"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat Kelantan kahwin warga asing meningkat

KOTA BARU, 21 Mac: Jumlah rakyat Kelantan sama ada lelaki atau wanita yang berkahwin dengan warga asing didapati meningkat setiap tahun dengan warga Thailand dan Indonesia menjadi pilihan utama.

Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Che Bahrom Hamzah berkata melalui rekod pihaknya, seramai 4,342 orang lelaki dan wanita Kelantan berkahwin dengan warganegara asing pada 2007 dan 4,971 orang pada 2008.

Pada tahun lepas pula, 4,804 kes dilaporkan, katanya kepada Bernama.

“Walaupun jumlah perkahwinan menurun tahun lalu, namun ia hanya sedikit dan masih menunjukkan rakyat Kelantan meminati pasangan hidup daripada warganegara asing,” katanya.

Che Bahrom berkata warga Thailand dan Indonesia menjadi pilihan kerana selain soal rupa paras yang dimiliki wanita asing, kemungkinan faktor kedudukan negara yang berjiran dan berhampiran turut menjadi puncanya.

Bagaimanapun beliau berkata kes perkahwinan wanita Kelantan dengan lelaki asing lebih banyak menimbulkan risiko ekoran terdapat warga asing yang semata-mata mahu mendapatkan taraf kerakyatan negara ini.

“Walaupun bukan merupakan kes tertinggi, tetapi banyak kes yang dilaporkan berlaku di mana lelaki warga asing menghilangkan diri selepas tiga bulan berkahwin.

“Ini berlaku apabila lelaki asing yang muda berkahwin dengan wanita tempatan yang sudah berusia di mana apabila perkahwninan sudah mencecah tiga bulan dan lelaki asing berjaya memiliki taraf kerakyatan, dia akan terus menghilangkan diri,” katanya.

Che Bahrom berkata terdapat juga kes warga asing pulang ke negara asal mereka apabila berlaku pergaduhan suami isteri. “Mereka akan meninggalkan isteri atau suami tempatan mereka,” katanya.

Namun beliau berkata ramai juga perkahwinan rakyat tempatan dengan warga asing kekal bahagia.

-Bernama-

Tiada ulasan: