Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 25 Mac: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan mencadangkan diadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi menyelesaikan konflik membabitkan istana negeri.
Pengerusinya, Abdullah Yakob (gambar) berkata, persidangan tergempar Dun Kelantan penting diadakan untuk membincangkan perkembangan terbaru berkaitan istana.
“BBC mencadangkan diadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri memandangkan kemelut dalaman Istana Kelantan belum berkesudahan.
“Persidangan Dun khas itu boleh diadakan dalam waktu terdekat ini bagi menangani masalah tersebut. Rakyat ingin suatu keputusan dibuat berasaskan kebenaran dan keadilan mengikut undang-undang,” katanya pada persidangan media di sini, hari ini.
Hadir sama timbalan pengerusi BBC, Drs Zainuddin Awang Hamat.
Abdullah yang juga Adun Air Lanas berkata, cadangan itu dicetus berikutan menerima pandangan pelbagai lapisan masyarakat bagi menyelesaikan isu tersebut.
Menurutnya, BBC yakin Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra berada di pihak yang benar.
“BBC turut menyokong dan sentiasa berada di belakang pimpinan kerajaan negeri yang menyatakan taat setia kepada pemerintah yang sah mengikut perlembagaan Negeri.
“BBC berharap keputusan yang dibuat Majlis Perajaan Negeri dapat mengembalikan keharmonian negeri dan rakyat tanpa gangguan mana-mana pihak,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan pagi tadi, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mendakwa sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan mengumumkan Tengku Muhammad Faris Petra dilucutkan daripada jawatan sebagai Pemangku Raja negeri itu berkuat kuasa hari ini.
Pengumuman mengejutkan itu dilihat merumitkan lagi krisis Istana Kelantan. Keputusan terbaru itu diumumkan pada sidang media di Istana Mahkota.
Sedangkan semalam Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad menjelaskan hanya Pemangku Raja dan Majlis Perajaan Negeri mempunyai kuasa memandangkan Sultan Kelantan masih gering.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan