"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Reformasi PDRM menuju kegagalan - Gerak

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 26 Mac:
Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak) melihat reformasi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaungkan oleh pihak kerajaan sewaktu berada di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi semakin menuju kepada kegagalan kerana tindakan beberapa pihak yang berkepentingan.

Menurut kenyataan Ahli Lembaga Pengarah Gerak kepada Harakahdaily hari ini, usaha murni Tun Abdullah Ahmad Badawi dilakukan bagi mengembalikan integriti pasukan PDRM, sebagai contoh setelah kredibiliti bekas Ketua Polis Negara (KPN) jatuh apabila disabitkan sebagai bersalah kerana mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu dilokap.

Justeru, Gerak sekali lagi melahirkan kebimbangan serta mempersoalkan budaya integriti yang sudah lama dipupuk dalam pasukan PDRM supaya tidak dirosakkan oleh pihak ketiga yang mempunyai kepentingan peribadi.

“PDRM perlu dilihat sebagai pasukan yang amanah dan berintegriti di kalangan masyarakat,” ujar kenyataan itu.

Namun, Gerak melalui Ahli Lembaga Pengarahnya melahirkan kekesalan dan berpendapat bahawa 'kenyataan campur tangan dalam PDRM' oleh KPN, Tan Sri Musa Hassan baru-baru mendatangkan keresahan dan kegelisahan di kalangan golongan marhaen terutamanya melibatkan kewibawaan dan integriti pasukan PDRM.

Kenyataan KPN tersebut wajar disiasat kerana datang daripada pegawai tertinggi PDRM sendiri.

Gerak juga menyokong usul untuk membincangkan isu itu secara serius dan efisyen walaupun datang daripada pihak pembangkang di Dewan Rakyat kerana melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Usul berhubung perkara itu yang dibawa oleh Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (PAS-Titiwangsa) pada 23 Mac lalu bagaimanaoun ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Begitupun, Gerak melahirkan ucapan tahniah kepada pihak PDRM bersempena sambutan Hari Polis baru-baru ini dan tidak menafikan peranan yang dimainkan oleh pihak berkuasa tersebut malahan berterima kasih atas kerja keras pasukan itu dalam menjamin keamanan dan ketenteraman awam.

Tiada ulasan: