"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tawar rasuah & salah guna wang Risda, AMK desak SPRM siasat


Shamsul bersama pimpinan AMK membuat laporan ke atas Rahim Tamby Chik di SPRM
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM) menyiasat Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik kerana menawar rasuah kepada pemimpin KEADILAN.
Ketua AMK Pusat,, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tawaran rasuah Rahim kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ketua KEADILAN Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin, salah di sisi undang-undang.
Beliau yang juga seorang peguam menyatakan takrif rasuah melingkungi tindakan bersifat tawaran, imbuhan mahupun janji.
“Jika polis dengan dengan pantas boleh memanggil Rahim, SPRM juga perlu segera melakukan siasatan,” katanya selepas mengetuai AMK membuat laporan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN,  Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Ketua Penerangannya, Lee Khai Loon. Laporan itu diterima oleh Penguasa Kanan SPRM, Hazrul Shazreen Abd Yazid.
Shamsul berkata, laporan itu juga meliputi dakwaan Rahim menyalahguna wang agensi itu ketika membuat tempahan bilik di hotel mewah Carcosa Sri Negara untuk menayangkan video fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau juga mendesak Rahim Thamby Chik meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Risda dengan merujuk kepada kenyataan yang dibuat Rahim sebelum ini, yang bekas Ketua Menteri Melaka itu bersedia meletak jawatan jika didakwa SPRM.
“Kita mahu SPRM menyiasat dengan telus, segera dan terperinci terhadap individu-individu yang didakwa terlibat dengan penyalahgunaan wang Risda.
“Mengikut maklumat, tempahan bilik itu dibuat pegawai khas kepada Rahim iaitu Datuk Kamarullail yang juga Timbalan Ketua Umno Bukit Gantang,” katanya.

Tiada ulasan: