Agensi

IMEJ Google Street View menunjukkan Hospital Austin. Fasiliti itu antara tiga tempat yang dikaitkan dengan Cho.
Melbourne: Seorang doktor pelatih warga Singapura di Melbourne ditahan selepas disyaki merakam rakan sekerjanya secara curi di tandas hospital sejak 2021, dengan lebih daripada 10,000 gambar dan video ditemukan dalam peranti yang dirampas oleh polis, lapor The Straits Times.
Lelaki berusia 27 tahun itu dikenali sebagai Ryan Cho, yang ketika itu bekerja di Austin Hospital, menurut laporan media Australia, ABC News.
Laporan lain menyatakan umurnya 28 tahun dan lesen perubatannya digantung oleh pihak berkuasa Australia.
Memetik dokumen mahkamah, akhbar The Age yang berpangkalan di Melbourne melaporkan bahawa pada 25 Jun, seorang kakitangan hospital menyuarakan kebimbangan mengenai seorang lelaki yang berkeliaran di tandas kakitangan di jabatan kecemasan.
Ketika itu, pihak hospital menjalankan siasatan berhubung tandas tersumbat dan kerosakan.
Polis kini mendakwa bahawa perkara itu dilakukan Cho bagi memaksa mangsa masuk ke dalam tandas yang dipasang dengan peranti rakaman, lapor The Age.
Menurut laporan ABC News dan The Age, rakaman berkenaan menunjukkan bahagian sulit mangsa termasuk doktor, jururawat dan kakitangan lain.
Rakaman itu didakwa diambil di hospital termasuk Hospital Austin, Pusat Kanser Peter MacCallum dan Hospital Diraja Melbourne.
Fail-fail berkenaan disusun dalam fail yang berlainan malah diklasifikasikan sebagai "Tier 1" dan "Tier 2", dipercayai berdasarkan nama mangsa.
Perbuatan Cho terbongkar selepas seorang jururawat menemukan beg jaring putih mengandungi telefon di tandas staf pada 3 Julai lalu dan melaporkan kepada pihak pengurusan hospital.
Beberapa hari kemudian, pasukan keselamatan menemukan beg sama di tempat lain, sekali gus membawa kepada penahanan suspek.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan Cho kerap berada di jabatan kecemasan di luar waktu tugas dan berlegar-legar berhampiran tandas.
Cho ditahan kali pertama pada 10 Julai dan dibebaskan dengan ikat jamin namun ditahan semula pada 25 Julai dan kini direman hingga 29 Ogos.
Polis merampas dua telefon bimbit, sebuah komputer riba dan satu cakera keras. Beberapa beg jaring putih dan cangkuk boleh tanggal turut dirampas, yang didakwa oleh polis menyerupai beg yang ditemukan sebelum ini.
Straits Times turut melaporkan pihaknya sudah menghubungi Kementerian Luar Negeri Singapura untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan