SUNGAI BARU: Seorang nenek kepada 30 cucu yang hilang dalam tempoh 24 jam pada Rabu lalu mengadu dilarikan dan dikawal oleh tiga lembaga hitam tidak dikenali sepanjang kehilangannya.
Johara Ahmad, 83, mendakwa, sebelum ditemui jirannya di tengah-tengah sawah dalam keadaan letih, dia dijaga oleh tiga lembaga yang sukar dikenal pasti sama ada lelaki atau perempuan.
Anaknya, Masitah Mat, 60, berkata, ketika kejadian dia keluar ke bank manakala Johara tinggal bersama adiknya, Zurina, 51, di rumah mereka yang terletak di Kampung Sungai Baru Tengah.
Menurutnya, kejadian itu diketahui apabila Zurina menghubunginya dan bertanyakan mengenai ibu mereka yang tiada di dalam rumah.
“Saya menyuruh Zurina mencari ibu di bilik air, namun tiada dan puas dia mencari di sekeliling rumah tetapi gagal ditemui.
"Saya segera pulang ke rumah dan kemudian terus mengajak adik saya untuk mencari ibu sehingga malam, namun tidak jumpa,” katanya kepada Sinar Harian.
Ditemui 5 km dari rumah
Masitah berkata, mereka kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Alor Janggus bagi mendapatkan bantuan mencari ibu. Dia berkata, keesokan harinya (Khamis) jiran mereka memberitahu Johara telah ditemui di kawasan lopak berhampiran sawah padi yang terletak di Kampung Parit Buaya, kira-kira 5 kilometer (km) dari rumahnya.
“Sewaktu jiran saya membawa ibu pulang, dia kelihatan agak letih mungkin disebabkan tidak tidur, makan dan minum semalaman.
“Ibu juga ada memberitahu saya, dia dijaga oleh tiga lembaga atau 'orang' sepanjang berada di kawasan sawah padi itu, namun tidak mengenali mereka,” katanya.
Johara yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Lang dalam kalangan penduduk kampung tidak putus-putus menerima kunjungan tetamu sejak dia dijumpai kira-kira jam 11 pagi.
Nampak orang cari tapi tak mampu mengeluarkan suara
Masitah berkata, Johara juga memberitahu dia terlihat orang kampung yang sedang mencarinya di kawasan berkenaan, namun tidak boleh memanggil mereka kerana dihalang oleh lembaga itu.
Dia berkata, usaha untuk mendapatkan bantuan daripada orang ramai juga terhalang apabila hanya dia sahaja yang boleh nampak orang di sekelilingnya sedangkan orang lain tidak boleh melihatnya walaupun mereka berada di kawasan berhampiran.
“Saya dan adik ada juga mendapatkan bantuan daripada bomoh sewaktu ibu belum ditemui dan bomoh turut memberitahu hanya ibu sahaja yang boleh melihat orang di sekeliling namun tidak sebaliknya.
“Sejak ibu dibawa pulang, dia juga kurang selera makan berbanding sebelum ini dan lebih banyak minum air termasuk air teh yang sebelum ini dia tidak gemar,” katanya.
Masitah berkata, Johara hanya menceritakan suasana di tempat kejadian kepada mereka sekeluarga setelah mula mengingati apa yang berlaku. Apa pun, mereka sekeluarga berasa lega apabila Johara ditemui dalam keadaan selamat.
Temui Johara duduk atas tanah bendang
Sementara itu, Johara berkata, sewaktu perjalanan ke kawasan berkenaan, dia tidak berasa letih walaupun jauh kerana berasa seolah-olah ada orang yang mendukungnya ke sana.
Sinar Harian turut menanyakan Johara lebih lanjut mengenai kejadian, bentuk tubuh serta usia tiga ‘orang’ atau lembaga misteri yang menjaganya, namun Johara tidak dapat menjelaskannya kerana tidak dapat mengingati secara keseluruhan apa yang berlaku.
Penduduk, Ismail Othman, 70, berkata, sewaktu dia terjumpa dengan Johara, wanita itu sedang duduk di atas tanah yang telah dilalui oleh jentera padi.
Dia yang sebak melihat keadaan Johara yang kelihatan pucat lesu segera mengangkat lalu memapah untuk dibawa pulang ke rumah.
“Pada awalnya saya tidak menyangka objek hitam di tengah petak sawah ialah Johara namun saya tetap mendekati objek terbabit untuk mendapatkan jawapan.
“Johara juga ada memberitahu saya yang dia dijaga oleh tiga lembaga berwarna hitam dan bertubuh besar sepanjang berada di petak sawah itu,” katanya.
Ismail berkata, tidak banyak yang ditanyakan kepada Johara mengenai kejadian itu kerana sepanjang perjalanan pulang, dia berasa sedih melihat keadaan Johara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan