"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

4 Ahli Parlimen Bebas akan diperalat di Hulu Selangor

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR:
Umno/Barisan Nasional (BN) akan menggunakan 'talian hayat' empat ahli Parlimen Bebas yang baru sahaja keluar dari KeADILan bagi berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan diadakan dalam masa terdekat berikutan kematian penyandangnya, Dato' Zainal Abidin Ahmad.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat, Firdaus Jaafar berkata, pastinya Umno/BN akan menggunakan talian hayat itu kerana sebelum ini di Parlimen juga, empat wakil Bebas bekas ahli KeADILan itu menyerang Pakatan Rakyat dan beberapa pemimpin utama pakatan.

"Kita kena hati-hati dengan strategi ini.Namun kita yakin rakyat dapat menilai sejauhmana dakyah mereka ini benar," katanya ketika mengulas persediaan PRK Parlimen Hulu Selangor pada 26 Mac lalu.

Firdaus yang juga ahli Parlimen PAS Jerai berkata, rakyat perlu menolak calon BN tidak kira dari MIC atau Umno yang akan diletakkan kerana, pentadbiran BN hari ini sudah 'hancur'.

Malah katanya, pentadbiran BN hari ini langsung tidak mementingkan rakyat, sebaliknya membuat sesuatu dasar mengikut selera pemimpin sahaja.

Lihat sahaja dalam isu pelantikan Apco Worldwide sebagai syarikat perunding komunikasi 1Malaysia dan isu kegawatan ekonomi, judi dan pertahanan negara yang terdedah kepada maklumat asing, katanya.

"Ini semua menunjukkan kegagalan kerajaan Umno/BN/.Sedangkan rakyat di Selangor hari ini mendapat khidmat yang bagik dari kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat.Banyak perubahan yang mesra rakyat dibuat, ini perlu dipandang oleh pengundi," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani pula berkata pihaknya telah menubuhkan sekretariat petugas khas untuk menyelia pusat khidmat Hulu Selangor dengan mempertimbangkan situasi bahawa Zainal kurang sihat dan tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ke atas Hulu Selangor.

“Jadi kami sudah bergerak dan mengadakan gerak kerja dari awal-awal lagi. Oleh itu saya lihat tiada masalah untuk menghadapi pilihan raya kecil ini apabila diadakan,” kata beliau.

Zainal, 71, meninggal dunia di kediamannya di Batu 9½, Jalan Cheras, Kajang, kira-kira 9.27 malam tadi akibat barah otak.

Allahyarham memenangi kawasan Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum Mac 2008 di atas tiket PKR dan pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor ketika dalam Umno.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, Zainal pernah menjawat jawatan Exco negeri, antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G. Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Mengulas lanjut, Abdullah memberitahu pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas jentera pilihan raya Selangor untuk membincangkan strategi menghadapi pilihan raya kecil Ahad ini.

Bagaimanapun beliau memberitahu, mesyuarat khas itu tidak akan membincangkan soal bakal calon bagi kerusi itu.

“Soal calon kita serahkan kepada pucuk kepimpinan,” kata beliau di sebalik desas-desus Dato' Zaid Ibrahim kemungkinan diturunkan di sana.

Nama Zaid, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dan anggota Majlis Pimpinan Pusat KeADILan, disebarkan menerusi Internet sejak berita Zainal meninggal dunia muncul malam tadi.

Tiada ulasan: