"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Anwar: Pendedahan WikiLeaks 'Sub judice', Kata Peguambela

KUALA LUMPUR,13 DIS: Kabel diplomatik Amerika Syarikat bukan sahaja menggegarkan masa depan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi juga perbicaraan kes liwat keduanya dengan peguam-peguam beliau memberi amaran berita mengenainya boleh dianggap sebagai 'sub judice'.


Lapor portal The Malaysian Insider , Peguam Sankara Nair berkata, beliau dan peguam utama pasukan pembela Karpal Singh telah mengadakan perbincangan awal berhubung pendedahan WikiLeaks berhubung maklumat ejen-ejen risikan yang mempercayai bahawa kejadian melibatkan Anwar adalah sesuatu yang "diperangkap", tetapi Ketua Pembangkang itu telah "memasuki" perangkap tersebut.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan rakan saya Karpal Singh berhubung perkara ini. Satu perkara, kami merasakan bahawa sebenarnya adalah 'sub judice'  jika membawa berita-berita (seperti) ini kerana ia boleh memberi kesan ke atas integriti perbicaraan.

"Jika anda melihat dengan betul-betul, berita itu diterbitkan menerusi pihak ketiga. Dalam bidang perundangan, ia hanya cakap-cakap melainkan ia dibuktikan sebaliknya," kata beliau.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Kes itu sedang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan disambung bulan depan.

Tuduhan kali pertama dikenakan sedekad yang lalu, selepas beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Sankara berkata, beliau perlu berunding dengan Anwar terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Pagi semalam, sebaik sahaja beritamengenainya disiarkan, Anwar menggunakan Twitter untuk mengetepikan pendedahan WikiLeaks bahawa perisikan Australia percaya beliau terlibat dalam kes liwat keduanya, dengan mengatakan sumbernya sudah pasti Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia.

Ketua Pembangkang ini tidak membalas panggilan telefon The Malaysian Insider untuk mengulas laporan akhbar Australia, The Sun-Herald tetapi memberikan respons menerusi akaun Twitter apabila ditanya oleh beberapa pengikutnya.

"Sumber? Polis SB Malaysia. Bukti tak ada," kata Anwar.

Dalam respons terdahulu, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, "sumber? SB Malaysia ha ha."

Pendedahan WikiLeaks mendominasi aliran mesej Twitter di Malaysia hari ini dengan ahli-ahli politik dari Barisan Nasional (BN) dan pengikutnya memberikan respons ke atas pendedahan terbaru ini.

Sankara juga berkata, kenyataan Anwar itu bukan sesuatu yang tidak standard kerana laporan risikan tidak boleh digunakan sebagai asas berita atau maklumat, malah fakta-fakta dalam laporan ini lazimnya boleh mengelirukan atau tidak benar sama sekali.

"Saya sebahagian daripada (pernah berada dalam) cawangan itu (khas polis), saya tahu mengenainya. Perkara terakhir anda lakukan ialah percaya pada laporan risikan, anda tidak boleh membuat dakwaan begitu sahaja, melakukan sedemikian satu tindakan meneka dan cakap-cakap sahaja," kata Sankara.

"Seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah," tambah Sankara.

Peguam itu berkata, hakim perbicaraan kes liwat kedua ini Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah mempunyai kuasa untuk memanggil pertubuhan berita tempatan yang melaporkan pendedahan itu dan memberikan mereka surat tunjuk sebab.

"Hakim boleh memanggil akhbar-akhbar (media terbabit) dan boleh meminta mereka menjelaskan mengapa mereka menulis berita itu, dan di mana buktinya. "Situasti di sini sama seperti kes Utusan di peringkat perbicaraan," kata beliau.

"Kami mahu mengelakkan perkara-perkara tidak berasas terhadap anak guaman kami ketika perbicaraan ini. Ia menjejaskan isu," kata Sankara.

Lewat petang semalam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata pihaknya memandang serius cubaan memanipulasikan maklumat didedahkan WikiLeaks mengenai komen-komen bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew and agensi perisikan negara tersebut berkenaan kes liwat Anwar.

Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail berkata,  rakyat perlu faham kaedah operasi dan fungsi WikiLeaks untuk menilai sama ada komen-komen tersebut boleh diterima pakai ataupun sebaliknya.

"WikiLeaks adalah sebuah laman yang memberi ruang kepada orang ramai menghantar maklumat-maklumat sulit yang dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai.

"Orang ramai bebas menghantar apa-apa jenis maklumat pun, jadi ada maklumat yang datangnya dari kajian terperinci, ada juga hanyalah rakaman perbualan antara ahli-ahli diplomat.

"Maklumat yang didedahkan kali ini dan dipetik akhbar hanyalah catatan komen-komen peribadi yang dibuat oleh ahli diplomat Singapura, Lee dan agensi perisikan negara itu," katanya.
-tvsnews-

Tiada ulasan: