayalah, itu secara automatik menjadi petanda bahwa pandangan rakyat biasa rombakan ini tak akan ada kesan apa-apa sebab yang mereka tumpu yang itu sahaja.

"Kalau dia (Anwar) tukar Fadhlina, orang biasa akan akan respect balik, maksudnya dia (Anwar) mendengar (kehendak awam).

“Maksudnya dia objektif – walaupun Fadhlina ni diketahui macam anak angkat dia sendiri, anak kawan baik dia, macam mana pun dia pertahan menteri pendidikan, tapi mesej rakyat jelas, dia (tetap) pertahankan mesej itu," kata Rafizi dalam program audio siar Yang Berhenti Menteri di saluran YouTubenya malam tadi.

Ramanan ganti menteri popular

Sebelum ini Anwar mengumumkan rombakan yang menyaksikan beberapa tokoh bertukar portfolio, selain sebahagiannya diberi kenaikan pangkat daripada timbalan menteri menjadi menteri.

Beberapa pelantikan lain juga menarik perhatian apabila ada ahli parlimen baru yang diberikan jawatan menteri penuh seperti Mohammed Taufiq Johari.

Untuk rekod Fadhlina merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal dan kini menjadi Ketua Wanita PKR.

Rasa kurang senang Rafizi terhadap Fadhlina bukanlah sesuatu yang baru. Ia menjadi lebih ketara menjelang pemilihan PKR lalu. Pada masa sama, sesetengah pihak berpendapat prestasi anak ahli akademik terkenal dan dekat dengan Anwar itu kurang memuaskan di KPM.

Sementara itu pelantikan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, menjadi menteri yang bertanggungjawab mengelola Wilayah Persekutuan menarik kritikan pembangkang yang mengambil pendekatan berdasarkan kaum.

Anwar juga melantik Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui, sebagai timbalan. Lo merupakan ahli politik dari Parti Bersatu Sabah.

Kata Rafizi pemilihan Anwar bagi portfolio mentadbir Wilayah Persekutuan turut menarik perhatian ramai.

“Yang Ramanan (dilantik jadi menteri) itu orang PKR sajalah (bising), orang biasa tak peduli sangat pun," katanya lagi merujuk kepada Naib Presiden PKR, R Ramanan yang dibawa menerajui Kementerian Sumber Manusia oleh Anwar.

Ramanan yang juga bekas pemimpin kanan MIC sebelum menyertai PKR merupakan Ahli Parlimen Sungai Buloh.

Kata Razafi, walaupun pelantikan Ramanan dilihat tidak berapa menjadi isu, namun dia memberi amaran bahawa Anwar telah menghantar isyarat salah kepada penyokong PKR.

Apatah lagi, katanya, Ramanan menggantikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, yang dianggap cukup popular dalam kalangan penyokong PH.

Dakwa Rafizi dengan perkiraan itu Anwar seperti memberitahu penyokong PH bahawa apa pun sentimen yang ada, dia berkuasa untuk menentukan apa yang dirasakan perlu.

"Ia ditambah pula apabila Ramanan ambil tempat seorang yang popular dalam kalangan penyokong PH," katanya.

Tiga maut dalam serangan di Metro Taipei

Buletin TV3 
Serangan di Metro Taipei, tiga orang terkorban – Foto AFP
TAIPEI: Serangan di beberapa stesen metro di Taipei pada Jumaat yang melibatkan bom asap dan kejadian tikaman telah mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa, menurut pegawai jabatan bomba, sambil menambah bahawa suspek turut disahkan maut.

Perdana Menteri Taiwan, Cho Jung-tai, berkata serangan di Stesen Utama Taipei dan Stesen Zhongshan adalah tindakan yang disengajakan, namun motif kejadian masih belum dikenal pasti.

Suspek, yang memakai topeng, dilaporkan membaling lima atau enam bom petrol atau bom asap di Stesen Utama Taipei.

Menurut Jabatan Bomba Bandar Taipei, empat individu disahkan maut, termasuk suspek, manakala lima lagi cedera dalam insiden berkenaan.

Datuk Bandar Taipei, Chiang Wan-an, berkata suspek dipercayai terjun dari sebuah bangunan, dan salah seorang mangsa terbunuh ketika cuba menghalang serangan di Stesen Utama.

“Buat masa ini, kami memahami bahawa suspek telah membunuh diri dengan terjun dari bangunan untuk mengelak ditangkap dan telah disahkan maut,” katanya.

Sebelum ini, Cho memaklumkan bahawa tiga mangsa mengalami serangan jantung, manakala beberapa yang lain cedera akibat tikaman dan hentakan di beberapa bahagian badan.

Pihak berkuasa meningkatkan tahap keselamatan di seluruh Taiwan susulan insiden tersebut.

“Semua lokasi penting termasuk stesen kereta api, lebuh raya, stesen metro dan lapangan terbang kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan tahap kewaspadaan tinggi,” kata Cho.

Satu video yang tular di media sosial memaparkan kepulan asap putih tebal memenuhi kawasan bawah tanah sebuah stesen metro, dengan orang ramai dilihat berada pada jarak selamat.

Presiden Taiwan, Lai Ching-te, berkata pihak berkuasa akan segera memperincikan siasatan kes ini. “Tiada sebarang kelonggaran akan diberikan dan kami akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan keselamatan rakyat.” – AFP

Banjir surut, penduduk berebut cari emas depan rumah

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan penduduk berpusu-pusu mencari emas di hadapan sebuah rumah. - TikTok
JAKARTA – Satu klip video tular di Aceh Barat, wilayah Aceh menunjukkan berpuluh-puluh penduduk berebut mencari emas di hadapan sebuah rumah selepas bencana banjir kilat mula surut, lapor portal berita Lambe Turah hari ini. 

Kejadian berlaku di perkampungan Seuradeuk, daerah Woyla Timur semalam. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @pujamuliana19 menunjukkan orang ramai termasuk kanak-kanak berpusu-pusu mengutip tanah dengan tangan. 

Ada antara mereka membawa baldi serta guni untuk meletakkan tanah tersebut. 

Situasi itu tercetus apabila seorang penduduk menemui kepingan emas selepas melombong di hadapan rumah itu. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 1.2 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Bencana banjir membawa rezeki,” kata seorang netizen. 

“Emas milik kerajaan, bencana milik masyarakat,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Wanita dan anak angkat rentung: Polis tahan anak lelaki disyaki ada unsur jenayah

BERNAMA

Butterworth: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran yang mengorbankan seorang wanita dan anak angkatnya di Taman Rathna, Telok Air Tawar, di sini pada 10 Disember yang dipercayai mempunyai unsur jenayah.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata lelaki berusia 20-an yang juga anak kepada wanita itu, direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 25 Dis bagi membantu siasatan.

"Siasatan polis mendapati kebakaran yang mengorbankan dua mangsa tersebut mempunyai unsur jenayah dan susulan itu, kita menahan lelaki berkenaan yang mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa bagi membantu siasatan kes itu.

"Polis telah mendapat perintah reman ke atas lelaki itu yang ketika ini masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau memaklumkan mayat wanita dan anak angkatnya masih ditempatkan di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) dan belum boleh dituntut ahli keluarganya kerana masih menunggu ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk pengesahan rasmi.

Dalam kejadian itu, Hayani Yaakob, 50-an, dan anak angkat perempuan dikenali sebagai Andra berusia lima tahun, rentung akibat terperangkap di dalam rumah berkenaan, manakala anak lelakinya cedera dihempap struktur bumbung yang runtuh.

Media melaporkan bomba menerima panggilan pada 9.41 pagi dan mayat kedua-dua mangsa dijumpai di ruang tamu berhampiran pintu utama, manakala anak lelakinya ditemukan di kawasan pintu dapur sebelum dibawa ke HSJ untuk rawatan lanjut.

Guru dan isteri maut, anak selamat kenderaan terbabas dalam parit

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
SUAMIM isteri maut selepas kenderaan dinaiki terbabas dan terbalik ke dalam parit di Jalan Kuala Penyu/Bandau. FOTO Ihsan PDRM.
SUAMI isteri maut selepas kenderaan dinaiki terbabas dan terbalik ke dalam parit di Jalan Kuala Penyu/Bandau. FOTO Ihsan PDRM.
Beaufort: Suami isteri maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas dan terbalik ke dalam parit dalam kemalangan di Jalan Kuala Penyu/Bandau, berhampiran Pantai Pimping, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, pemandu kenderaan Ford Ranger, Christin Paun, 50, dan isterinya Marlyne Gumin, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Anak perempuan mereka yang berusia lapan tahun dan berada di tempat duduk belakang tidak mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Penyu untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, Christin bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru, manakala isterinya pula pekerja pembersihan di sekolah yang sama.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa dalam perjalanan dari Kuala Penyu menghala ke Bandau.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik ke dalam parit di sebelah kiri jalan.

"Akibat daripada kemalangan itu, pemandu dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk bedah siasat.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis juga menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan keselamatan ketika memandu," katanya.

Temu mayat di rumah kosong, polis syak suami cekik mati isteri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan suami dipercayai mencekik mati isterinya akibat masalah wang dengan mayat wanita berkenaan ditemui ditanam di belakang sebuah rumah kosong, di Jalan Pedas-Linggi, Seremban.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Muhammad Idzam Jaafar, berkata suami mangsa itu diberkas di Genting Sempah, petang tadi.

Menurut Utusan Malaysia, Idzam dipetik sebagai berkata, siasatan awal mendapati terdapat pertengkaran di antara suspek dan wanita itu sehingga menyebabkan kematiannya.

Katanya, berdasarkan laporan bedah siasat yang selesai dilakukan hari ini mendapati wanita itu maut akibat dicekik.

“Selain, anggota badan wanita itu juga dipatahkan sebelum disumbat ke dalam beg dan ditanam di rumah tidak berpenghuni itu,” katanya menurut laporan itu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, identiti sebenar mayat wanita itu belum dapat dipastikan Suri Narudin memandangkan proses pengecaman memerlukan sedikit masa.

“Ini ekoran keadaan muka mangsa yang telah hancur. Jadi, kita belum dapat buat pengesahan.”

Mayat lelaki ditemui dalam rumah usang

Amirul Aiman Hamsuddin

SHAH ALAM: Bau busuk dari sebuah rumah usang di Batu 15, Jalan Kapar, Kampung Sungai Janggut, Jeram, Kuala Selangor membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki, semalam.

Mangsa berusia 50 tahun yang terbaring di ruang tamu ditemukan seorang wanita warga tempatan yang juga saudaranya.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, polis menerima aduan berhubung kejadian pada jam 7.10 malam.

“Pemeriksaan fizikal mendapati jasad si mati sudah mula busuk dan berulat.

“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azaharudin berkata, setakat ini tiada unsur jenayah dikesan berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Jelasnya, polis menasihatkan orang ramai supaya mengawasi ahli keluarga yang tinggal bersendirian di rumah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dengar suara budak menangis, ‘Cari punya cari, jumpa budak dalam longkang’

ALIA NATASHA CHAHIDAN
Kanak-kanak lelaki terjatuh ke dalam longkang akibat papan penutup longkang patah berdekatan bangunan Balai Felda, Kuala Lumpur baru-baru ini.
PETALING JAYA – Aksi cemas seorang kanak-kanak lelaki terjatuh dan terperangkap selepas papan penutup longkang patah berdekatan bangunan Balai Felda, Kuala Lumpur baru-baru ini menarik perhatian ramai.

Menerusi perkongsian oleh Azza Ynwa di Facebook, dia sedang menghantar pesanan di Jalan Gurney, Datuk Keramat sebelum terdengar suara kanak-kanak menangis di kawasan berhampiran.

“Cari punya cari, terjumpa budak lelaki di dalam longkang dalam. Adik ini terjatuh ke dalam longkang hampir setengah jam akibat papan yang menutup lubang longkang patah. Allahuakbar, nasib baik tidak hujan. Terpaksa menahan orang yang lalu untuk menolong. Alhamdulillah tiada apa-apa kecederaan,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Dia memohon pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk segera menutup lubang longkang tersebut bagi mengelak kejadian sama berulang.

Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna media sosial dan rata-rata mereka memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memantau dan longkang dengan lebih serius.

“Ini bukan pertama kali kejadian sebegini saya dengar berlaku. Yang ini nasib baik abang bantu,” kata Nurul Hanis.

“Harap pihak DBKL ambil berat hal penyelenggaraan kemudahan awam seluruh Kuala Lumpur setiap masa. Bukan bila Kuala Lumpur jadi tuan rumah untuk acara berkenaan sahaja,” kata Ruslan Kasim.

“Nasib baik air tidak laju dan tidak hujan lebat. Saya risau tengok budak itu duduk dalam tu,” kata Rozanariza. – KOSMO! ONLINE

Juruteknik didakwa melakukan amang seksual, merakam video terhadap 3 kanak-kanak

Mary Victoria Dass 
Muhammad Imran (kiri) mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak di Mahkamah Sesyen – FOTO NSTP
JOHOR BAHRU: Juruteknik mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan termasuk melakukan amang seksual terhadap tiga kanak-kanak perempuan berusia lima hingga tujuh tahun di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Imran Abdullah, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Nor Azati Jaafar.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 11 pagi 5 April tahun lalu di Pasir Gudang, di sini.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa pada tarikh dan alamat yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga membabitkan mangsa yang sama pada tarikh dan alamat sama, tertuduh didakwa menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dengan cara merakam video kanak-kanak dengan keadaan pakaian diselak.

Bagi pertuduhan keempat pada jam 10.30 pagi pada 5 April tahun lalu di lokasi sama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dua bulan.

Untuk pertuduhan kelima membabitkan mangsa yang sama di lokasi dan alamat sama, dia didakwa menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dengan cara merakam video kanak-kanak dalam keadaan pakaian diselak.

Bagi pertuduhan keenam, pada jam 10.59 pagi pada tarikh dan alamat sama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun tiga bulan.

Untuk pertuduhan ketujuh membabitkan mangsa di alamat dan tarikh yang sama, tertuduh didakwa menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dengan cara merakam video kanak-kanak dalam keadaan pakaian diselak.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan Kanak- Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun dan boleh disebat tidak kurang enam sebatan.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual 2017 terhadap kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebatan.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual 2017 Terhadap Kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebatan.

Tertuduh mengangguk tanda memahami semua pertuduhan sebelum mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam

Nur Farah Wahida menyatakan mengikut laporan Hospital Permai, tertuduh disahkan layak untuk dibicarakan.

Tertuduh pernah membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru bagi kesemua pertuduhan sama pada 29 Ogos lalu.

Nor Azati Jaafar menetapkan 27 Februari depan sebagai sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Tertuduh memohon supaya dibenarkan untuk dijamin berikutan mahu mendapatkan maklumat daripada majikan kerana mendakwa sedang bekerja pada tarikh didakwa melakukan kesalahan itu.

Bagaimanapun, tertuduh tidak ditawarkan jaminan sebaliknya dinasihati melantik peguam.

Papagomo didakwa salah guna syarikat untuk kutip derma awam

Farah Solhi

Blogger Papagomo mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Peraturan 17A(1)(b) Peraturan Pendaftaran Perniagaan 1957 atas dakwaan menerima derma orang ramai melalui Invoke Solutions tanpa mengemaskini maklumat syarikat berdaftar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, syarikat yang diuruskan oleh Papagomo sebelum ini didaftarkan melalui Borang A (Kaedah 3) sebagai syarikat pengurusan acara dan barangan runcit.

Borang A (Kaedah 4) adalah borang pendaftaran perniagaan untuk perniagaan milikan tunggal atau perkongsian di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bekas exco Pemuda Umno itu didakwa menerima dana awam melalui syarikat berkenaan antara 24 Okt dan 30 Nov 2017 tanpa mengemaskini maklumat syarikat, yang mana dana tersebut adalah untuk membayar ganti rugi sivil dalam kes saman yang difailkan terhadapnya pada 2013.

Kesalahan ini boleh dihukum di bawah Seksyen 12A Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan pagi ini.

Mahkamah selepas mendengar faktor mitigasi daripada Timbalan Pendakwa Raya Anas Mahadzir dan peguam Papagomo, Muhammad Amirul Arrasyid, menetapkan jaminan RM2,500 dan menetapkan 30 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, Anas meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000, manakala peguamnya meminta jumlah lebih rendah iaitu RM2,500, berdasarkan beberapa faktor termasuk tertuduh adalah bapa berusia 42 tahun, dan satu-satunya penyara keluarga tanpa pendapatan tetap.

Malaysiakini difahamkan pengadu kes itu ialah bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Pada 2013, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Papagomo berhubung blognya yang memaparkan gambar lucah Presiden PKR itu bersama seorang lelaki lain dalam keadaan intim.

Blogger itu diarahkan membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 serta kos RM500,000 kepada Anwar pada 2014 selepas Mahkamah Tinggi mendapati dia memfitnah Anwar dengan niat jahat.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu pada 2015 selepas mendapati mahkamah tinggi telah membuat keputusan yang tepat bahawa dia telah melakukan fitnah terhadap Anwar.

Polis siasat dakwaan murid lelaki jadi mangsa amang seksual

Suharmin Yusuf

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun dipercayai menjadi mangsa amang seksual membabitkan seorang lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah rendah agama (SRA) di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohd Lazim Ismail berkata, polis menerima laporan pada 16 Disember lalu jam 4.16 petang.

Katanya, laporan dibuat terhadap seorang lelaki yang disyaki melakukan amang seksual ke atas pengadu, seorang kanak-kanak lelaki yang juga murid sekolah berkenaan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.

“Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Politik ‘asabiah’ PAS jauhkan lagi sokongan bukan Melayu

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: Kenyataan pemimpin PAS yang menilai rombakan Jemaah Menteri menerusi lensa perkauman hanya menjauhkan sokongan masyarakat bukan Islam, menurut penganalisis.
Saintis politik, Wong Chin Huat dari Universiti Sunway, menyifatkan penilaian daripada sudut keturunan dan kepercayaan seseorang sebagai ‘asabiah’.

“Bagaimanakah PAS nak harapkan sokongan bukan Muslim apabila ia tak habis-habis menilai seseorang insan daripada sudut keturunan dan kepercayaan dan bukan perbuatan?” katanya kepada FMT.

Wong mengulas dakwaan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan bahawa pelantikan dua pemimpin berbangsa Cina dalam portfolio Wilayah Persekutuan merupakan percaturan sengaja bagi mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama yang lain.

Rombakan Jemaah Menteri pada Selasa menyaksikan pelantikan Hannah Yeoh sebagai menteri Wilayah Persekutuan di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui (GRS) sebagai timbalan menteri, di sebalik pengekalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Takiyuddin mendakwa pemusatan kuasa strategik bandar di tangan pemimpin daripada latar belakang etnik dan parti yang sama boleh menimbulkan persoalan besar mengenai ketidakseimbangan kuasa dan hala tuju pentadbiran negara.

“Baru sehari dua Yeoh dilantik, PAS sudah nyatakan kekhuatiran. Bukankah ini buruk sangka?” kata Wong.

Beliau juga menyeru PAS mencontohi pemimpin parti itu yang dahulu, seperti Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menolak asabiyah dan dihormati masyarakat bukan Islam.

“PAS boleh memantau, menyemak dan mengimbang malah melakarkan petunjuk prestasi utama untuk menilai prestasi Yeoh dalam menjaga kepentingan semua warga Wilayah Persekutuan terutamanya orang Melayu. Kalau Yeoh gagal, kecamlah dia sekuat-kuatnya,” katanya.

Sementara itu, Sharmin Kutty Sivaraman dari Universiti Antarabangsa INTI berkata kenyataan Takiyuddin tidak membawa suatu bentuk ideologi baharu.

Tambahnya, PAS perlu menjadi pembangkang yang menjalankan tugas semak dan imbang.

“PAS perlu membawa tindakan yang lebih terancang dengan kerjasama Gerakan yang diterajui oleh pemimpin Cina,” katanya.

Sharmin menambah langkah PAS kali ini memberi peluang kepada DAP untuk membuktikan corak kepimpinan mereka ‘dengan bergaya’.

Tambahnya, rombakan itu juga “peluang yang tepat kepada semua menteri baru yang dilantik untuk membuktikan daya hasil kerja mereka dengan sistematik dan terancang.”

Dalam pada itu, Wong mencadangkan Yeoh mengundang Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin, yang dipertanggungjawabkan Perikatan Nasional untuk portfolio Wilayah Persekutuan bertukar pendapat tentang pembangunan.

Beliau turut menggesa Yeoh berbincang dengan Nga agar Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar dirujuk ke jawatankuasa khas tetap Parlimen yang dianggotai wakil rakyat pembangkang dan Gabungan Parti Sarawak, “agar pandangan dan kepentingan pelbagai pihak dipertimbangkan dan isu perancangan bandar tidak dipolemikkan sebagai isu kaum.”

Polis buru lelaki cuba beli emas RM30,000 guna wang palsu

Bernama 

Polis sedang mengesan seorang lelaki yang mahu membeli barangan kemas bernilai RM30,000 dengan menggunakan wang palsu di sebuah kedai emas di Chabang Tiga di Kuala Terengganu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata suspek yang berusia lingkungan 30-an datang bersendirian ke kedai itu pada 3.10 petang dengan memakai kopiah putih, bercermin mata hitam dan pelitup muka merah jambu.

Beliau berkata suspek meminta jurujual berusia 36 tahun untuk menunjukkan beberapa gelang emas dan mengambil gambar atas alasan mahu ditunjukkan kepada isteri, sebelum menyatakan hasrat hendak membeli barangan kemas itu selepas dua kali keluar masuk kedai.

“Jurujual meminta suspek menyerahkan wang untuk dikira dan lelaki itu menyerahkan duit diikat bentuk bungkusan di dalam beg plastik kuning,” katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu hari ini.

Azli berkata jurujual yang berasa curiga kerana bahagian tepi wang itu berwarna putih cuba memeriksa wang tersebut sehingga berlaku insiden tarik-menarik dengan suspek.

Beliau berkata suspek yang menyedari taktik itu terbongkar bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Axia biru gelap yang berada di hadapan kedai.

“Semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu palsu. Polis sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis terlibat serta kedai berhampiran untuk siasatan lanjut,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan iaitu menggunakan wang palsu.

- Bernama

Penuntut UMS maut terjatuh di Dewan Canselor

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditemui meninggal dunia dipercayai terjatuh di Dewan Canselor, di sini, hari ini.

Penuntut lelaki berusia 23 tahun ditemui kira-kira 10 pagi oleh dua pekerja penyelenggaraan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditemui terbaring di atas pentas di dalam Dewan Canselor oleh pekerja bekenaan yang sedang melakukan tugas.

"Pegawai perubatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 11.10 pagi.

"Pemeriksaan luaran mendapati tiada sebarang kecederaan mencurigakan, melainkan kesan akibat terjatuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah turut berada di lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa dilihat terjatuh pada 6.09 petang Rabu lalu.

"Setakat ini, tiada saksi awam yang menyaksikan kejadian berkenaan dan kes ini diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR)," katanya yang memaklumkan siasatan lanjut masih diteruskan.

Sementara itu, Pusat Komunikasi Korporat UMS dalam kenyataan mengesahkan kematian seorang penuntutnya di dalam kampus itu.

Pihaknya turut menunggu hasil siasatan lanjut daripada pihak berkuasa dan merayu orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian mahupun kenyataan tidak sahih berkaitan insiden.

"Kehilangan ini amat dirasai oleh seluruh warga universiti. Sehubungan itu, UMS merayu kepada orang awam agar menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi.

"Keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan UMS. Pihak universiti komited untuk memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif melalui pematuhan ketat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan serta pemantauan berterusan," katanya.

UMS turut menzahirkan takziah kepada keluarga penuntut berkenaan dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes berkenaan.

Remaja menjala ikan dalam banjir ditemui lemas

Hazira Ahmad Zaidi
KUALA KRAI: Remaja lelaki yang hilang selepas tong drum yang dijadikan perahu terbalik ketika menjala ikan di kawasan kebun getah dinaiki air berhampiran Masjid Mukim Pemberian Al Mahdi di sini, ditemui lemas hari ini.

Mayat Muhammad Syahril Hakimy Sudin, 19, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada 9.02 malam pada kedalaman empat meter, susulan kawasan kebun digenangi limpahan air Sungai Lebir.

Difahamkan, Muhammad Syahril Hakimy adalah pemain ragbi Kelantan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khairul Duha Abdul Halim berkata, mayat pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor itu ditemukan pada jarak 50 meter dari lokasi dia hilang.

“Mangsa dipercayai menjadikan tong drum sebagai perahu sebelum ia terbalik ketika menjala ikan di kawasan kebun getah yang ditenggelami banjir.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.22 malam dan operasi mencari dan menyelamatnya segera dilaksana hingga mangsa ditemui,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, jiran mangsa, Syafirul Iman Mohd Rasdhi, 20, berkata, Muhammad Syahril Hakimy dipercayai keluar menjala ikan sekitar 3 petang.

“Kehilangannya disedari seorang penduduk kampung pada 6 petang selepas menemui selipar dan jala miliknya di tebing, manakala tong drum yang dinaikinya didapati terbalik,” katanya yang memaklumkan mereka melakukan pencarian terlebih dahulu sebelum menghubungi bomba untuk bantuan.

Menurutnya lagi, arwah juga dikatakan sedang bercuti dan berada di rumah keluarga di Kampung Pemberian.

AWAS!!! Buang sampah di tempat awam bakal berdepan hukuman khidmat masyarakat

Bernama

ALOR SETAR: Orang ramai yang didapati bersalah membuang sampah di tempat awam berdepan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat hingga 12 jam dan denda hingga RM2,000 apabila Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 atau Akta 672 berkuat kuasa 1 Jan 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata menerusi undang-undang itu tiada pihak dikecualikan termasuk pelancong asing.

Beliau berkata tindakan itu bukan bersifat menghukum, sebaliknya untuk mendidik masyarakat dalam aspek pemeliharaan kebersihan dan mengubah sikap supaya tidak membuang sampah sewenang-wenang.

“Kami ada anggota yang akan pantau dan berada di kawasan-kawasan awam sama ada dalam bentuk penyamaran. Tolonglah jaga dan buang sampah dalam tong disediakan dan jangan buang merata-rata. Tidak terkecuali pelancong asing dan kanak-kanak, kerana kita mahu tindakan ini dalam bentuk komprehensif,” katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Jelajah Kedah Bersih 2025-2030.

Beliau berkata mengutip sampah, cuci tandas serta longkang dan pesalah perlu memakai ves tertera ‘khidmat masyarakat’ antara hukumannya.

Cemas suara minta tolong dari dalam lori

KOSMO
Tangkap layar video ketika suara meminta tolong didengari. - Istimewa
JAKARTA – Satu video tular di media sosial memaparkan suara orang meminta tolong dari dalam bahagian muatan sebuah lori yang diparkir di susur keluar Tol Sebapo, Muaro Jambi, wilayah Jambi, lapor laman berita Detik semalam.

Dalam video yang dimuat naik di media sosial, jelas kedengaran suara lelaki meminta tolong sambil mengetuk belakang lori tersebut.

“Ada orang di dalam bahagian muatan lori menjerit meminta tolong,” kata perakam video berkenaan.

Video tersebut menimbulkan kegusaran dengan ramai yang mengaitkannya dengan kes pemerdagangan manusia.

Menurut Ketua Polis Mestong, Inspektor Hengky Lesmana, selepas disiasat, kejadian itu bukan  melibatkan kegiatan pemerdagangan manusia. 

Sebaliknya, ia adalah pergaduhan antara pemandu dan kelindan lori.

Hengky menjelaskan bahawa semasa pertengkaran tersebut, kelindan mengunci pemandu di dalam bahagian muatan lori, menyebabkan lelaki tersebut menjerit meminta bantuan. 

Tambahnya, selepas kejadian itu, kelindan tersebut membuka kembali pintu bahagian muatan sebelum kedua-dua mereka membawa haluan masing-masing.

“Tiada laporan polis dibuat oleh kedua-dua pihak,” katanya. – AGENSI 

Mayat dalam beg berkait wanita dilapor hilang di Ampang Jaya

NOR AINNA HAMZAH
Lokasi belakang sebuah rumah yang didakwa terdapat beg dipercayai berisi mayat ditanam di Kampung Batu 4, Pedas, di sini, hari ini. Foto NOR AINNA HAMZAH
REMBAU – Mayat dalam beg yang ditemukan ditanam di belakang sebuah rumah di Batu 4, Pedas, di sini, hari ini dipercayai individu yang dilaporkan hilang di Ampang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pada 15 Disember lalu, satu laporan polis berkaitan orang hilang membabitkan seorang wanita diterima Balai Polis Ampang.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis telah pergi ke sebuah rumah di Jalan Pedas – Linggi Rembau. Pemeriksaan di sekitar kawasan rumah tersebut telah mengesan unsur-unsur berlakunya perlakuan jenayah di kawasan belakang rumah tersebut.

“Pemeriksaan lanjut telah menjumpai satu beg mengandungi mayat seorang perempuan yang ditanam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh Pegawai Penyiasat bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Rembau.

“Pihak polis kini sedang giat menjalankan siasatan dan usaha mengesan individu yang disyaki terlibat dalam kes ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Alzafny lagi, prosedur bedah siasat akan dijalankan esok dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline ibu pejabat polis daerah rembau di talian 06-6852222.- KOSMO! ONLINE

Lakukan amang seksual terhadap 2 kanak-kanak perempuan, bekas guru tuisyen didakwa di mahkamah

Zuhainy Zulkiffli
Boon Jye (dua dari kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan. FOTO NSTP
BALIK PULAU: Bekas tenaga pengajar di sebuah pusat tuisyen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan pada tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Lim Boon Jye, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mengikut pertuduhan pertama, Boon Jye didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memegang punggung dan memeluk kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

Kesalahan itu dilakukan antara jam 3 hingga 4 petang pada Mac 2024 di sebuah pusat jagaan di Persiaran Pantai Jerjak 6, Bayan Lepas, dalam daerah Barat Daya.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal dengan cara mencium mulut dan pipi kanak-kanak itu pada masa dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Boon Jye didakwa mengikut Seksyen 14(a) akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk pinggang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun antara jam 8 pagi hingga 1 tengah hari pada Mei tahun lalu di lokasi sama.

Manakala bagi pertuduhan keempat, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal dengan cara mencium bibir dan kepala kanak-kanak perempuan terbabit pada masa dan lokasi sama.

Jika sabit kesalahan bagi semua kesalahan itu, boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani, manakala tertuduh diwakili peguam Savinder Singh.

Asma’ ‘Amira ketika prosiding tidak menawarkan jaminan, manakala Savinder meminta jaminan minimum terhadap anak guamnya berikutan tertuduh mempunyai seorang anak dan isterinya kini mengandung.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh yang bekerja jurutera jualan di syarikat swasta, diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport dan melapor diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai serta tidak boleh mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 15 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes itu.

3 maut, ambulans terbakar awal pagi

KOSMO!
BANGKAI ambulans yang hangus terbakar. - Foto Thai An
HANOI – Tiga orang terbunuh awal hari ini apabila sebuah ambulans bertembung dengan lori kontena dan terbakar di Lebuh Raya Bandar Raya Ho Chi Minh – Long Thanh – Dau Giay, lapor portal berita VnExpress.

Kemalangan berlaku sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) ketika ambulans 12 tempat duduk membawa lima orang itu bergerak ke arah timur dari Bandar Raya Ho Chi Minh menuju wilayah Dong Nai.

Ketika menghampiri laluan masuk kawasan hentian rehat di Kampung Xuan Que, kenderaan itu merempuh belakang lori kontena yang diparkir di lorong paling luar menuju ke kemudahan tersebut.

Impak pelanggaran menyebabkan bahagian hadapan ambulans hancur. Ambulans itu pada lori tersebut sebelum terbakar.

Tiga orang termasuk pemandu ambulans dan pesakit wanita meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua penumpang berjaya menyelamatkan diri daripada kebakaran termasuk adik perempuan kepada pesakit yang meninggal dunia. – AGENSI

Warden penjara ditemui maut tertiarap di ruang tamu rumah dinaiki air

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

KUANTAN – Kehilangan seorang warden penjara yang keluar daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk melihat keadaan rumahnya awal pagi tadi terjawab apabila mangsa ditemui mati di rumahnya di Taman Sri Inderapura di sini hari ini.

Mangsa, Muhammad Hariri Kamarudin,26, ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam air di ruang tamu rumahnya oleh bapanya yang datang mencari mangsa yang tidak pulang selepas keluar daripada PPS Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa keluar daripada PPS seorang diri pada pukul 1 pagi untuk melihat keadaan rumahnya yang ditenggelami banjir sedalam kira-kira 0.3 meter.

“Pada pukul 10 pagi ayah mangsa mendapati mangsa belum pulang ke PPS dan juga gagal dihubungi.

“Ayah mangsa pulang ke rumah dan mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam air kawasan ruang tamu rumah,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, ayah mangsa dengan dibantu orang awam telah mengangkat mayat mangsa ke dalam kenderaan sebelum dibawa ke PPS.

Katanya, pihak polis yang tiba di PPS mendapati mangsa terbaring di tempat duduk belakang kenderaan jenis Mitsubishi Triton.

Ujarnya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.-KOSMO! ONLINE.

Mayat reput ditemui tepi sungai

MOHD SHARKAWI LONDING
MAYAT seorang lelaki ditemui di tepi Sungai Bayu Puteri, Kampung Bakar Batu Majidee, Johor Bahru, petang semalam
JOHOR BAHRU – Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui sudah mereput di tepi Sungai Bayu Puteri, Kampung Bakar Batu Majidee di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada pukul 5.58 petang daripada orang awam.

Menurutnya, mayat lelaki berbangsa tidak pasti itu ditemui di tepi Sungai Bayu Puteri berhampiran sebuah apartmen di Jalan Bayu Puteri 2, Kampung Bakar Batu Majidee.
 
“Mayat ditemui dalam keadaan badan kembung dan mereput, menyukarkan proses pengecaman identiti mangsa.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri selain tiada kesan parut suntikan vaksin BCG pada badan,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Raub berkata, usaha mendapatkan cap jari turut gagal dilakukan berikutan keadaan kulit mangsa yang telah menggelupas akibat pereputan.

Jelasnya, bedah siasat telah dijalankan oleh Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini namun punca kematian tidak dapat dipastikan berikutan keadaan mayat yang telah mereput.

“Semakan juga mendapati setakat ini tiada laporan orang hilang diterima di Balai Polis Permas Jaya, Majidee dan Johor Jaya yang sepadan dengan fizikal mangsa,” ujarnya.

Sehubungan itu, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti identiti si mati dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE

Rafizi ingatkan Akmal Nasir - jawatan menteri itu satu jerat

Rafizi Ramli

Tahniah kepada semua yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam rombakan Jemaah Menteri minggu ini, terutamanya kepada ahli Parlimen Johor Baharu, Akmal Nasrullah Mohd Nasirdan ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Semua orang tahu Akmal dan Syed Ibrahim adalah kawan rapat saya, sebelum politik pun.

Akmal adalah junior saya di sekolah, walaupun kami tidak pernah jumpa.

Tahun 2009, semasa itu saya adalah CEO di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor dan Akmal baru habis belajar dari Amerika Syarikat (AS) dalam ijazah ekonomi dan sains aktuari.

Dia email saya untuk diambil bekerja kerana minatnya dalam bidang politik. Semasa di AS, dia pernah menjadi sukarelawan dalam kempen Presiden Barrack Obama. Dua kali dia tulis email hantar CV (curriculum vitae), dua kali saya tolak.

Bukan sebab CV dia tak bagus, saya tak mahu dia sia-siakan ijazahnya yang baik. Saya nasihatkan dia mula kerjaya sebagai aktuari, buat duit banyak-banyak, timba pengalaman korporat, kemudian sepuluh tahun cari saya balik.

Sebab saya tahu Akmal ingat Malaysia ini macam AS. Graduan yang bagus boleh habiskan beberapa tahun menjadi penyelidik atau pegawai di pejabat politik, kemudian bertukar ke kerjaya korporat.

Keras kepala

Masa itu, di Malaysia, kalau dah ada rekod kerja dengan pembangkang, tak da GLC atau MNC nak ambil bekerja. Tapi Akmal keras kepala, lebih kurang macam saya keras kepala. Dia hantar CV buat kali ketiga.

I always reward persistence. Bila ada seseorang yang gigih mencuba berkali-kali, maknanya orang itu mungkin akan berjaya. Maka Akmal jadi pegawai saya bermula tahun 2009. Sejak dari itu, Akmal jadi tanggungjawab saya.

Bila saya meletakkan jawatan sebagai CEO Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor untuk menubuhkan Pusat Pemberi Maklumat Nasional (Now) dalam tahun 2012, Akmal ikut sekali.

Masa Akmal dengan saya di Now, saya perasan dia ada bakat terpendam, iaitu kebolehan menyamar. Bila kami selidik sesuatu aduan rasuah atau penyelewengan, kami kena siasat untuk sahkan terlebih dahulu.

Masa itu mudah sebab orang tak kenal saya atau Akmal. Dialah yang selalu jadi mangsa berlakon untuk menyamar dan mengesahkan bukti.

Akmal pernah menyamar sebagai rakan kongsi perniagaan lembu dengan saya semasa kami membongkar skandal NFC. Dia juga pernah menyamar sebagai ejen hartanah nak sahkan keluarga menteri duduk di sebuah rumah milik seorang yang dituduh kes rasuah.

Ketika itu juga, Akmal selalu ikut saya berceramah. Dia pemandu tidak berbayar.

Kerja gila

Tanpa pengetahuan saya, dia berulang-alik ke Johor Bahru untuk menghidupkan PKR Johor Bahru sejak awal 2014. Masa itu, orang Johor Bahru tak pandang PKR dan Johor Bahru tidak pernah dimenangi pembangkang.

Tahun 2014, Akmal jadi antara ketua cabang PKR termuda dan saya adalah naib presiden dan setiausaha agung PKR.

Dari situlah saya terpaksa terima hakikat yang Akmal nak buat kerja gila merebut Parlimen Johor Bahru dari Umno. Saya cakap itu kerja gila, tapi dia berkeras.

Kempen trak Invoke bermula dalam bulan September 2016 di Johor Bahru, sebelum menjelajah ke seluruh negara.

Masa berkempen di Johor Bahru, Akmal masih pakai kereta Kelisa berbelas tahun yang dia beli tunai bila balik dari AS. Saya cakap kat dia macam mana nak menang pergi kempen pakai Kelisa.

Jadi kereta pertama yang dia beli di Malaysia adalah atas nama saya. Lepas jadi timbalan menteri baru dia jual kereta itu.

Saya dapat tahu mengenai ura-ura pelantikan Akmal menjadi Menteri Ekonomi lebih awal, seminggu sebelum diumumkan.

Akmal tanya pandangan saya.

Saya ingatkan beberapa perkara sahaja.

Jawatan dan pangkat ini sementara

Kalau kita ambil sesuatu kerja, buatlah sehabis baik

Pujian dan makian orang tidak bantu kita di akhirat, hanya kerja yang ikhlas dan baik yang boleh jadi pahala

Sebab jawatan Menteri dan Timbalan Menteri itu adalah satu jerat.

Kalau kita culas, tidak amanah, kita yang dijerat.

Kalau kita rajin, ikhlas, kerja kita ada kesan, maka ia menjadi jerat yang baik untuk mendapat pahala.

Kisah pasal Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim, nanti saya cerita dalam episod seterusnya.

Kelantan: Kes rogol suka sama suka remaja bawah umur dirujuk JAHEAIK

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kes rogol suka sama suka membabitkan remaja perempuan 16 tahun ke bawah akan dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) untuk tindakan lanjut bawah Mahkamah Syariah.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat bersama JAHEAIK kira-kira dua bulan lalu bagi membolehkan pendakwaan dilakukan ke atas gadis bawah umur.

Menurutnya, pelaksanaan bermula selepas mesyuarat itu dengan lima kes dirujuk kepada JAHEAIK setakat ini.

“Langkah tersebut susulan titah Tuanku Sultan Kelantan supaya kes rogol melibatkan hubungan suka sama suka diserahkan kepada pihak berkuasa agama negeri,” katanya menurut Sinar Harian selepas perhimpunan bulanan di IPK Kelantan, Kota Bharu.

Beliau berkata, gadis berusia 17 dan 18 tahun yang diklasifikasikan bawah kesalahan amang seksual suka sama suka turut akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Katanya, trend kes rogol di Kelantan kini menunjukkan sedikit penurunan dan beliau tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada mangsa atau ibu bapa tidak berani membuat laporan.

“Kebanyakan laporan diterima daripada pegawai perubatan selepas mangsa didapati hamil.”

Lagi layanan tidak manusiawi di pusat tahfiz: [VIDEO] ‘Sampai menggelupur sakit kena rotan bertalu-talu’

KOSMO!
Tangkap layar CCTV yang memaparkan seorang pelajar dipercayai di sebuah pusat tahfiz, dirotan bertalu-talu oleh seorang lelaki dewasa.
PETALING JAYA – Menggelupur kesakitan akibat dirotan bertalu-talu termasuk di bahagian atas badan.

Itu gambaran nasib seorang pelajar yang dipukul seorang lelaki dewasa menggunakan sebatang rotan, dipercayai berlaku di sebuah pusat tahfiz.

Insiden berkenaan dipaparkan pada video yang dimuat naik penyanyi rap, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, menerusi perkongsian salah seorang pengikutnya di media sosial, sebentar tadi.

“Assalamualaikum, Cap. Tolong siasat fasal anak tahfiz kena rotan. Kawannya rakam senyap-senyap rasanya.

Tolong Cap, anak orang tu. Tolong…dirotan sebegitu rupa,” kata pengikutnya itu yang menghantar mesej peribadi di Instagram.

Dalam masa sama, Caprice turut mempersoalkan tindakan salah seorang pelajar yang bertindak menutup skrin televisyen litar tertutup (CCTV) ketika kejadian itu berlaku.

Orang ramai rata-rata menzahirkan rasa marah dan kecewa dengan kejadian tersebut serta menggesa pihak berkuasa bertindak segera mengesan pelaku.

“Rotan dekat leher. Kalau terbelah leher tu tolong letak dalam penjara pak cik kopiah tu. Saman sekali,” gesa @Zieynaaila.

“Budak tu meronta-ronta kesakitan. Rotan kena leher dia, mendidih darah aku tengok ni,” ujar @E_zamry.

“Disebabkan perangai macam ni lah masyarakat anti dengan ustaz dan pusat tahfiz,” komen @Ilalianaaaaaa. – KOSMO ONLINE

Menjelang PRU16: Yang untung, rugi dalam rombakan Kabinet

Lynelle Tham

Rombakan Kabinet kali ini lebih menyeluruh sejak Anwar Ibrahim memegang jawatan pada 2022.
Steven Sim Wee Ka Siong M Saravanan Zaliha Mustafa Naim Mokhtar
Pertukaran dalam rombakan membabitkan Steven Sim daripada DAP yang diberikan kementerian kurang menonjol manakala MCA dan MIC kekal tanpa jawatan, selain Dr Zaliha Mustafa dan Na’im Mokhtar yang digugurkan.
PETALING JAYA: Ada yang beruntung dan ada juga yang menerima tamparan dalam rombakan Kabinet kedua Anwar Ibrahim diumumkan pada Selasa.

Ada juga beberapa parti dalam kerajaan perpaduan yang tidak menerima sebarang jawatan.

Rombakan itu menyaksikan tujuh menteri baharu dilantik, tiga menteri diberi portfolio baharu, tujuh timbalan menteri bertukar peranan, sembilan timbalan menteri baharu dilantik serta dua menteri dan seorang timbalan menteri digugurkan.

Ini menjadikan rombakan kali ini lebih menyeluruh berbanding rombakan pada Disember 2023 sebelum ini. Anwar memegang jawatan sebagai perdana menteri sejak November 2022.

FMT meninjau siapa yang paling untung dan paling rugi:

Untung – PKR

PKR, yang dipimpin Anwar sebagai presiden, secara jelasnya menjadi pihak yang untung. Empat pemimpinnya dinaikkan ke jawatan menteri penuh, manakala beberapa yang lain dilantik sebagai timbalan menteri.

Ia berlaku di sebalik pertelingkahan dalaman parti itu selama beberapa bulan semasa dan selepas pemilihan parti pada Mei, yang memuncak dengan peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai menteri selepas gagal mempertahankan jawatan kepimpinan parti.

Naib presiden PKR R Ramanan dilantik sebagai menteri sumber manusia, ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud mengetuai hal ehwal Sabah dan Sarawak, Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Taufiq Johari sebagai menteri belia dan sukan, manakala ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Akmal Nasir menggantikan Rafizi sebagai menteri ekonomi.

Pelantikan ini menjadikan PKR kini mempunyai sembilan menteri dalam Kabinet, berbanding lapan sebelum rombakan, tidak termasuk Tengku Zafrul Aziz yang meninggalkan Umno untuk menyertai PKR pada Ogos lalu.

Tengku Zafrul berkhidmat sebagai menteri pelaburan, perdagangan dan industri (Miti) sehingga penggal keduanya sebagai senator berakhir pada 2 Disember.

Timbalan menteri baharu daripada PKR termasuk R Yuneswaran (perpaduan negara), Chiew Choon Man (pelancongan, seni dan budaya), Syed Ibrahim Syed Noh (sumber asli dan kelestarian alam), serta Sim Tze Tzin (Miti).

Rugi – DAP

Terkesan dengan prestasi buruk dalam PRN Sabah, pengaruh DAP dalam kerajaan persekutuan kini dilihat semakin terhakis.

Dua menterinya dipindahkan ke portfolio yang dianggap ‘kurang penting’.

Hannah Yeoh mengambil alih jawatan menteri wilayah persekutuan selepas tempoh bergolak di Kementerian Belia dan Sukan, ketika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengenakan sekatan ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan susulan dakwaan pemalsuan.

Daripada menerajui kementerian sendiri, beliau kini berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri. Selain dianggap sebagai ‘penurunan taraf’, beliau juga berdepan cabaran baharu termasuk cadangan Akta Pembaharuan Bandar yang akan menjejaskan pembangunan Kuala Lumpur, serta desakan partinya untuk menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan — kedua-duanya dikatakan memberi kesan besar kepada orang Melayu.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim dipindahkan daripada Kementerian Sumber Manusia ke Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang dilihat sebagai penurunan dari segi kepentingan nasional.

Namun, masih ada sedikit ‘pengubat luka’ buat DAP dengan pelantikan Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol sebagai timbalan menteri belia dan sukan.

Pengarah Strategi Kebangsaan DAP Liew Chin Tong kini berkhidmat sebagai timbalan menteri kewangan, menggantikan Lim Hui Ying yang dipindahkan ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Sebelum ini, Liew merupakan timbalan menteri di Miti.

Untung – Umno dan PBRS

Umno merampas semula portfolio Miti menerusi salah seorang Naib Presidennya Johari Ghani manakala Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad dinaikkan pangkat sebagai menteri perladangan dan komoditi daripada jawatan sebelumnya sebagai timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Ini merupakan keuntungan besar buat parti itu. Portfolio Miti sebelum ini sempat berada di bawah PKR apabila Tengku Zafrul bertukar parti.

Umno turut beruntung dengan kembalinya Ahli Parlimen Paya Besar Shahar Abdullah ke dalam kerajaan sebagai timbalan menteri ekonomi.

Menteri dan timbalan menteri Umno yang lain kekal dengan jawatan masing-masing.

Rakan komponen Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), turut menerima lonjakan besar apabila Presidennya Arthur Joseph Kurup dilantik sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam.

Ini walaupun parti itu hanya memiliki satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN, kedua-duanya disandang oleh Kurup.

Rugi – MCA dan MIC

Rombakan Kabinet ini merupakan satu lagi tamparan buat MCA dan MIC. Kedua-dua parti yang sedang menilai semula kedudukan masa depan mereka dalam BN dan kerajaan perpaduan itu sekali lagi tidak mendapat sebarang jawatan.

Terdapat spekulasi bahawa Timbalan Presiden MIC dan Ahli Parlimen Tapah M Saravanan mungkin akan dilantik namun ia tidak menjadi kenyataan.

Pemberian satu jawatan Kabinet kepada PBRS pastinya menambah pedih buat dua parti veteran BN ini, memandangkan parti komponen Sabah itu pernah meninggalkan BN seketika selepas PRU 2018 sebelum kembali menyertai gabungan tersebut pada 2020.

Rugi – Zaliha dan Na’im

Dr Zaliha Mustafa dan Na’im Mokhtar mungkin merupakan antara ‘korban terbesar’ dalam rombakan Kabinet ini. Kedua-duanya sebelum ini berkhidmat sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri — Zaliha menguruskan wilayah persekutuan manakala Na’im bertanggungjawab dalam hal ehwal agama.

Dalam rombakan Kabinet sebelum ini, Zaliha dilantik sebagai menteri kesihatan.

Penguguran itu dibuat ketika perhatian diberikan terhadap cara beliau mengendalikan isu pembangunan semula Kampung Baru, selain peranannya dalam permohonan pengampunan bekas perdana menteri yang dipenjarakan, Najib Razak. Beliau merupakan ahli Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, penyingkiran Na’im agak mengejutkan memandangkan bekas ketua hakim mahkamah syariah terbabit baru sahaja mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai senator dua minggu lalu.

Sebagai menteri hal ehwal agama, beliau sering dilihat sebagai pelantikan tidak berunsur politik, namun turut menerima kritikan daripada kumpulan masyarakat sivil susulan kenyataan kerasnya mengenai isu moral dan perkara melibatkan komuniti LGBTQ.