"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Sindiket beri amaran jangan campur kegiatan mereka

ROHANA MOHD. NAWI
ANGGOTA APMM menahan PATI yang mendarat di tebing Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu baru-baru ini. – IHSAN APMM
KOTA BHARU – Penduduk di sekitar Kuala Besar dan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini mendakwa menyaksikan sendiri kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mendarat di tebing Sungai Kelantan sebelum dibawa keluar menggunakan kenderaan.

Kegiatan itu dipercayai berlaku sejak tiga bulan lalu terutamanya pada tengah malam hingga awal pagi, sekali gus me­nimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

Seorang penduduk Kuala Besar, Ibrahim Alang, 50, berkata, PATI terbabit terdiri daripada pelbagai warganegara dan dipercayai dibawa masuk menggunakan bot fiber dari beberapa pulau kecil di kawasan Tumpat sebelum mendarat di tebing Sungai Kelantan di Kuala Besar dan PCB.

“Antara 20 hingga 30 orang PATI diseludup menggunakan bot fiber setiap hari di kawasan itu. PATI itu dipercayai diambil dari beberapa pulau termasuk Pulau Tengkorak, Pulau Tokang, Pulau Beluru dan Pulau Ular di Tumpat.

“Sindiket juga pernah memberi amaran kepada penduduk setempat agar tidak masuk campur kegiatan mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Ibrahim menberitahu, sebelum ini, tidak banyak kenderaan keluar masuk ke kampung itu, namun sebaliknya berlaku sejak kebelakangan ini.

Seorang penduduk yang se­ring memancing di tebing Sungai Kelantan di Kuala Besar, Azman Ali, 28, berkata, kegiatan penyeludupan PATI dikesan kerap berlaku di kampung itu sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Katanya, dia pernah terdengar bunyi bising dari kawasan pulau berhampiran sebelum melihat sebuah bot fiber menghampiri kawasan berkenaan dan mendarat di tebing Sungai Kelantan di Kuala Besar.

“Saya juga melihat sendiri bot berkenaan yang membawa muatan PATI sampai ke tebing sungai. Penyeludup tidak akan menunggu lama selepas mendaratkan PATI ke tebing sungai sebelum ‘transporter’ membawa mereka keluar menggunakan kereta,” katanya.

Seorang lagi pemancing, Haris, 30, berkata, dia pernah terse­rempak dengan sekumpulan PATI yang bersembunyi di kawasan semak pada awal pagi.

Menurutnya, dia mengesyaki kumpulan tersebut merupakan PATI selepas terdengar percakapan mereka yang tidak difahami.

“Saya pernah mengambil kayu dan membaling ke arah semak sehingga menyebabkan mereka bertempiaran lari dan menyorok di kawasan lain bagi mengelak dikesan penduduk,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: