"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tan Sri Harussani Zakaria 'Berseotak' dengan Ibrahim Ali

Yangretibase
Tuduhan dan kutukan yang amat dahsyat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria terhadap pemimpin dan pengikut PAS sudah melampau dan keterlaluan. Sikap anti-PAS dia membuak-buak sehingga dia tergamak berseotak dengan Ibrahim Ali untuk berikhtiar bagi 'melucutkan' kalimah 'Islam' daripada nama parti PAS.

Dengan kata lain, dia cukup meluat kepada PAS, sebuah parti Islam; namun, pada masa yang sama, dia sanggup bersekongkol dengan UMNO, parti sekular lagi fasiq itu. Saya ingin bertanya Harussani Zakaria, ke mana dia melemparbuang Ayat 44, 45, 47, 48, 49 daripada Surah al-Maidah; dan Surah Ibrahim: 3? Tidak takutkan dia menjadi kafir atau zalim atau fasiq kerana bersekongkol dengan kerajaan UMNO yang tidak berhukum dengan hukum yang diturunkan oleh Allah SWT?

Saya berpandangan bahawa seorang ulama warith Nabi wajib senantiasa bersama-sama dengan jemaah yang jihadnya dan matlamat perjuangannya berasas, berpaksi dan bertunjangkan al-Quran dan al-Sunnah. Kalau tidak, ulama itu bukanlah ulama warathatulanbia'; lebih-lebih lagi apabila ulama itu memusuhi kumpulan jemaah Islam berkenaan, maka ulama yang sedemikian tidak syak lagi seorang ulama su' atau ulama jahat atau ulama benda.

Atas kapasitinya sebagai Mufti Perak, Harussani Zakaria wajib menumpukan sepenuh perhatiannya pada amanah dan tanggungjawab kemuftiannya secara khusus dalam negeri Perak Darul Ridhwan. Malangnya, dia gagal dalam amanah untuk mamastikan Permaisuri Perak dan keluarga Diraja Perak berpakaian menutup aurat. Tidak bimbangkah dia, suami mereka menjadi dayus, dan dia sendiri mungkin jatuh dayus juga. Sekiranya Harussani ulama Rabbani, dia sudah tentu meletakkan jawatan muftinya. Kalau tidak, nampak sangat malu dia kepada manusia mengatasi malunya kepada Allah SWT. Amanah wajib inilah yang wajib diutamakan, bukan mencampuri urusan PAS yang memang sudah benar itu.

Kalau Harussani merasakan dirinya itu ulama Malaki pada peringkat nasional, dia harus membuktikan peranannya yang berkesan, tetapi hingga ke saat ini setelah sekitar 20 tahun dia berpeluang memainkan peranan, kita tidak nampak sebarang rancangan besar bagi mengurangkan gejala jenayah pelbagai ragam yang melibatkan umat Islam Malaysia. Tiada juga program menjadikan umat Islam Malaysia umat yang bertaqwa kepada Allah sehingga menurut satu kajian, dikatakan sebanyak 80% orang Islam Malaysia tidak menunaikan solat secukup lima waktu dalam sehari dan semalam.

Industri hiburan dan media merupakan tsunami besar yang melanda masyarakat Islam Malaysia, terutamanya dalam kalangan remaja sehingga menjadikan mereka hilang arah dan kesesatan. Malapetaka inilah yang wajib dipedulikan oleh TS Harussani Zakaria daripada menyibuki urusan PAS. Saya fikir, PAS tidak memerlukan bantuan Harussani.

Saya mengakhiri tulisan saya ini dengan satu seruan balas kepada TS Harussani Zakaria agar dia kembali kepada Allah dengan mematuhi seruan Allah melalui Firman-Nya di dalam al-Quran, Surah Ali 'Imran: 92 yang bermaksud,"Kamu tidak akan memperoleh kebaktian/kebajikan sehinggalah kamu membelanjakan/menginfakkan/mensedekahkan apa-apa harta yang kamu sayangi."

Kalaulah Harussani mentaati seruan dan gesaan Allah SWT itu, dia tentu sudah bersara daripada jawatan Mufti semasa usianya 55 tahun, tetapi sebaliknya dia terus merampas hak orang lain dengan tidak melepaskan jawatan Mufti yang disayanginya itu selama sekitar 18 tahun hingga hari ini. Selama 18 tahun itu, berapa orangkah yang telah kehilangan hak masing-masing? Agaklah sendiri.

Sesungguhnya, Arahan Allah SWT mengatasi kehendak Sultan. Lagipun, seorang ulama Rabbani tidak harus berdampingan dengan Sultan/pemerintah, kecuali ulama itu mampu menguasai Sultan/pemerintah. Sebaliknya, sebagaimana lazim dan lumrah di Malaysia in, Sultan atau pemerintahlah yang menguasai Mufti. Kesimpulannya, hampir semua Mufti di Malaysia lebih malu kepada manusia daripada Allah SWT.

Semua pihak, terutamanya Tan Sri Harussani Zakaria, tolong maafkan saya. Saya ikhlas.

Tiada ulasan: