"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wakil Husam dedah kronologi debat baiah

ZIKRI ABDULLAH
Che Ibrahim Mohamed
Pengarah persiapan debat isu baiah antara penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa dan adun Meranti Datuk Nasaruddin Daud menyangkal dakwaan bahawa Datuk Husam cuba mengelak daripada berdebat.

Che Ibrahim Mohamed dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman facebooknya hari ini mendedahkan kronologi penuh perbincangan-perbincangan yang diadakan kedua-dua pihak sejak bulan November 2016 hingga Januari lalu.

"Husam dan Nasaruddin melalui wakil masing-masing telah empat kali mengadakan mesyuarat dan telah bersetuju melantik Sinar Harian sebagai penganjur dan menunggu pihak berkenaan menentukan tarikh dan lain-lain ketetapan.

"Saya pun terkejut mengapa pula tiba-tiba heboh dan nak dibuat ceramah kononnya Husam lari dari debat," katanya.

Kedua-dua pihak telah melantik wakil masing masing untuk tujuan tersebut iaitu Husam melantik Mohd Mazlan Ab Rahman dan Wan Azimin Lawyer, manakala Nassuruddin melantik Nik Bahrum dan Nazman Che Iberahim.

"Selepas mesyuarat pertama pada 14 Disember atas inisiatif wakil-wakil Husam, mesyuarat-mesyuarat seterusnya ialah pada 27/12/2016, 10/1/2017 dan 18/1/2017.

"Wakil kedua-kedua pihak hadir dalam semua mesyuarat tersebut, manakala Nazman hanya hadir pada mesyuarat pada 27/12/2016 dan 18/1/2017, mesyuarat pada 14/12/2016 dan 10/1/2017 Nazman tidak hadir.

"Kedua dua pihak telah bersetuju dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut iaitu bersetuju debat diteruskan, kedua-dua pihak dikehendaki mendapat persetujuan parti masing masing.

"Husam telah mendapat persetujuan bertulis daripada Amanah melalui surat bertarikh 19/11/2016, manakala Nik Bahrum memaklumkan dlm mesyuarat pada 27/12/2016 bahawa Pas tidak ada halangan untuk membenarkan Nassuruddin berdebat dengan Husam, tetapi surat kebenaran bertulis tidak akan dikeluarkan," katanya.

Menurutnya, tajuk debat ialah SIDANG DUN KELANTAN: ISU BAI'AH manakala tempat ialah di dalam Stadium Sultan Muhammad ke IV, hari sabtu malam ahad dan diuruskan oleh pihak Nassuruddin.

"Tarikh akan ditetapkan kemudian dengan persetujuan kedua dua belah pihak dan debat diadakan selama 50 minit dalam empat pusingan.

"Penganjur ialah Sinar Harian dan diurus oleh pihak Husam manakala moderator akan ditetapkan oleh penganjur dengan persetujuan kedua dua pihak dengan PA System diurus oleh pihak Nassuruddin," katanya.

Menurutnya dalam mesyuarat kali ke 4 pada 18/1/2107, wakil Nassuruddin memaklumkan debat akan diadakan pada 28/1/2017 dan pihak stadium telah bersetuju dengan tarikh tersebut.

"Pihak Husam memaklumkan penganjur memerlukan masa 30 hari daripada tarikh yang ditetapkan bagi membolehkan mereka membuat persiapan, lalu mencadangkan tarikh yang sesuai ialah 25/2/2017 kerana tarikh tarikh lain (hari sabtu malam ahad) sudah tidak sesuai, iaitu 11/2/2017 Nassuruddin ke luar negara manakala 18/2/2017 Himpunan RUU 355 di Kuala Lumpur.

"Akhirnya mesyuarat ditangguhkan tanpa menetapkan tarikh debat dan tarikh mesyuarat yang berikutnya," katanya lagi.

Sebagai pengarah penyelenggara debat, Che Ibrahim berkata, beliau melihat pihak Nasaruddin sebenarnya tidak serius dalam menyelenggara debat dan cuba menggagalkannya dan taktik menuduh Husam yang cuba lari adalah satu fitnah yang mereka mainkan.

"Kita serius untuk berdebat sebab itu kita atur persiapan dalam segala segi supaya ia menjadi kenyataan dan saya bersedia mendedahkan banyak lagi minit-minit perbincangan jika mereka terus jadikan perkara ini permainan politik murahan," katanya.

Pekerja Bangladesh tetak putus kepala rakan kerana cemburu

Bernama
SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki warga Bangladesh dijumpai dalam keadaan kepala terputus di tapak projek pembinaan pangsapuri 20 tingkat di Alam Jaya, Jeram, dekat sini dalam insiden Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ruslan Abdullah berkata badan lelaki berumur 29 tahun itu ditemukan tersangkut pada perancah besi di tingkat 10 dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan kepalanya di atas lantai tingkat 1 bangunan separuh siap berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pekerja subkontraktor itu disyaki dibunuh berikutan terdapat kesan tetakan senjata tajam pada bahagian tengkuk yang mungkin menyebabkan kepalanya terputus daripada badan.

“Kejadian dianggarkan berlaku pada 4 petang, dan siasatan lanjut mendapati seorang lelaki berumur 32 tahun, rakan sekerja mangsa yang juga warga Bangladesh, disyaki terlibat dalam insiden itu.

“Suspek dikatakan menolak mangsa melalui tingkap di tingkat 11 tetapi mayat tersangkut di tingkat 10 manakala kepalanya jatuh di tingkat 1,” kata Ruslan dalam kenyataan semalam.

Ruslan berkata lelaki itu melarikan diri apabila menyedari rakan sekerja lain mengetahui tentang kejadian tersebut.

Beliau berkata pembunuhan itu disyaki akibat rasa cemburu suspek terhadap mangsa yang dikatakan menjadi pekerja kesayangan majikan mereka.

“Suspek diberkas awal pagi di sekitar Kuala Selangor dan dia direman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” katanya, sambil menambah kedua-dua lelaki itu mempunyai permit kerja yang sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perubahan politik bakal berlaku di negeri Kedah ?

Ahmad Lutfi Othman
Sudah dua kali saya ikuti lintas langsung internet program ceramah Dr Mahathir Mohamad di Kedah. Yang terakhir, malam tadi, Kuala Kedah. Nampak meriah dan ramai sekali hadirin.

Terasa percikan semangatnya sungguhpun siaran sering terganggu, terutama bila Dr Mahathir berucap.
Pidato wakil DAP, Dyana Sofya dan Naib Presiden Amanah, Ustaz Hasanuddin Yunus juga menarik.

Dari jauh, kelihatan wajah audien kebanyakan seperti khalayak baru buat majlis anjuran pembangkang. Satu perkembangan yang mengujakan.

Memang dijangkakan perubahan bakal berlaku di jelapang padi itu. Walaupun anak Kedah, sejak uzur teruk, jarang sekali saya dapat turun menyelami pergolakan politik di sana.

Dalam tempoh 16 bulan, baru sekali dapat balik kampung, di Kubang Pasu. Itupun untuk hadiri majlis kenduri adik menerima menantu.

Jika kuat dan segar sikit, negeri pertama saya akan berkunjung adalah Kedah, insya Allah.

Saya mahu hayati sendiri, arus perubahan yang dikatakan bergelora kuat di bawah, serta cuba merakamnya melalui pena usang ini.