Buletin TV3

Kanak-kanak lelaki yang dirakam CCTV mengambil dua anak kucing sebelum haiwan peliharaan itu ditemukan mati di sebuah pangsapuri. – Foto tular
KUALA LUMPUR: Foto memaparkan dua anak kucing terbaring berlumuran darah di koridor sebuah pangsapuri dengan kesan kecederaan, mencetuskan kemarahan orang ramai selepas tular di media sosial.
Turut tular, rakaman video menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki yang dilihat mengambil anak kucing dari sangkar di hadapan sebuah kediaman, sebelum haiwan itu ditemui mati dengan kesan pendarahan.
Pengguna media sosial yang membuat hantaran itu, mendakwa kejadian berlaku di tingkat lima blok D Pangsapuri Seri Nilam di Bandar Baru Ampang, dekat sini.
Dua anak kucing itu dikatakan baru dilahirkan dan diambil daripada ibunya sebelum ditemui mati di tingkat empat blok sama, namun tidak dinyatakan tarikh sebenar kejadian.
Hantaran itu turut menyebut insiden seumpamanya termasuk kucing dibaling dari tingkat tinggi dan diracun pernah berlaku di pangsapuri sama, sambil menyeru penduduk setempat membuat laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta laporan polis bagi memastikan pelaku diambil tindakan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata pihaknya menerima empat laporan berkaitan kes penganiayaan terhadap kucing di pangsapuri itu Julai lalu, manakala tiada laporan baharu diterima setakat ini.
"Pihak polis sudah melawat lokasi kejadian selepas menerima laporan dan mendapati kes berkenaan berada dalam pengetahuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Hulu Langat.
"Semua laporan yang diterima akan diselaraskan bagi tindakan lanjut pihak berkuasa berkaitan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tiada kertas siasatan dibuka oleh pihak polis memandangkan kes sudah dirujuk dan dalam pengetahuan pihakJabatan Perkhidmatan Veterinar Hulu Langat.
Pada 17 Julai lalu, media melaporkan penduduk pangsapuri berkenaan meminta pihak berkuasa menyiasat secara terperinci serta mengambil tindakan terhadap pelaku kejadian penderaan dan pembunuhan kucing yang berlaku di kawasan itu.
Penduduk turut menuntut pelaku dikenakan hukuman setimpal mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015, susulan beberapa kejadian kejam membabitkan kucing yang didakwa diracun dan dibuang dari tingkat tinggi sejak awal Julai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan