Malaysiakini
Tiga beranak merangkumi seorang bapa berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya maut di tempat kejadian selepas dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen di Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurut siasatan awal polis, kejadian pada jam 1 pagi itu berlaku apabila lori Isuzu ‘Black Maria’ tanpa muatan berkenaan dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin.
Dengan siren yang dibunyikan, lori yang dipandu seorang anggota berusia 43 tahun itu melanggar lampu merah di persimpangan berhampiran kompleks membeli-belah Maju Junction di Jalan Sultan Ismail sebelum dirempuh sebuah Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat dari arahnya berwarna hijau.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pemandu Saga berkenaan dipercayai tidak sempat mengelak, menyebabkan kenderaannya merempuh lori itu di tengah-tengah persimpangan.
“Akibat perlanggaran tersebut, lori berkenaan telah hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat orang pejalan kaki yang merupakan satu keluarga, serta sebuah kenderaan Inokom Matrix yang dipandu oleh satu lelaki berumur 38 tahun yang berhenti di persimpangan lampu isyarat ketika kejadian dan turut terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan tiga ahli keluarga berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian, terdiri daripada seorang lelaki berusia 53 tahun yang merupakan bapa, serta dua anak perempuannya, masing-masing seorang wanita berusia 25 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mangsa keempat yang merupakan isteri kepada lelaki berkenaan dan ibu kepada dua mangsa yang terkorban mengalami kecederaan parah di kepala, tangan kanan dan kedua-dua belah kaki.
Dia kemudiannya bergegas dibawa ke zon merah Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
Zamzuri berkata polis telah menahan pemandu lori Jabatan Imigresen dan Proton Saga yang terlibat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.
Ujian terhadap kedua-dua pemandu berkenaan mendapati mereka bebas daripada pengaruh alkohol dan dadah.
Tragedi berdarah itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Melalui hantaran di Facebook pagi tadi, dia menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan Jabatan Imigresen menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kemalangan itu.
“Jika terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi.
“Al-Fatihah," kata Anwar.
Susulan itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Zakaria Shaaban ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihak polis sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kes berkenaan berdasarkan prosedur operasi standard jabatan.
“Siastan pihak polis ke atas kemalangan yang berlaku termasuk mengenalpasti pihak yang bersalah dalam insiden ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan