"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pua Mahu Saman Zahid Tuduhan Ditangkap Di Singapura


KUALA LUMPUR, 22 MAC: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua akan mengemukakan saman ke atas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa beliau pernah ditangkap di Singapura.

Dalam sidang media yang diadakan di lobi parlimen hari ini, Pua berkata tindakan saman itu diambil selepas Ahmad Zahid yang membuat kenyataan itu Jumaat lalu  tidak memohon maaf dan menarik segala apa diperkatakannya itu.

Difahamkan Zahid telah diberikan tempoh selama 24 jam untuk berbuat demikian, namun masih tidak ada tindak balas mengenainya sehingga ke hari ini.

“Saya rasa tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh seorang menteri seorang Naib Presiden Umno langsung tidak bertanggungjawab ini merupakan tuduhan-tuduhan yang liar ini merupakan satu kenyataan daripada seorang yang berhati busuk yang tidak berintegriti yang tidak bermoral sebab perkara-perkara tersebut langsung tidak pernah terjadi,” katanya.

Zahid sebelum ini mendakwa Pua pernah ditahan dan didakwa di mahkamah di Singapura namun dilepaskan kerana hubungan baiknya dengan sebuah pejabat di sana dan kembali ke Malaysia sebagai agen Singapura.

Menurut Pua, apa yang diperkatakan oleh Zahid adalah fitnah semata-mata.

Jika benar tambahnya tentu ada bukti yang boleh menggaitkan dirinya dengan kes dinyatakan.

“Sesiapa kalau kena caj di Singapura tentu ada rekod sesiapa yang kena tahan. Kalaupun kerajaan Singapura hilangkan rekod tersebut macamana rekod di Mongolia Altantuya masuk negara Malaysia itu hilang.

"Kalau lah itupun terjadi tentu ada rekod daripada segi media mana-mana blog yang tertulis di mana seorang CEO di Singapura ditahan masa tu saya seorang CEO di Singapura,” katanya lagi.

Sementara itu, Gobind Singh Deo yang bertindak sebagai peguam berkata pihaknya akan mengemukakan saman itu minggu depan.

"Kami akan memfailkan saman itu minggu depan.

"Apa yang menjadi keutamaan sekarang bukan soal wang tetapi ia soal prinsip,"katanya lagi.
-tvsnews-

Tiada ulasan: