"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Brunei bantah rancangan adakan 'zon alkohol'

BANDAR SERI BEGAWAN: Menteri Ehwal Agama Brunei menentang satu rancangan mengadakan satu 'zon alkohol' untuk para pelancong yang berkunjung ke negara Islam itu.

Berucap kepada Parlimen Brunei kelmarin, beliau menegaskan bahawa langkah mengadakan zon itu akan mengundang kemurkaan Tuhan.

Undang-undang Brunei mengharamkan penjualan dan pengambilan alkohol di khalayak ramai walaupun mereka yang bukan Islam dibenarkan membawa minuman beralkohol pada jumlah yang dibataskan untuk penggunaan peribadi.

Menteri Ehwal Agama Brunei...

Encik Zain Serudin, menolak saranan seorang anggota parlimen, Encik Goh King Chin, agar diwujudkan satu kawasan khas bagi para pelancong membeli dan meminum arak.

'Apa yang paling kita takuti ialah kemurkaan Allah.

'Kemurkaan Allah tidak hanya datang kepada yang melakukan (kesalahan), malah kepada yang lain.

'Para pelancong yang mahu meminum arak boleh berbuat demikian secara bebas di negara mereka sendiri - mereka bukan sahaja dapat meminumnya, malah mereka juga boleh bermandi dengannya,' kata Encik Zain di Parlimen Brunei.

Encik Goh, seorang anggota parlimen Brunei, mencetuskan perdebatan di kalangan penggubal dasar minggu lalu apabila beliau mengusulkan bahawa pihak berkuasa boleh mempromosikan kegiatan pelancongan di negara itu dengan mewujudkan satu 'zon alkohol' khas bagi para pelawat bukan Islam.

Namun, langkah demikian juga boleh mencemarkan reputasi Brunei sebagai sebuah negara yang patuh kepada ajaran Islam, tambah Encik Zain.

'Hari ini mereka mahu zon ini, kemudian mereka mungkin mahukan kelab-kelab (malam), kemudian apa lagi? Zon pelacuran? Kemudian zon kasino?

'Inilah sebabnya kita perlu menentang dan mengekalkan Brunei sebagai sebuah negara aman yang digelar Darussalam,' ujar beliau.

- AP/selatanonline-

Tiada ulasan: