"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Asri Boleh DiKecualikan Dari 'Dakwaan Berceramah Tanpa Tauliah / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Zeiman
PETALING JAYA: Isu berceramah tanpa tauliah yang dilemparkan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sepatutnya tidak timbul.

Ini adalah kerana,JAIS boleh menggunakan budi bicara mereka di bawah klausa 'Pengecualian' seperti yang tercatat di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 jika mereka mahu berbuat demikian.
Setelah meneliti salinan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang ditunjukkan kepada mStar Online, jelas bahawa dakwaan Dr Asri memberi ceramah tanpa tauliah hanya satu alasan.

Di bawah klausa 'Pengecualian' seperti yang tercatat di Bahagian IX Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008, pendakwah ini sebenarnya layak diberi pengecualian.

Dalam Enakmen tersebut, klausa 'Pengecualian' mencatatkan bahawa:

Jawatankuasa boleh, melalui notis bertulis, mengecualikan mana-mana orang yang berikut dari kehendak mendapatkan tauliah:

a) Alim Ulama atau tokoh agama tempatan tertentu atau Alim Ulama atau tokoh agama luar negeri yang dijemput secara rasmi atau atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, jabatan atau agensinya;

b) Mufti-mufti Negeri dan ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri;

c) Hakim-hakim Mahkamah Syariah dan Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri-negeri;

d) Menteri atau ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dengan Hal Ehwal Islam atau Ketua Jabatan Agama Islam Negeri atau ahli Majlis Agama Islam Negeri;

e) Pegawai Hal Ehwal Islam atau pegawai Agama Islam Persekutuan dan Negeri, Pensyarah-pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti-universiti tempatan atau Institusi Pengajian Tinggi Tempatan, Guru Agama Kementerian Pendidikan atau Guru Agama Jabatan Agama Islam Negeri.

Jawatankuasa Tauliah pula terdiri daripada Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai Pengerusi, Mufti (Sebagai Timbalan Pengerusi), Penasihat Undang-undang atau wakilnya yang diberi kuasa, Ketua Polis Negeri atau wakilnya yang diberi kuasa, Pengarah bahagian Dakwah JAKIM, dua orang lain yang dilantik MAIS dan Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Dakwah) sebagai Setiausaha.

Sebelum ini, Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, Dr Asri akan didakwa selepas jabatan itu selesai menjalankan siasatan berhubung kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

Menurut Khusrin, Dr Asri akan didakwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Seksyen 119 (1) yang menyebut mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di negeri itu perlu mendapatkan tauliah daripada JAIS.

"Sesiapa yang didapati gagal mendapatkan tauliah daripada JAIS jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dr Asri ditahan JAIS pada 1 November, pukul 9.45 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika beliau sedang memberikan ceramah.

Beliau telah dibawa ke Balai Polis Hulu Kelang pada jam 12 tengah malam.

Keesokan harinya, Dr Asri telah diarah ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. Hasil perbincangan di antara pegawai JAIS dan enam peguam Dr Asri, kedua-dua belah pihak bersepakat untuk menukarkan bon jaminan terdahulu iaitu pertuduhan di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor, kepada satu perjanjian yang baru di mana Mohd Asri mungkin dipanggil oleh JAIS untuk siasatan lanjut.

Menurut Khusrin, Dr Asri akan didakwa bila-bila masa selepas jabatan itu selesai menjalankan siasatan berhubung kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

"Siasatan sedang kita jalankan dan selepas kertas siasatan siap, kita akan dakwa beliau pada satu masa yang akan kita maklumkan kemudian," katanya dalam satu sidang media di Pejabat JAIS, di Bangunan Sultan Idris baru-baru ini.

Dr Asri adalah pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia. Beliau mendapat pendidikan awal dari Sek Men Agama Al-Irsyad, Seberang Perai, Pulau Pinang sebelum melanjutkan pengajian di Kolej Islam Klang.

Tokoh agama yang lantang bersuara tentang tajdidnya itu mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda (dengan kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari Universiti Jordan; Ijazah Sarjana Pengajian Islam dari USM dan juga Ijazah Falsafah (Ph.D) dalam Islamic Revealed Knowledge And Heritage (Al-Quran And Sunnah Studies), UIA (2003).

Beliau juga memperolehi Ijazah Hadith, di mana Dr Asri mendapat 5 ijazah sanad menerusi jalur ulama India (2001).

Pada tahun lepas, Dr Asri telah menjalani cuti sabbatikal untuk membuat kajian berkenaan hadis di UK di bawah biasiswa USM.

Tokoh agama yang berusia 38 tahun itu juga adalah Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis.

Beliau adalah penerima Anugerah Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis 1427H, Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Perlis Tahun 1429H dan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah USM Tahun 1430H. Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis.

Dr Asri turut menghasilkan 21 buah buku agama. Antara buku-buku beliau ialah Penyelewengan Buku “As-Salafiyyah al-Wahabiyyah: Satu Penilaian” (2003), Pertelingkahan Para Sahabat Nabi s.a.w: Antara Ketulenan Fakta Dengan Pembohongan Sejarah (edisi kedua) (2003), Menilai Tarikat Dan Kesufian Dengan Syariat Allah (2004).

Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya (2004), Al-Imam al-Syafi’i: Kegemilangan Ilmu Dan Pemikiran (2006), Fanatik Mazhab: Kesan Terhadap Pemikiran Umat (2007), Arus Tajdid: Fikrah Merentasi Jemaah (2007), Hadis Palsu: Kesan Terhadap Pemikiran Umat (2007), Warisan al-Hadis: Antara Teras Dengan Dinamika Pemikiran (2008) dan Mengemudi Bahtera Perubahan Minda (2008).

- MStar

Tiada ulasan: