"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dah berkali-kali dipenjara, lelaki tak serik intai bawah skirt wanita diberi amaran hukuman sebat

Agensi

Singapura: Seorang lelaki yang berulang kali merakam video di bawah skirt wanita dipenjara 28 minggu selepas mahkamah memberi amaran pada Jumaat bahawa hukuman sebat boleh dikenakan sekiranya dia mengulangi kesalahan itu, lapor Channel NewsAsia (CNA).

Gary Huang Kunjie, 41, mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengintai secara seksual (voyeurisme) bagi kesalahan yang dilakukan pada Jun tahun ini.

Dia berulang kali dipenjarakan atas kesalahan sama sejak 2018 dengan sabitan direkodkan setiap tahun dari 2018 hingga 2022 serta pada 2025.

Pada 20 Jun lalu, Huang yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja terlihat seorang wanita yang menarik perhatiannya sebelum mengekori mangsa menaiki eskalator di pusat beli-belah Northpoint City, Yishun.

Dia kemudian meletakkan telefon bimbit di bawah skirt wanita itu untuk merakam video sulit sebelum menontonnya bagi kepuasan seksual dan memadamkan rakaman berkenaan.

Huang turut mengaku merakam video di bawah skirt wanita yang tidak menyedari perbuatannya kira-kira dua kali seminggu antara Mei hingga Jun lalu, membabitkan sekitar 20 mangsa. Dia memadamkan rakaman itu selepas menontonnya, menyebabkan polis tidak dapat mendapatkannya semula video berkenaan.

Dia ditahan pegawai Komand Pengangkutan Pasukan Polis Singapura ketika operasi di stesen MRT Khatib pada 8 Julai lalu. Dokumen mahkamah tidak menyatakan sebab penahanannya sebelum dia disoal siasat polis.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Salihin Salim memohon hukuman penjara antara 22 hingga 25 minggu dengan alasan hukuman itu perlu memberi kesan pencegahan memandangkan rekod kesalahan berulang tertuduh.

Bagaimanapun, Hakim Daerah R Arvindren mempersoalkan mengapa pihak pendakwaan tidak memohon hukuman sebat atau latihan pemulihan iaitu hukuman penjara jangka panjang antara lima hingga 14 tahun bagi pesalah berulang.

Salihin menjelaskan hukuman sebat tidak dimohon kerana Huang hanya berdepan satu pertuduhan.

Namun, hakim berpendapat hukuman yang dicadangkan terlalu ringan memandangkan tertuduh mengaku merakam video sulit wanita kira-kira dua kali seminggu.

Apabila ditanya mengapa hukuman sebat tidak sepatutnya dikenakan terhadapnya, Huang yang tidak diwakili peguam berkata, dia menyesali perbuatannya dan mengaitkannya dengan tekanan kerja.

Dia mendakwa sukar mendapatkan pekerjaan stabil kerana tidak mampu menguruskan kesejahteraan mental dengan baik.

Huang berkata, dia masih mendapatkan bantuan psikiatri tetapi sukar menangani tekanan pekerjaan semasa.

Dia yang kelihatan hampir menangis turut meluahkan kekesalan kerana tidak menjaga ibu bapanya yang sudah lanjut usia.

Hakim menyuarakan kebimbangan bahawa Huang akan terus mengulangi kesalahan sambil mempersoalkan bagaimana dia akan berubah selepas berulang kali melakukan perbuatan sama terhadap wanita tidak bersalah di tempat awam.

Huang berkata, dia memerlukan pekerjaan yang membuatkannya sentiasa sibuk, namun mahu memperlahankan rentak kehidupan dan melakukan kerja sambilan bagi mengurangkan tekanan mental serta menyesuaikan diri semula dalam masyarakat.

Hakim menerima bahawa dia mungkin benar-benar berusaha untuk berubah tetapi memberi amaran bahawa peluang itu adalah yang terakhir dan hukuman sebat perlu dipertimbangkan jika dia mengulangi kesalahan.

Bagi kesalahan mengintai secara seksual atau mengintip untuk kepuasan seksual (voyeurism) di Singapura, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, dikenakan hukuman sebat atau gabungan hukuman berkenaan.
-hmetro

Dadah ketamin 1.16 tan dalam kapal: Indonesia siasat firma berpengkalan di Johor

Alyaa Alhadjri

Polis Indonesia mengenal pasti sebuah syarikat berpangkalan di Johor Bahru sebagai pemilik berdaftar kapal tangki yang dirampas bersama 1.16 tan ketamin bernilai kira-kira RM784 juta di perairan negara jiran itu awal minggu ini.

Ketua Polis Indonesia Suyudi Ario Seto mendedahkan nama kapal tangki berbendera Mongolia itu dan identiti syarikat berkenaan pada sidang media di Pelabuhan Bandar Deli, Medan, Sumatera Utara, semalam.

“Fakta ini akan memberikan petunjuk penting kepada penyiasat untuk meneliti penglibatan korporat dan individu yang mengawal rangkaian antarabangsa ini,” kata Suyudi seperti dipetik portal Detik.

Pihak berkuasa Indonesia belum mengaitkan mana-mana warga Malaysia secara terbuka dengan kes itu.

Semakan Malaysiakini terhadap rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati nama dan alamat berdaftar sebuah entiti sepadan dengan maklumat yang didedahkan polis Indonesia.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama syarikat itu sementara menunggu penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa Malaysia.

Lapan anak kapal ditahan

AFP pula melaporkan polis dan pegawai kastam Indonesia memintas kapal itu pada Selasa (20 Okt) ketika ia menuju ke Pelabuhan Klang, Selangor.

Kapal tangki itu kemudian dibawa ke Pelabuhan Belawan, Sumatera Utara, sebelum pihak berkuasa menemukan 58 guni mengandungi 1.16 tan ketamin hidroklorida (HCl).

“Menerusi operasi penggeledahan ini, pasukan bersama berjaya merampas dadah terlarang jenis ketamin HCl. Barang bukti ditemukan dalam 58 guni dengan jumlah berat mencecah 1.16 tan,” kata Suyudi seperti dipetik AFP.

Lapan anak kapal yang terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan seorang warga Taiwan ditahan.

Tiada warga Malaysia dikenal pasti secara terbuka dalam kalangan mereka yang ditahan.

Pergerakan mencurigakan di Selat Melaka

Menurut agensi berita nasional Indonesia Antara, pihak berkuasa memantau kapal tangki itu selepas mengesan pergerakan mencurigakan ketika melalui Selat Melaka.

Pada 14 Okt, kapal itu dijejaki berlayar sejajar dengan pesisir Perak sebelum memperlahankan kelajuan di perairan sebelah barat George Town, Pulau Pinang.

Kapal itu kemudian menuju ke bahagian utara Selat Melaka dan dikesan di luar pesisir utara Aceh pada keesokan hari.

Pada 16 Okt, kapal itu dikesan berhampiran Palian di selatan Thailand. Ia dilaporkan memperlahankan kelajuan dan menukar haluan di kawasan itu.

Penyiasat turut dilaporkan mengesan kejanggalan pada Sistem Pengenalan Automatik (AIS) kapal itu yang menghantar maklumat dua identiti berbeza.

Menurut Detik, kapal tangki yang dibina pada 1993 itu pernah beroperasi menggunakan nama lain.

Suyudi dilaporkan berkata menukar nama kapal berulang kali antara kaedah yang digunakan penyeludup dadah melalui laut untuk mengelak dikesan.

Suspek cabut lari tinggal kabel curi

ADNAN IBRAHIM
TANGKAP layar video tular memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai digunakan dalam cubaan mencuri kabel di Taman Titiwangsa, Kluang awal pagi semalam
KLUANG – Cubaan seorang lelaki mencuri kabel di Taman Titiwangsa di sini gagal selepas perbuatannya disedari orang ramai awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya mengesan video kejadian itu yang tular di Facebook kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.

Menurutnya, video berdurasi 31 saat itu memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda menarik kabel di atas jalan di kawasan perumahan berkenaan.

Bagaimanapun, suspek dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran orang ramai. Kabel berkenaan kemudian ditinggalkan di atas jalan raya.

“Video tular itu dijadikan laporan maklumat pertama dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis kini giat mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerusi talian 07-7784222, 07-7784256, 07-7766822 atau Pusat Kawalan Daerah (DCC) di talian 014-3656822. – KOSMO! ONLINE

Bangunan 16 tingkat runtuh, 7 tertimbus

KOSMO!
PETUGAS kecemasan cuba mengalihkan serpihan sebuah bangunan yang runtuh di kejiranan Eastleigh, Nairobi semalam. – AFP
NAIROBI – Pasukan penyelamat mencari tujuh orang yang dikhuatiri terperangkap selepas sebuah bangunan bertingkat dalam pembinaan runtuh di ibu negara Kenya, Nairobi semalam.

Rakaman video tular menunjukkan impak dahsyat dan kepulan debu tebal semasa bangunan 16 tingkat itu runtuh di kawasan perniagaan serta kejiranan padat penduduk di Eastleigh.

“11 kedai di tingkat bawah dan ruang bawah tanah dibuka semasa  kemalangan berlaku.  Tujuh orang dilaporkan hilang,” kata Menteri Dalam Negeri, Kipchumba Murkomen di platform X lewat semalam.

Menurutnya, 66 daripada 67 pekerja di tapak binaan itu selamat, manakala seorang lagi cedera.

Kontraktor dan jurutera sepatutnya memastikan kerja-kerja diselia oleh golongan profesional. Namun kebanyakan mereka tidak berbuat demikian.

Laporan Lembaga Pemeriksa Bangunan Kebangsaan mendapati 87 peratus bangunan yang diaudit di seluruh Kenya tahun lalu tidak memenuhi piawaian atau  kelulusan yang diperlukan.

Terdapat 86 kejadian bangunan runtuh antara tahun 2009 hingga 2019 di Nairobi, yang mengorbankan dianggarkan 200 orang, manakala amalan rasuah  membolehkan kontraktor mengambil jalan mudah atau melanggar peraturan. – AFP

Remaja maut kemalangan, lima mangsa tercampak dalam parit

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
KERETA dinaiki sebuah keluarga dipercayai terbabas sebelum 'tersangkut' pada pokok kelapa. FOTO Video Alias Abd Rani
KERETA dinaiki sebuah keluarga dipercayai terbabas sebelum 'tersangkut' pada pokok kelapa. FOTO Video Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Lima mangsa tercampak, seorang lagi tersepit," demikian gambaran penduduk, Salleh Ismail, 43, ketika menceritakan keadaan di lokasi kemalangan yang mengorbankan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di Jalan Baru Simpang 5, berhampiran Bagan, di sini, malam tadi.

Menurut Salleh, dia bersama beberapa penduduk setempat bergegas ke lokasi sebaik mendapat tahu mengenai kemalangan itu dan melihat kereta 'tersandar' pada pokok.

"Apabila tiba, saya melihat dua mangsa tercampak ke dalam parit, seorang kanak-kanak ditemukan di bawah pokok. Keseluruhannya lima mangsa kemalangan tercampak, seorang lagi tersepit di tempat duduk pemandu.

"Tidak lama kemudian, pasukan bomba tiba. Kami tidak pasti bagaimana kemalangan berlaku, tetapi kereta terbabit turut menghempap bumbung sebuah kenderaan rosak yang diletakkan berhampiran bengkel," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam di Jalan Baru Simpang 5, berhampiran Bagan, di sini, Putera Muhaimin Qudrat Mohd Noor Wandi, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Difahamkan, mangsa bersama ibu dan bapa saudara serta tiga adiknya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Parit Baijuri, Semerah, selepas makan malam di sebuah pusat beli-belah di bandar ini.

Bagaimanapun, kereta yang dipandu bapa saudara mangsa, Nor Azlan Shaharudin, 27, dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan terbabas ke dalam semak berhampiran.

Tiga adik Allahyarham Putera Muhaimin Qudrat iaitu Puteri Nur Fairuza Balqis, 15; Putera Khairunas, 11; dan Putera Aidin Firdaus, tiga tahun dan ibu saudara mangsa, Rahmah A Rahim, 26, cedera dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Ketika kejadian, ibu bapa mangsa, Noorwandi A Rahim, 41, dan Norfarahin Mohamad, 38, dikatakan pulang berasingan dengan menaiki motosikal.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Zulmazi Ariffin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.16 malam.

Katanya, seramai 13 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi untuk membantu menyelamatkan mangsa.

Menjelang PRU16: Hadi, Hamzah dan teka-teki calon PM

Amin Ishak

Hubungan politik Hadi Awang dan Hamzah Zainudin semakin menarik diperhatikan ketika percaturan calon perdana menteri pembangkang mula diperkatakan menjelang PRU16.

Jumlah kehadiran Presiden PAS Hadi Awang ke sidang Dewan Rakyat sering menjadi polemik, terutama apabila lawan politik menggunakannya untuk mempersoalkan tanggungjawab beliau sebagai Ahli Parlimen Marang.

Justeru, apabila Hadi hadir ke Dewan, kelibatnya hampir pasti mendapat perhatian. Begitulah keadaannya pada 12 Okt lalu apabila beliau duduk sebaris dengan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin ketika presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu mengambil giliran membahaskan Belanjawan 2027.

Selepas Hamzah selesai berucap, kedua-duanya turut bersama sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang yang hadir.

Pada zahirnya, kedua-dua momen itu mungkin tidak membawa apa-apa makna luar biasa. Seorang presiden parti hadir mendengar ketua pembangkang berbahas, kemudian bergambar bersama rakan-rakan politik.

Namun, dalam landskap politik semasa, apatah lagi ketika PRU16 semakin menghampiri, perkara yang kelihatan biasa kadangkala mengundang tafsiran lebih luas.

Satu persoalan yang mungkin timbul ialah sama ada kehadiran Hadi sekadar tanda sokongan kepada Hamzah sebagai ketua pembangkang, atau mencerminkan keyakinan lebih besar terhadap pemimpin berkenaan dalam percaturan selepas PRU16.

Persoalan itu menjadi relevan apabila parti-parti pembangkang kini mencari bentuk kerjasama baharu selepas pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), dengan PAS, Wawasan, Gerakan, Pejuang dan MIPP antara parti berpotensi bergerak dalam satu jajaran politik.

(Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Okt membenarkan permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang membatalkan pendaftaran gabungan itu.)

Nama Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar tentunya tidak boleh diketepikan. Naib presiden PAS itu sudah lama disebut sebagai antara pemimpin berpotensi diketengahkan ke peringkat nasional, malah pernah dilantik ketua pembangkang ketika PN masih berfungsi sebagai sebuah gabungan.

Namun, perkembangan selepas itu memberi satu dimensi lain.

Jun lalu, Hadi mengumumkan Hamzah akan kembali menjadi ketua pembangkang selepas Samsuri memegang jawatan itu untuk tempoh singkat. Keputusan berkenaan dibuat selepas sokongan majoriti Ahli Parlimen pembangkang beralih semula kepada Hamzah.

Ia bukan kali pertama Hamzah mendapat kepercayaan politik yang mempunyai kaitan dengan PAS.

Selepas PRU15, pelantikannya sebagai ketua pembangkang juga dibuat susulan cadangan PAS. Apabila Hamzah menubuhkan Wawasan pula, beliau mendedahkan nama parti itu diberikan Hadi.

Semua episod itu tidak bermakna Hadi sudah memilih Hamzah sebagai calon perdana menteri. Tiada pengumuman sedemikian dibuat, malah Hadi sebelum ini menegaskan soal calon hanya boleh dinilai selepas diketahui kekuatan sebenar setiap parti pada pilihan raya.

Tetapi di situlah angka menjadi penting.

PAS mempunyai 43 Ahli Parlimen ketika ini, menjadikannya parti tunggal dengan wakil terbesar di Dewan Rakyat. Jika parti itu mampu mempertahankan atau menambah kerusinya pada PRU16, kedudukannya dalam menentukan bentuk kerajaan selepas pilihan raya tentunya semakin besar.

Cakap-cakap mengenai calon perdana menteri juga tidak boleh dipisahkan daripada kemungkinan kerjasama PAS dengan Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, berlandaskan semangat penyatuan ummah yang kembali diperkatakan.

Dalam senario sedemikian, nama Presiden Umno Zahid Hamidi turut muncul. Bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming pada September lalu meramalkan Zahid boleh menjadi perdana menteri jika satu ‘gelombang biru’ membolehkan BN bersama PAS dan sekutunya membentuk kerajaan selepas PRU16.

Menurut Ong, Zahid berpotensi menjadi calon yang boleh diterima parti-parti lain termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Namun kedudukan itu tentunya banyak bergantung pada prestasi Umno.

Umno kini mempunyai 26 Ahli Parlimen. Jika parti itu kembali dominan dengan menambah kerusi secara ketara pada PRU16, Zahid atau pemimpin Umno lain mempunyai asas lebih kukuh untuk diketengahkan sebagai calon perdana menteri.

Tetapi, bagaimana pula jika PAS kekal sebagai parti terbesar dalam blok berkenaan?

Jika PAS menambah kerusi, sementara Wawasan pimpinan Hamzah turut mendapat tempias daripada kerjasama politik yang dibentuk menjelang PRU16, imbangan kuasa dalam blok itu boleh berubah.

Dalam keadaan tiada satu parti mempunyai majoriti mudah, sokongan PAS tentunya menjadi amat bernilai.

Perlembagaan menetapkan Yang di-Pertuan Agong melantik seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan.

Maka, jika PAS muncul dengan kumpulan Ahli Parlimen terbesar dalam sesuatu jajaran kerajaan selepas PRU16, pendiriannya mengenai siapa yang patut mengetuai kerajaan tidak boleh dipandang ringan.

Adakah Samsuri menjadi pilihannya? Adakah PAS bersedia menyokong Zahid sekiranya Umno kembali kuat? Atau mungkinkah nama Hamzah sekali lagi diketengahkan?

Hamzah sekurang-kurangnya mempunyai pengalaman pentadbiran untuk dimasukkan dalam pertimbangan. Beliau pernah memegang portfolio menteri dalam negeri, selain pernah menjadi menteri perdagangan dalam negeri dan timbalan menteri luar.

Kini, beliau mempunyai pula pengalaman mengetuai blok pembangkang serta sebuah parti sendiri.

Menariknya, Hamzah sendiri setakat ini tidak meletakkan dirinya secara terbuka sebagai calon.

Tetapi, sejarah politik negara menunjukkan calon perdana menteri tidak semestinya ditentukan lebih awal melalui poster, konvensyen atau pengumuman parti.

Kadangkala keputusan sebenar hanya muncul selepas keputusan pilihan raya diketahui, apabila angka kerusi sudah berada di atas meja dan setiap parti mula menentukan siapa yang boleh mengumpulkan sokongan majoriti.

Sebab itu, kehadiran Hadi di sisi Hamzah pada 12 Okt tidak harus dibaca terlalu jauh. Ia bukan bukti bahawa satu keputusan sudah dibuat.

Namun, ia juga sukar dipisahkan daripada beberapa perkembangan sebelum ini — daripada pelantikan Hamzah sebagai ketua pembangkang, pengembaliannya ke jawatan itu, sehinggalah hubungan politik yang semakin jelas antara kedua-duanya.

Dalam politik, hampir semua perkara boleh berubah sebaik angka pilihan raya diketahui.

Tetapi, sebelum pilihan besar dibuat secara terbuka, kecenderungan seseorang pemimpin kadangkala sudah boleh dibaca daripada pilihan kecil yang dibuatnya lebih awal.

Dan setakat ini, apabila tiba beberapa persimpangan penting dalam perjalanan politik Hamzah, Hadi tidak pernah terlalu jauh daripadanya.

Inspektor polis dipenjara 6 tahun guna dokumen palsu dalam kertas siasatan dadah

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
CRALL Mark (kiri) dihukum penjara enam tahun selepas didapati bersalah menggunakan dokumen palsu berkaitan siasatan kes dadah. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
CRALL Mark (kiri) dihukum penjara enam tahun selepas didapati bersalah menggunakan dokumen palsu berkaitan siasatan kes dadah. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Tawau: Inspektor polis dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga tuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan siasatan kes dadah, tiga tahun lalu.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Crall Mark Bait, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan ketiga-tiga pertuduhan pindaan terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan setiap daripada ketiga-tiga pertuduhan yang dipinda di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 466 Kanun yang sama, melampaui keraguan munasabah.

"Oleh itu, saya mendapati tertuduh bersalah dan mensabitkannya atas ketiga-tiga pertuduhan yang dipinda itu," katanya dalam penghakiman hari ini.

Tertuduh dihukum penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh sabitan, dengan semua hukuman diperintah berjalan secara berasingan yang menjadikan keseluruhan enam tahun penjara.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan susulan permohonan dikemukakan peguam Sylvester Kuan yang mewakili tertuduh.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa dengan tipu daya menggunakan sebagai tulen dokumen palsu berupa rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah yang dibuat oleh tiga anggota polis dalam kapasiti rasmi mereka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam.

Arkitek bergelar datuk didakwa cabul anak pegawai polis

Bernama

Seorang arkitek bergelar datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mencabul anak lelaki pegawai kanan polis di gimnasium Taman Melawati, Ahad lepas.

Datuk Saiful Anuar Abdul Aziz, 61, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berumur 18 tahun dengan niat mencabul kehormatannya di bilik sauna (steam room) gimnasium di sebuah pusat beli-belah di Taman Melawati, pada 7.10 malam, 18 Okt lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M Ramanathan Alias Ashwin memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam K Theivaendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga termasuk ibu berumur 89 tahun yang uzur.

“Saya membantah permohonan pihak pendakwaan untuk tertuduh menyerahkan pasport kerana anak guam mempunyai projek-projek di luar negara termasuk di Riyadh dan tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri,” katanya.

Majistret Siti Nur Ain Ariffin membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 26 Nov ini untuk sebutan kes.

Pada Rabu lepas, media melaporkan seorang lelaki warga emas ditahan pegawai kanan polis berkenaan selepas didakwa mencabul anak lelakinya di sebuah pusat gimnasium di Melawati.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di pusat gimnasium itu bersama rakannya.

- Bernama

Budak 7 tahun maut jatuh tingkat 10

MOHD SHARKAWI LONDING
PASUKAN Forensik sedang melakukan siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak ditemui maut terjatuh tingkat 10 PPR Sungai Melana Fasa II, Taman Sutera Ros, Tampoi, Johor Bahru hari ini.
JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak Tahun Satu ditemui maut selepas terjatuh daripada tingkat 10 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Melana Fasa II, Taman Sutera Ros, Tampoi di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Mohammad Adib Rizqy Mohammad Fauzi, 7, disahkan meninggal dunia di tingkat bawah bangunan 10 tingkat.
MOHAMMAD Adib
Difahamkan, ketika kejadian, anak kedua daripada empat beradik itu keluar rumah untuk bermain basikal dengan kawan-kawannya di beranda sebelum dipercayai terjatuh ke tingkat bawah.

Ketika kejadian, ibu mangsa sedang berada di dalam rumah manakala bapanya keluar bekerja sebagai kelinda di sekitar Johor Bahru.

Ibu mangsa menyedari kejadian itu selepas rakan anaknya memberitahu Mohammad Adib jatuh ke bawah.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian mendapati pasukan forensik sedang melakukan siasatan kejadian berkenaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, Kosmo! sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu.-KOSMO! ONLINE

Bayi ditemui dalam kotak di bawah tangga pangsapuri

Safeek Affendy Razali
safeek@bh.com.my

Gombak: Bayi lelaki ditemukan masih hidup di dalam kotak yang ditinggalkan di bawah tangga sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Jalan Puri Kepong di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu pada jam 9.14 pagi semalam.

"Laporan dibuat seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 35 tahun yang menemui bayi berkenaan.

"Bayi lelaki itu dipercayai ditinggalkan oleh individu tidak bertanggungjawab yang belum dikenal pasti," katanya kepada media hari ini.

Menurutnya, ketika ini bayi itu dalam keadaan sihat dan ditempatkan di hospital untuk pemantauan lanjut.

"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohammad Hisham Mohd Rahman@Amir Hamzah di talian 010-947 5532 bagi membantu siasatan.

Pengawal keselamatan didakwa amang seksual adik tiri

Meor Riduwan Meor Ahmad
Pengawal keselamatan berdepan dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap adik tiri. Foto NSTP
MELAKA: Pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik tirinya berusia 15 tahun.

Tertuduh berusia 29 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut dua pertuduhan itu, lelaki terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun bagi maksud seksual.

Kesalahan itu dilakukan di bilik sebuah rumah di Taman Anika kira-kira jam 8 pagi pertengahan November 2025, dan di sebuah rumah di Jalan Pandan Jaya, Taman Pandan Jaya, pada 15 Oktober lalu, kira-kira jam jam 3.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa yang juga adik tirinya atau saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Peguam Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh masih bujang tinggal bersama keluarga dan hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,700 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Kes disebut semula pada 23 November depan bagi serahan dokumen.

Lelaki maut akibat letupan helium

Bernama

Mangsa meninggal dunia selepas parah pada pinggang dan ke bawah.
Bomba Selangor berkata lelaki berusia 49 tahun itu ketika kejadian sedang membuat kerja kimpalan di sebuah kilang barang lupus, di Kajang. (Gambar Magnific)
PETALING JAYA: Seorang lelaki maut akibat parah susulan letupan tangki helium di sebuah kilang barang lupus di Sungai Chua, Kajang, pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 11.53 pagi.

Beliau berkata, letupan menyebabkan mangsa berusia 49 tahun itu parah pada pinggang ke bawah.

“Kejadian berlaku semasa mangsa sedang membuat kerja kimpalan di kilang itu,” katanya menurut Bernama.

Ashrul berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Rafizi arah peguam saman Ramanan, gesa Anwar dirujuk ke jawatankuasa parlimen

Malaysiakini

Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli mengarahkan pasukan peguamnya memulakan proses saman terhadap Naib Presiden PKR, R Ramanan, susulan pelbagai dakwaan yang dibuat Menteri Sumber Manusia itu terhadapnya dalam sidang media semalam.

Bekas menteri ekonomi itu berkata dia sudah menyerahkan rakaman video dan transkrip sidang media berkenaan kepada pasukan peguamnya untuk tindakan lanjut.

Menurut Rafizi, pasukan peguamnya berpendapat terdapat asas kukuh untuk memfailkan saman terhadap Ramanan kerana kenyataan yang dibuatnya didakwa melanggar undang-undang fitnah di negara ini.

"Sidang media itu mengesahkan bahawa R Ramanan tidak pernah mengambil tindakan mahkamah berhubung kenyataan saya yang menamakan beliau sebagai ahli parlimen PKR yang mengambil suapan RM9.5 juta untuk menyelesaikan kes mafia korporat.

"R Ramanan juga mengulangi bahawa beliau tidak akan mengambil tindakan undang-undang mengenai kenyataan itu, berbeza dengan cabaran beliau untuk menyaman sesiapa yang mengaitkan beliau, seperti di dalam satu sidang media terdahulu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Rafizi berkata sidang media sama juga mengesahkan bahawa kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen minggu ini, bahawa R Ramanan telah mengambil tindakan mahkamah, adalah tidak benar.

Rafizi turut menyerahkan kepada ahli Parlimen untuk mempertimbangkan tindakan merujuk Anwar kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung kenyataan itu.

“Saya serahkan kepada ahli-ahli Parlimen untuk mengambil tindakan seterusnya, iaitu merujuk Perdana Menteri kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen untuk diambil tindakan kerana membuat kenyataan yang tidak benar di Parlimen,” katanya.

Dakwa Rafizi 'pembohong bersiri'

Dalam sidang media semalam, Ramanan menyifatkan Rafizi sebagai pembohong bersiri kerana sering mengeluarkan kenyataan tidak benar dan memutar belitkan keadaan.

Bagaimanapun Ramanan berkata dia tidak bercadang menyaman Rafizi berhubung dakwaan suapan RM9.5 juta yang dikaitkan dengan isu mafia korporat.

Katanya, apa yang paling menjengkelkannya adalah apabila Rafizi kalah saman di mahkamah, dia akan membuat kutipan awam meminta wang daripada rakyat.

"Ini yang saya tidak ambil apa-apa tindakan. Sudahlah kalah di mahkamah, dia pula buat kutipan derma meminta duit daripada rakyat untuk menolongnya daripada bankrap.

"Jadi awak mahu saya saman dia, saya saman siapa? Saya bebankan siapa? Saya bebankan rakyat kalau saya saman dia," katanya.

Ramanan turut mendakwa Rafizi menggunakan isu yang mengaitkan beberapa individu, termasuk Anwar dan bekas pembantu perdana menteri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, untuk mengalihkan perhatian daripada dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan bekas menteri ekonomi itu dan rakan-rakannya dalam Bersama.

Mengulas dakwaan terhadapnya, Rafizi berkata tindakan undang-undang terhadap Ramanan wajar diambil kerana menteri itu didakwa terus mengelak daripada menjawab beberapa tuduhan berkaitan dirinya dan rasuah.

“Jika Ramanan enggan mengambil tindakan saman terhadap saya, akibat dari sidang media beliau semalam, ia membuka jalan untuk saya mengheret beliau ke mahkamah susulan tohmahan-tohmahan yang dibuat terhadap saya,” katanya.

Polis tumpaskan 'Geng Yunaa', selesaikan 17 kes pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan “Geng Yunaa” yang disyaki terbabit dalam 17 kes pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak untuk eksploitasi seks menerusi Ops Angel di Lembah Klang pada 24 hingga 26 Sept lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata dalam operasi itu, tujuh individu berusia 18 hingga 44 tahun ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga esok.

Beliau berkata dua lagi ahli kumpulan itu sedang ditahan di Penjara Kajang dan Sekolah Henry Gurney, Melaka atas kesalahan berkaitan pemerdagangan kanak-kanak dan pelacuran.

“Kumpulan ini menjalankan kegiatan eksploitasi seksual melalui aktiviti pelacuran dengan merekrut remaja tempatan, warga negara asing serta kanak-kanak bawah umur yang dieksploitasi dan dijadikan mangsa pelacuran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Bagi mendapatkan pelanggan, kumpulan ini menggunakan aplikasi Telegram untuk mempromosikan perkhidmatan pelacuran melibatkan anggaran 20 hingga 30 pelacur setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata pelanggan dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM350 bergantung kepada pakej dan lokasi perkhidmatan, dengan pembayaran dipercayai dibuat secara tunai, melalui Touch 'n Go atau kod respons pantas (QR) perbankan kepada ejen pelacuran yang dikaitkan dengan kumpulan itu.

Beliau berkata kumpulan berkenaan dipercayai memperoleh kira-kira 100 pelanggan sehari dengan kutipan RM150 bagi setiap pelanggan, manakala bakinya dibayar kepada individu yang dieksploitasi.

Berdasarkan anggaran tersebut, katanya kumpulan terbabit mampu memperoleh pendapatan RM15,000 sehari atau RM450,000 sebulan, bersamaan RM5.4 juta setahun sekiranya kegiatan itu berterusan pada kadar yang sama.

“Kegiatan ini amat membimbangkan kerana bukan sahaja memperdagangkan manusia demi keuntungan, malah mengeksploitasi golongan kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi daripada penderaan dan eksploitasi seksual.

“Lebih membimbangkan, eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak berpotensi meninggalkan kesan trauma psikologi berpanjangan, merosakkan perkembangan emosi, akhlak dan sosial serta menjejaskan masa depan mangsa,” katanya.

Beliau berkata “Geng Yunaa” yang aktif sejak awal 2024 itu terdiri daripada 10 orang yang berusia lingkungan 18 hingga 44 tahun dengan diketuai seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun.

Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pelacuran antaranya 14 telefon bimbit, enam kotak ubat pencegah kehamilan, tuala dan gel pelincir.

“Hasil semakan mendapati beberapa tangkapan mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau seperti jenayah pelacuran, pemerdagangan orang, pengedaran dadah dan penipuan.

“Kita juga telah mengenal pasti seorang lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha untuk mengesan suspek ini masih giat dijalankan,” katanya.

Kumar berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara yang bersetuju supaya sembilan ahli geng terbabit didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor esok.

Beliau berkata tangkapan itu membolehkan polis menyelesaikan 17 kes serta melumpuhkan satu kumpulan jenayah terancang di Selangor.

-- BERNAMA

Kelantan: Buruh mengaku salah lakukan khianat, ceroboh masjid

Siti Rohana Idris
Tertuduh (tengah) mengaku bersalah di Mahkaman Majistret Pasir Mas.- Foto NSTP
PASIR MAS : Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk merosakkan dan menceroboh masjid di Kampung Berangan, Tumpat, pada 5 Oktober lalu.

Manjesh Singh Shukdev Singh, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memecahkan cermin dan merosakkan karpet Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, dengan menyimbah cecair berbau busuk, dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu akan dianggap sebagai keaiban terhadap agama Islam oleh penganutnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menceroboh masuk ke masjid berkenaan dengan niat melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4.35 pagi, 5 Oktober lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Zharifah Insyirah Zahari, manakala tertuduh diwakili peguam Noor Suhadah Mohamed Ripim daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 sementara menunggu hukuman bagi dua pertuduhan itu pada 23 November depan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memberikan dadah jenis methamphetamine kepada dirinya sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tumpat pada jam 1 pagi, 17 Oktober lalu.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 bagi pertuduhan itu, namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan 20 Januari depan untuk laporan kimia.

4 termasuk wanita ditahan curi kabel

FARAHWAHIDA AHMAD
kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM) di kawasan perumahan Lorong Paip 1, Parit Beting, Jalan Salleh, Muar, 11 Oktober lalu.
MUAR – Tiga lelaki termasuk seorang wanita di tahan kerana disyaki terlibat kes curi kabel telekomunikasi di kawasan perumahan Lorong Paip 1, Parit Beting, Jalan Salleh, di sini pada 11 Oktober lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, keempat-empat tertuduh berusia antara 25 hingga 36 tahun berkenaan tidak di tahan serentak tetapi secara berperingkat-peringkat.

“Seorang daripadanya ditahan kelmarin di Muar, manakala tiga lagi berjaya di tahan semalam di Muar dan Sungai Rambai, Melaka.

“Semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dengan masing-masing sebanyak enam dan lima rekod,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya turut merampas sebuah kereta, peralatan memotong kabel dan beberapa barangan lain yang berkaitan dengan kes.

Terdahulu, media melaporkan dua lelaki memotong kabel secara haram sebelum sebuah kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk membawa kabel berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Lelaki 48 tahun ditahan kes hasutan di media sosial

NUR SHARIEZA ISMAIL

SEREMBAN – Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dua kes berasingan membabitkan hantaran media sosial yang disyaki berunsur hasutan, penghinaan dan dakwaan tidak benar.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, polis turut giat mengesan pemilik akaun media sosial yang dipercayai memuat naik kenyataan terbabit.

Menurutnya, kedua-dua kes itu sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan mengikut beberapa peruntukan undang-undang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan sama, Alzafny berkata, pihaknya mengambil maklum titah Raja-Raja Melayu seperti yang dizahirkan menerusi kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 14 Oktober lalu.

Katanya, kenyataan itu menyeru semua pihak supaya mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta menghormati adab, adat dan maruah institusi diraja. – KOSMO! ONLINE

Dua lelaki tular rempuh kenderaan didakwa di mahkamah

BERNAMA
Dua lelaki yang tular menerusi media sosial selepas merempuh kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada polis di Bukit Antarabangsa didakwa di tiga mahkamah berasingan di Ampang hari ini.- Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang tular menerusi media sosial selepas merempuh kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada polis di Bukit Antarabangsa, di sini didakwa di tiga mahkamah berasingan di Ampang hari ini atas pelbagai pertuduhan termasuk menghalang penjawat awam, memiliki senjata berbahaya dan dadah.

Pemandu peribadi Muhammad Putra Zulfaiz Zaidi, 32, dan mekanik Mohamad Danial Haiqal Kamal Arifin, 21, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norshila Kamarudin serta Majistret Siti Nur Ain Ariffin dan Majistret Tiong Wen Wen.

Di hadapan Hakim Norshila, dua sahabat itu didakwa bersama-sama memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu sebilah parang dan sabit tanpa tujuan yang sah di Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa pada 11 pagi, 11 Oktober lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan.

Di hadapan Majistret Siti Nur Ain, kedua-dua tertuduh berdepan dua pertuduhan menghalang tugas polis mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menghalang Koperal Muhammad Azfar Abdul Rahman dan Lans Koperal Muhammad Yashar Hassan dengan melarikan diri menaiki pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max di Jalan Wangsa 5 pada 11 pagi, 11 Oktober, manakala pertuduhan kedua melibatkan Koperal Mohamad Syisyi Pauzi di Jalan Wangsa 1 pada 5.30 pagi, pada 10 Oktober.

Di mahkamah sama, Muhammad Putra Zulfaiz didakwa secara individu atas pertuduhan memandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dia turut didakwa atas kesalahan memasukkan dadah jenis amfetamina dan metamfetamina ke dalam badan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 10.45 malam, 11 Oktober, mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Di hadapan Majistret Tiong pula, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama memandu kenderaan tersebut secara berbahaya di lokasi dan masa sama mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi penjelasan munasabah berhubung pemilikan peralatan mencurigakan antaranya dua tali anduh, satu pengunci besi, sepana boleh laras, pemotong wayar, tukul besi, tuil besi dan mata pahat.

Di hadapan Majistret Tiong juga, Mohamad Danial Haiqal didakwa secara individu atas pertuduhan memasukkan amfetamina dan metamfetamina ke dalam badannya pada tarikh, lokasi yang sama seperti Muhammad Putra Zulfaiz.

Bagi prosiding di hadapan Siti Nur Ain, mahkamah membenarkan Muhammad Putra Zulfaiz diikat jamin keseluruhan RM13,000 manakala Mohamad Danial Haiqal diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Hakim Norshila dan Majistret Tiong tidak membenarkan jaminan ke atas kedua-dua tertuduh berikutan ketiadaan penjamin yang hadir pada prosiding hari ini, dan kesemua mahkamah menetapkan 26 November depan untuk sebutan semula kes.

Pada 11 Oktober lalu, polis menahan kedua-dua suspek selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh beberapa kenderaan orang awam sebelum berjaya dipintas di persimpangan Jalan Jelatek-Jalan Taman Setiawangsa di sini.

Pemandu Porsche tular dihukum penjara 5 hari, denda RM10,000

Dawn Chan and Austin Camoens
TERTUDUH di mahkamah.
Petaling Jaya: Pemandu Porsche Cayenne yang tular kerana memandu secara melulu serta mengganggu pengguna jalan raya lain dihukum penjara lima hari, denda RM10,000 dan hilang kelayakan memandu selama lima tahun.

Peniaga dalam talian, Woo Hong Jiang, 56, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya hingga membahayakan dirinya serta pengguna jalan raya lain.

Kejadian itu berlaku pada 2.14 petang, 18 Oktober lalu di laluan pintas Lebuhraya Puchong menghala ke Bukit Jalil, Serdang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan itu membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM10,000.

Majistret Nur Natasya Mohtaruddin mengarahkan Woo menjalani hukuman penjara berkenaan serta-merta.

Beliau akan berdepan hukuman penjara tambahan selama enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan agar sabitan kesalahan dicatatkan pada lesen memandunya.

Warga asing: 43 pekerja didenda guna kad pengenalan palsu

Azizi Majid
Seramai 43 pekerja termasuk warga asing dituduh atas pertuduhan menggunakan salinan kad pengenalan palsu dan memiliki salinan kad pengenalan milik orang lain ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret. – Foto NSTP
JOHOR BAHRU: Seramai 40 pekerja kilang warga Indonesia dan Filipina serta tiga rakyat tempatan didenda antara RM1,000 hingga RM9,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu serta salinan kad pengenalan orang lain.

Mereka yang terdiri daripada 30 wanita dan 13 lelaki berusia antara 18 hingga 49 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman, A Shaarmini dan Atifah Hazimah Wahab.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh dipenjara antara satu hingga enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, 35 daripada tertuduh didakwa menggunakan salinan kad pengenalan milik orang lain sebagai dokumen pengenalan diri, manakala lapan lagi menggunakan kad pengenalan palsu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di dua kilang berasingan di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang dan Kawasan Perindustrian MIEL di Pasir Gudang di sini, kira-kira 10 pagi dan 8 malam kelmarin.

Semua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mohd Ramzi Adnan, Md Shahedan Md Taib dan Noorleelawathi Man, manakala 10 tertuduh diwakili peguam antaranya Rashidah Baharom, Muhd Akmal Mazlan, Heng Wang Qianwei dan Jackson Danial.

Terdahulu, media melaporkan JPN mengesan kegiatan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri milik orang lain bagi tujuan mendapatkan pekerjaan dalam kalangan pekerja asing hasil Ops Jejak 1.0 dan Ops Jejak 2.0 di kilang berkenaan kelmarin.

Lans koperal didakwa rompak rantai leher emas wanita Myanmar

Audrey Dermawan
audreymd@nst.com.my
MUHAMMAD Fitri  dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menyamun rantai leher emas. FOTO Auris Faqrurazzi
MUHAMMAD Fitri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menyamun rantai leher emas. FOTO Auris Faqrurazzi
Butterworth: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak rantai leher emas milik seorang wanita warga Myanmar, minggu lalu.

Muhammad Fitri Suwaidi, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak rantai leher emas wanita berkenaan serta sengaja menyebabkan ketakutan terhadap mangsa di hadapan sebuah rumah di Jalan Pekan Darat, Permatang Tok Jaya, kira-kira jam 4 petang pada 16 Oktober lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nadhirah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

"Bagaimanapun, sekiranya mahkamah memutuskan untuk membenarkan jaminan, pihak kami memohon syarat tambahan dikenakan.

"Tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai," katanya.

Muhammad Fitri dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan perlu menanggung keluarga.

"Saya mempunyai dua anak yang masih kecil. Ibu tidak bekerja manakala bapa bekerja di kilang. Isteri saya pula bekerja di restoran makanan 'cepat saji.'

"Sehubungan itu, saya merayu mahkamah membenarkan jaminan," katanya.

Roslan kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan pelantikan peguam.

Difahamkan Muhammad Fitri yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sedang digantung kerja ketika kejadian berlaku.

2 sahabat maut motosikal dirempuh kenderaan tak dikenal pasti

Audrey Dermawan
audreymd@nst.com.my

Georgetown: Dua sahabat maut sejurus motosikal ditunggang mereka dirempuh kenderaan tidak dikenal pasti di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.

Dalam kejadian 4 pagi tadi, mangsa membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 20 tahun berasal dari Padang Serai, Kedah.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian berhampiran persimpangan menghala Jambatan Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad memaklumkan, pihak polis menerima maklumat berhubung kemalangan maut itu kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari pusat bandar George Town menghala ke Jambatan Pulau Pinang.

"Sebaik tiba di persimpangan bertingkat menghala ke Jambatan Pulau Pinang dan USM, sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti merempuh motosikal mangsa.

"Kenderaan berkenaan dipercayai terus memecut melarikan diri dari lokasi kejadian sejurus rempuhan berlaku," katanya.

Abdul Rozak menambah, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

"Kes itu kini sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pihak polis turut menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahidatul Alyaa Nordin di talian 019-6886106," katanya.

Kedah: Wanita lumpuh ditinggal suami jalin hubungan sulit dapat ganti rugi RM50,000

V Anbalagan

PETALING JAYA: Seorang wanita diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 kepada isteri lelaki yang menjalinkan hubungan sulit dengannya, yang juga seorang wanita lumpuh.

Hakim Johan Lee membenarkan perceraian itu selepas mendapati hubungan sulit suami, keganasan rumah tangga dan tindakan meninggalkan isterinya yang menghidap penyakit serius menjadi ‘punca sebenar dan utama’ keretakan perkahwinan mereka.

Dalam penghakimannya setebal 47 halaman, Johan berkata wanita yang dinamakan sebagai responden kedua dalam petisyen itu tidak mengamalkan kawalan moral dan secara aktif memikat suami berkenaan sehingga menjauhi isterinya, mengambilnya bekerja, tinggal bersama dengannya serta secara terbuka menunjukkan hubungan mereka ketika bercuti di luar negara.

“Dengan mengambil kira kemudaratan lebih berat yang menjejaskan maruah pempetisyen, mahkamah ini memberikan ganti rugi atas kesalahan zina terhadap responden kedua sebanyak RM50,000, yang perlu dibayar terus kepada pempetisyen menurut Seksyen 58 Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976,” katanya.

Hakim mendapati perbuatan zina itu terbukti berdasarkan imbangan kebarangkalian melalui mesej WhatsApp, rekod perjalanan dan bukti bahawa suami berkenaan serta wanita itu pernah tinggal bersama.

Isteri itu menghidap spinocerebellar ataxia, penyakit neurologi progresif yang tidak boleh diubati sehingga menyebabkannya terlantar, lumpuh dan tidak mampu bercakap.

Ibunya mewakili wanita itu dalam prosiding perceraian berkenaan.

Dalam satu detik menyentuh perasaan yang direkodkan dalam penghakiman itu, ibu wanita berkenaan ditanya mengapa anak perempuannya memerlukan nafkah.

Jawapannya: “Sebab dia nak hidup.”

Johan berkata, wanita itu memerlukan bekalan perubatan berterusan, lampin dewasa khusus, fisioterapi dan pengangkutan dengan bantuan.

Beliau memerintahkan suami itu membayar nafkah RM1,500 sebulan bagi menampung penjagaan paliatif isterinya sepanjang hayat wanita berkenaan.

Suami itu turut diperintahkan membayar RM400 sebulan bagi menampung kos penjagaan anak perempuan mereka yang berusia 11 tahun di sebuah pusat jagaan, memasukkan RM300 lagi setiap bulan ke dalam akaun simpanan anak itu serta menanggung semua yuran pendidikan dan perbelanjaan perubatannya sehingga menamatkan pengajian di peringkat pengajian tinggi.

Hak penjagaan dan kawalan anak perempuan itu diberikan kepada pusat jagaan berkenaan dan ibunya. Permohonan untuk bermalam bersama anak ditolak, manakala lawatan pada waktu siang dengan pengawasan oleh kedua-dua ibu bapa tertakluk pada persetujuan anak itu dan kelulusan pusat jagaan.

Suami itu juga diperintahkan membayar RM340,000 kepada isterinya, bersamaan separuh nilai rumah perkahwinan mereka yang dinilai mahkamah sebanyak RM680,000.

Hakim menolak bantahan suami terhadap peranan ibu wanita itu sebagai wakil litigasi anaknya, sambil menegaskan keperluan memudahkan akses kepada keadilan bagi individu yang mengalami ketidakupayaan serius.

Walaupun mahkamah mengambil maklum bukti mengenai kelemahan isteri itu sendiri sepanjang perkahwinan mereka, hakim mendapati salah laku suami merupakan punca utama keretakan rumah tangga.

Perceraian itu diluluskan berkuat kuasa serta-merta. Kedua-dua responden turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM50,000.

Faktanya, kemelut sudah selesai. Tuanku Muhriz kekal bertakhta.

'Setakat itu sahaja Allah beri 'pinjam' pemerintahan pada mereka, terimalah hakikat' - Dr Faridzwan tegaskan Tuanku Muhriz kekal bertakhta

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Bangi: Rakyat Negeri Sembilan dilihat masih dibelenggu persepsi berhubung kemelut antara kerajaan negeri dengan institusi diraja, meskipun isu berkenaan disifatkan sudah selesai menerusi keputusan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai lalu.

Dato Lembaga Lingkungan Lenggeng, Dato Penghulu Dagang Dr Faridzwan Abdul Ghafar berkata, persidangan DKU pada tarikh itu memutuskan pemecatan atau perlucutan pesaka Datuk Undang ketiga ditamatkan, selain melantik Datuk Undang baharu dengan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Beliau menegaskan keputusan atau nasihat yang dikeluarkan DKU adalah muktamad dan tidak boleh dibawa atau dibicarakan di mahkamah atas sebarang alasan.

"Jika tanya saya bila kemelut ini akan selesai, ia sudah selesai. Cuma masalahnya, kenapa kita rasa macam tidak selesai? Sebab ada dalam kalangan kita yang melayan pihak sebelah sana.

"Faktanya, kemelut sudah selesai. Tuanku Muhriz kekal bertakhta. Itu faktanya," katanya ketika menjadi panel Program Dialog Ummah 2.0: Memperkukuh Institusi Diraja, Mensejahterakan Ummah, di sini, hari ini.

Faridzwan turut menasihatkan pihak yang dilucutkan jawatan sebagai pesaka Datuk Undang supaya menerima hakikat bahawa mereka tidak lagi memegang kedudukan berkenaan.

"Kita sudah ada 'line-up' (barisan) bagi Pesaka Datuk Undang yang memegang jawatan itu sekarang. Yang dahulunya pernah memegang jawatan itu, lupakanlah.

"Sudah setakat itu sahaja Allah SWT memberi 'pinjam' pemerintahan kepada mereka, jadi terimalah hakikat itu," katanya.

Sesi soal jawab program berkenaan menyaksikan beberapa peserta mengemukakan soalan mengenai kemelut Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan suasana gamat dalam dewan.

Beberapa individu turut melaungkan 'Daulat Tuanku' ketika Faridzwan memberikan penjelasan.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Kemelut institusi diraja Negeri Sembilan tercetus susulan proklamasi bertarikh 19 April lalu yang dikeluarkan Undang Yang Empat bagi menurunkan Tuanku Muhriz dan memilih Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai pengganti.

Pertikaian kemudian timbul berhubung kesahan proklamasi itu serta pematuhannya terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Pada 31 Julai lalu, DKU memutuskan proklamasi berkenaan tidak sah, antara lain berikutan persoalan mengenai status beberapa penandatangan dan pematuhan tatacara yang ditetapkan.

DKU turut menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, pada 16 September lalu, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) mengumumkan proklamasi penurunan takhta dan pemilihan pengganti disempurnakan, sekali gus mengisytiharkan Tuanku Muhriz diturunkan takhta dan Tunku Nadzaruddin diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.

Pada 17 September lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan proklamasi bertarikh 19 April itu tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.

Menjelang PRU16: Mampukah ‘bulan’ PAS galas jenama PN?

Amin Ishak

Pembatalan pendaftaran PN meletakkannya dalam dilema menjelang PRN Melaka sama ada membawa ‘bulan’ PAS, mempertaruhkan Wawasan yang masih baru atau pilih jalan lain termasuk ‘dacing’ BN.

Enam tahun lalu, menjelang PRN Sabah 2020, Perikatan Nasional (PN) memperkenalkan lambang yang kemudian menjadi identiti gabungan itu – tulisan putih ‘PERIKATAN NASIONAL’ dengan latar biru tua.

Logo itu diperkenalkan Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos 2020 sebelum dilancarkan secara rasmi di Kota Kinabalu pada bulan berikutnya untuk digunakan dalam PRN Sabah. Ketika itu, PN masih sebuah jenama politik baru yang cuba menyatukan parti berbeza di bawah satu lambang.

Sejak itu, logo PN melalui beberapa pilihan raya dan semakin biasa dilihat pengundi. Antara ujian awalnya ialah PRN Melaka pada November 2021, apabila gabungan berkenaan bertanding di semua 28 kerusi DUN.

Hasilnya tidak memberangsangkan. PN sekadar menang dua kerusi, Sungai Udang menerusi Dr Mohd Aleef Yusof dan Bemban melalui Dr Mohd Yadzil Yaakub. Kedua-duanya ketika itu calon Bersatu manakala PAS kalah di semua lapan kerusi ditandinginya.

Namun, hanya setahun kemudian, kedudukan PN berubah dengan ketara.

Pada PRU15, gabungan itu memenangi 74 kerusi Parlimen. PAS menjadi penyumbang terbesar dengan 43 kerusi, manakala Bersatu mendapat 31. Bagi PAS, 43 kerusi itu pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaannya dalam PRU.

Pencapaian itu menarik kerana ia tidak dibina dengan logo bulan semata-mata. Di Kelantan dan Terengganu, PN menggunakan lambang PAS, tetapi di banyak negeri lain calonnya bertanding di bawah logo PN.

Melaka antara contoh paling jelas. PAS yang sebelum itu tidak mempunyai kerusi Parlimen di negeri berkenaan berjaya menembusi Tangga Batu menerusi Bakri Jamaluddin dan Jasin menerusi Zulkifli Ismail. Kedua-duanya menang atas tiket PN, bukan menggunakan logo bulan.

Ia tidak bermakna logo menjadi satu-satunya sebab kemenangan. Kekuatan calon, jentera, isu semasa dan sentimen pengundi tetap memainkan peranan. Tetapi pengalaman PRU15 menunjukkan jenama PN sekurang-kurangnya dapat menjadi identiti bersama yang membawa PAS keluar daripada kawasan tradisinya.

Sebab itu pembatalan pendaftaran PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada Selasa membawa masalah lebih besar daripada kehilangan satu lambang.

JPPM membatalkan pendaftaran gabungan itu selepas mendapati penjelasan dikemukakan PN gagal menyangkal asas pembatalan dalam notis terdahulu. PN sudah menyatakan akan mencabar keputusan itu melalui proses undang-undang dan turut mempertimbangkan rayuan kepada menteri dalam negeri.

Tetapi kalendar pilihan raya terus berjalan. Penamaan calon PRN Melaka ditetapkan pada 31 Okt, diikuti pengundian awal 10 Nov dan hari mengundi pada 14 Nov. Jika isu pendaftaran PN belum diselesaikan menjelang penamaan calon, komponennya perlu bersedia dengan pilihan lambang lain.

Bulan paling mudah dikenali

Antara pilihan yang sudah disebut secara terbuka ialah lambang PAS.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor berkata tiada masalah untuk gabungan itu menggunakan logo PAS kerana lambang berkenaan sudah dikenali pengundi.

Dari segi pengenalan jenama, PAS mempunyai kelebihan yang sukar dinafikan. Bulan sudah digunakan parti itu selama beberapa dekad dan sangat sinonim dengan PAS, terutama di negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Namun, masalahnya ialah Melaka bukan Kelantan atau Terengganu.

Penganalisis Mazlan Ali sebelum ini berkata, logo PAS paling dikenali antara pilihan yang ada jika PN tidak dapat menggunakan lambangnya, tetapi penggunaannya di luar kubu tradisi parti itu membawa cabaran, khususnya dalam menarik pengundi bukan Melayu dan di kerusi campuran.

Ahli akademik daripada Universiti Teknologi Malaysia itu juga berpandangan, parti lain dalam PN tidak menikmati tahap pengenalan lambang yang sama. Logo Gerakan kurang dikenali dalam kalangan pengundi Melayu, MIPP mempunyai tahap pengenalan lebih rendah, manakala Wawasan masih terlalu baru untuk pengundi benar-benar serasi dengannya.

Di sinilah dilema PAS muncul. Bulan ialah jenama kukuh, tetapi pencapaian terbaik parti itu di Melaka datang ketika dua calonnya membawa logo PN.

Wawasan ada tokoh tapi bagaimana dengan logo?

Pilihan lain ialah Wawasan.

Parti itu mempunyai barisan pemimpin berprofil tinggi. Hamzah Zainudin ialah presidennya, manakala bekas ketua menteri Melaka Rahim Thamby Chik antara naib presiden.

Tetapi usia jenama Wawasan masih singkat. Ia penjenamaan semula Parti Cinta Malaysia, dengan pertukaran nama dan logo mendapat kelulusan JPPM pada Julai lalu sebelum diterima secara rasmi sebagai komponen PN.

Tokoh terkenal boleh membantu membawa parti kepada perhatian umum, tetapi soal yang lebih besar ialah sejauh mana logo Wawasan sudah dikenali pengundi biasa menjelang hari mengundi.

Bagaimana pula ‘dacing’?

Ada satu lagi kemungkinan yang menjadikan persoalan logo ini lebih menarik – PAS bertanding menggunakan lambang Barisan Nasional (BN).

Presiden PAS Hadi Awang sebelum ini dilaporkan bersedia mempertimbangkan penggunaan logo BN pada PRN Melaka. Timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata PAS bersedia menggunakan lambang itu sekiranya langkah berkenaan dapat membantu memuktamadkan kerjasama dengan Umno.

Dari sudut Melaka sahaja, dacing mempunyai kelebihan sebagai lambang yang sudah lama dikenali pengundi. Tetapi implikasinya tidak semestinya berhenti selepas PRN.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebelum ini membangkitkan soal timbal balik. Jika PAS sanggup menggunakan logo BN di Melaka, persoalan boleh timbul sama ada BN pula akan menuntut ruang serupa di negeri diterajui PAS pada masa depan.

Mazlan pula melihat kemungkinan timbul kerumitan jika hubungan kedua-dua parti berubah selepas calon PAS bertanding dengan logo dan watikah BN, manakala Azmi Hassan berkata aturan sedemikian juga boleh memberi BN modal tawar-menawar dalam rundingan kerusi menuju PRU16.

Justeru, keputusan mengenai lambang bukan sekadar soal mendapatkan logo untuk dicetak pada kertas undi 14 Nov. Ia turut menyentuh identiti, hubungan antara parti dan kedudukan dalam rundingan politik selepas Melaka.

Logo PN bermula di Sabah pada 2020 sebagai lambang kepada sebuah gabungan baharu. Enam tahun kemudian, ia sudah melalui kekalahan besar di Melaka dan kemuncak 74 kerusi pada PRU15 sehingga menjadi jenama politik yang dikenali.

Kini pembatalan pendaftarannya meletakkan satu persoalan yang sukar dielakkan: jika logo PN tidak dapat dibawa ke PRN Melaka, adakah pengundi yang selama ini memilih PN sanggup mengikutnya apabila ‘bulan’, Wawasan atau mungkin ‘dacing’ mengambil tempat di kertas undi?

Konoha SDM bawah rata-rata

[VIDEO] ‘Ini bukan soal Malaysia lawan Indonesia, tapi asap masuk paru-paru rakyat’

SITI A'ISYAH SUKAIMI
Tangkap layar video Syed Saddiq membidas membidas bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi.
PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi berhubung isu pembakaran hutan dan jerebu, sambil memintanya meneliti keseluruhan kenyataan dibuat beliau di Parlimen baru-baru ini.

Syed Saddiq menerusi video dimuat naik di media sosialnya, membalas semula kenyataan dibuat Muhammad Lutfi selain memberikan tiga respons bersandarkan fakta dan data.

“Bapak ini bukan soal Malaysia lawan Indonesia. Bendera kita berbeza, tapi bila sesak nafas, deritanya sama.

“Jadi bila bapak kata syarikat Malaysia salah, syarikat Singapura salah, kalau ada bukti, hukum. Saya tak akan jadi pelindung pencemar walaupun dari negara saya sendiri,” katanya pada video berkenaan.

Beliau memberi respons pertama bahawa, Indonesia perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kesalahan pembakaran hutan.

“Tindak pelakunya, jangan pilih bendera. Perusahaan Malaysia, Indonesia atau Singapura, kalau terbukti membakar hutan untuk keuntungan cepat, ambil tindakan. Bendera bukan lesen untuk merosakkan alam.

“Mereka beroperasi di Indonesia, di bawah undang-undang Indonesia, kuasa di tangan anda,” katanya.

Syed Saddiq berkata, malah beliau turut menegaskan perkara tersebut di Parlimen dengan mendesak tindakan terhadap syarikat Malaysia yang didapati terlibat.

“Lihat ucapan penuh saya, jangan potong ucapan sampai terpotong kebenaran.

“Kedua, ladang besar bukan bukti bersalah. Bapak kata tentang SD Guthrie. Ia syarikat besar, tapi sampai sekarang tiada bukti mereka pencetus kebakaran.

“Mereka mempunyai 67 pasukan lebih 1,000 anggota terlatih. Dron dan infra merah dengan perbelanjaan lebih RM800,000 sebulan untuk tangani isu ini,” katanya.

Syed Saddiq juga menyarankan supaya tidak memetik hanya separuh daripada laporan Greenpeace berkaitan isu tersebut.

“Kalau mahu petik laporan Greenpeace, jangan petik separuh cerita. Laporan itu merekodkan 19 titik sumber asap di konsensi syarikat KLK, berbanding 6,811 yang lain.

“Bapak mahu kami hanya fokus kepada penyumbang 0.3 peratus dari 99.7 peratus yang lain. Jangan lantang terhadap satu nama, kemudian senyap terhadap yang lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq sekali lagi menegaskan bahawa isu berkenaan bukan Malaysia lawan Indonesia, tetapi rakyat yang mahukan udara bersih.

“Berlawan pihak yang mengotorkannya. Bila hutan dibakar untuk keuntungan, untung masuk akaun syarikat. Asap masuk, paru-paru rakyat. Malaysia sudah pun menawarkan pesawat, tiga helikopter dan anggota, tetapi kena ghosting oleh pentadbir di Indonesia. Nak tolong pun susah.

“Bapak, jerebu tidak diskriminasi. Ia tidak peduli tentang warna kulit anda, agama anda atau warga negara anda. Anak Malaysia sesak nafas. Anak Indonesia pun sesak nafas.

“Bendera kita mungkin berbeza, tapi keperluan untuk kita bernafas adalah sama. Jangan bela pembakar kerana benderanya, bela rakyat kerana nyawa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ahli Parlimen hilang dua belah kaki dilanggar kenderaan

Bernama-Dpa
BUNGA diletakkan di luar pejabat Ahli Parlimen Australia, Helen Haines yang parah dalam kemalangan yang ‘disasarkan’ di Wangaratta. FOTO Martin KEEP/ AFP.
BUNGA diletakkan di luar pejabat Ahli Parlimen Australia, Helen Haines yang parah dalam kemalangan yang ‘disasarkan’ di Wangaratta. FOTO Martin KEEP/ AFP.
Melbourne: Kedua-dua belah kaki Ahli Parlimen Australia, Helen Haines terpaksa potong selepas beliau dilanggar oleh sebuah kenderaan di luar pejabat kawasannya awal minggu ini, lapor Agensi Berita Jerpan (dpa).

Pemandu kenderaan tersebut telah dihadapkan ke mahkamah.

Doktor pada mulanya berharap dapat menyelamatkan kaki kanannya namun pakar bedah akhirnya tidak dapat mengelak daripada memotong kedua-dua belah kaki, kata suaminya, Phil, pada Rabu.

"Namun, berita baik di sebalik semua ini ialah Helen masih hidup dan keadaannya stabil. Itulah perkara paling penting bagi keluarga kami," katanya kepada pemberita.

Haines, seorang Ahli Parlimen bebas yang popular dan mewakili kawasan Indi di Parlimen Australia, telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda di luar pejabatnya di Wangaratta, timur laut Melbourne pada Isnin.

Menurut pihak berkuasa, pemandu terbabit sengaja mengemudi kenderaannya ke arah wanita berusia 65 tahun itu.

Menteri Dalam Negeri Tony Burke berkata, pemandu itu kemudian mengundurkan kenderaannya dan melanggar Haines sekali lagi.

Pemandu berusia 43 tahun itu ditangkap di tempat kejadian dan pihak penyiasat merampas sebilah pisau daripadanya.

Haines diterbangkan ke sebuah hospital di Melbourne dengan kecederaan parah pada bahagian bawah badannya dan telah menjalani pembedahan kecemasan.

Perdana Menteri Anthony Albanese menegaskan sejurus selepas kejadian itu: "Ini bukan satu kemalangan."

Pemandu tersebut dihadapkan ke mahkamah di Wangaratta pada Rabu atas beberapa pertuduhan termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan serius dengan sengaja mendatangkan kecederaan tubuh yang serius serta mendatangkan kecederaan terhadap seorang penjawat awam.

Dia juga berdepan pertuduhan berkaitan dadah.

Tertuduh tidak memohon jaminan dan kekal dalam tahanan. Sebutan kesnya yang seterusnya dijadualkan pada Februari.

Pihak penyiasat tidak menolak kemungkinan adanya pertuduhan tambahan dan motif kejadian masih belum jelas.

Keluarga pemandu itu memberitahu penyiar awam ABC bahawa mereka telah berkawan dengan Haines selama lebih 20 tahun.

Menjelang PRU16: BN sedang ketawa dalam senyap


Batal pendaftaran PN: Siapa tersenyum lebar?

Mohsin Abdullah

PH dibelasah apabila pendaftaran PN dibatalkan. Jika PN dan PH rugi, maka siapa yang dapat untung?

Saya kira Perikatan Nasional hanya boleh menyalahkan diri sendiri apabila pendaftarannya dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM atau RoS). Saya yakin JPPM punya alasan kukuh berdasarkan undang-undang untuk lakukan apa yang ia lakukan.

Bagi Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali, pembatalan pendaftaran PN membuktikan aduan partinya kepada JPPM terhadap pimpinan PN memang berasas. Bersatu mengadu kepimpinan PN yang dipengerusikan PAS telah menafikan hak Bersatu untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi dalam mesyuarat majlis tertinggi PN pada 16 Julai lalu. Ini menurut Azmin ialah pelanggaran fasal 7.1 perlembagaan PN.

Kata penganalisis politik Sivamurugan Pandian, the RoS decision is not merely an administrative issue tetapi membawa implikasi significant ke atas kestabilan politik gabungan itu dan juga persediaannya menghadapi pilihan raya.

“Politically it may weaken public confidence and intensify tensions among component parties particularly over leadership and the coalition’s future direction,” kata Siva.

Kata beliau, the real impact bergantung pada apa yang berlaku on the ground, keputusan berhubung apa-apa rayuan yang dibuat (PN diberitakan akan mencabar tindakan JPPM) serta kemampuan kepimpinannya mengekalkan perpaduan.

“Ultimately this is a test of PN’s political resilience. How quickly and collectively its leaders respond will determine whether the crisis weakens the coalition or becomes an opportunity for internal restructuring,” Begitu pandangan Siva dan memang ada benarnya.

Yang pasti PN khususnya PAS akan play victim. Seperti ketika JPPM menggantung semua aktivitinya pada Sept lalu dan memberinya kesempatan untuk menjawab surat tunjuk sebab mengapa ia tidak perlu dibatalkan. Obviously, RoS is not satisfied with PN’s sebab-sebab. Ketika itu PN beri gambaran ia dijadikan mangsa permainan politik kerajaan. Sekarang taktik itu diperhebatkan. Tidak perlu saya ulangi apa yang sedang diperkatakan oleh kepimpinannya (baca: PAS).

Bagi penyokong PN, yang mesti dipersalahkan ialah Pakatan Harapan, apatah lagi tindakan JPPM muncul menjelang PRN Melaka. Kesalahan PN sendiri yang membawa kepada tindakan RoS is conveniently forgotten. Ringkasnya PN dibatalkan, ramai belasah PH. Jika PN rugi, dan begitu juga PH, maka siapa yang dapat untung?

“Sebenarnya yang paling untung daripada pembatalan PN ialah BN,” kata Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre.

Kata beliau, yang bunuh BN pada PRU dan beberapa PRN lalu ialah PN. “Mereka bertembung di segmen yang sama iaitu segmen Melayu. Tetapi Umno boleh berdepan PAS kecuali di Kelantan dan Terengganu.”

Di dua negeri Pantai Timur itu, PAS reign supreme. Logo PAS digunakan untuk dapatkan undi dengan jaya. Semua orang kenal dan terima bulan. But not outside Kelantan and Terengganu.

Maka jenama PN digunakan. “Bila ada jenama PN di luar Terengganu dan Kelantan bercampur dengan confidence level Muhyiddin Yassin dan partinya Bersatu untuk segmen Melayu, undi Melayu BN pergi ke PN,” kata Yusri.

Ertinya logo bulan PAS sukar ‘dijual’ di kawasan Melayu di luar Kelantan dan Terengganu tetapi logo PN diterima. Melayu yang undi BN boleh dibaca sebagai mereka tidak mahu PAS tetapi boleh undi PN walaupun PAS ada di dalamnya — pelik tapi benar gamaknya.

Singkatnya logo PN ada nilai di luar Kelantan, Terengganu dan mungkin juga Kedah. Sekarang logo PN tidak akan ada dalam kertas undi. Logo BN ada. Berdasarkan apa yang dikata Yusri, di situlah undi mereka akan hinggap.

PAS terpaksa guna logo sendiri di luar kubu kuat mereka. Komponen PN lain pun kena guna logo masing-masing. Logo PAS ramai juga orang kenal. Logo Gerakan ada juga yang tahu tetapi tidak boleh jana undi. Wawasan dan MIPP? Mungkin mereka terpaksa guna logo PAS.

Patutlah Yusri kata BN sedang ketawa dalam senyap.