Aspan Alias
BN telah mengumumkan yang 49 peratus dari calon-calon Dewan Undangan Negeri adalah muka baru dan 30 peratus dari calon Parlimen merupakan calon-calon gantian untuk memantapkan prestasi parti itu dalam PRU yang akan datang. Beberapa Menteri Kabinet BN juga telah digugurkan, diantaranya ialah Rais Yatim dan Nor Mohammed Yakcop. Mohamad Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi akan bertanding di Kawasan DUN di Johor untuk menjadi Menteri Besar jika BN memenangi pilihanraya kali ini.
Tidak payah kita sebut siapa yang digugurkan dan siapa yang beralih kawasan dari Dewan Undangan Negeri atau Parlimen yang diumumkan oleh Pengerusi BN semalam. Isu yang saya hendak komen hari ini ialah tentang kebanggaan Najib menurunkan calon-calon yang berkelayakan akademik yang tinggi serta berpelajaran. Najib telah menurunkan calon-calon yang berpelajaran tinggi, setidak-tidaknya pemegang Diploma dan ke atas.
Pemilihan calon yang berpelajaran tinggi itu adalah wajar kerana tindakan itu sejajar dengan keadaan semasa dalam mana rata-rata rakyat telah berpelajaran. Tetapi yang dihadapi oleh UMNO sekarang ini bukannya masalah taraf akademik calon-calonnya. Dari dahulu sememangnya calon-calon dalam UMNO itu adalah dikalangan orang yang pandai-pandai belaka. Ada yang berpendidikan sehingga Doktor Falsafah, ada yang Doktor perubatan, ada akauntan dan berbagai-bagai lagi dari bidang professional dan separa professional yang hebat-hebat diletakkan sebagai calon.
Tetapi apabila mereka yang pandai-pandai ini menyertai UMNO, mereka dipengaruhi oleh budaya yang songsang dan buruk seperti rasuah dan berbagai-bagai lagi kesalahan undang-undang dan moral yang dilakukan oleh pimpinan BN. Keadaan itu bertambah meruncing dari masa ke semasa dan sekarang budaya buruk itu sudah tidak terkawal lagi. Pendeknya berpelajaran tinggi itu tidak dapat memperbaiki akhlak kepimpinan mereka setelah menyertai UMNO walau setinggi mana sekali pun taraf pelajaran mereka.
Mereka itu mungkin berpelajaran, tetapi kurang pendidikan. Seseorang yang berpelajaran tidak semestinya seorang yang berpendidikan. Seseorang yang berpendidikan baik itu akan mencakupi nilai moral yang selari dengan pelajarannya yang tinggi itu. Saya selalu berkata sebaik mana pun seseorang itu, apabila menyertai UMNO dan mendapat kedudukan, mereka akan lupa yang diri mereka telah belajar di menara gading tetapi sikap mereka seolah-olah seperti orang yang tidak pernah melalui pendidikan yang betul.
Apabila menyertai UMNO mereka akan menganggap yang buruk itu sebagai baik dan baik itu sebagai buruk, seolah-olah mereka ini adalah pembawa dalil hari hendak kiamat. Pendeknya mereka yang berpelajaran tinggi tidak mampu untuk menjadi seorang pemimpin yang terdidik.
UMNO sentiasa gagal untuk mengenengahkan mereka yang terdidik sejak tiga dekad yang lalu. Dalam UMNO ada yang berkelulusan bidang kejuruteraan sehingga PhD tetapi kita nampak dengan jelas kelulusan tinggi itu tidak mampu untuk menjadi orang yang mampu berfikir. Mendapatkan sarjana muda, atau sarjana serta doktor falsafah itu hanyalah untuk mengesahkan mereka telah lulus mata pelajaran dan module yang mereka pilih di menara gading itu. Tetapi matlamat sebenar kita masuk universiti itu ialah untuk belajar dan mendidik kita untuk berfikir dengan baik dan tahu membezakan yang mana satu yang bermoral dan yang sebaliknya.
Tetapi apabila bergiat dalam UMNO kemampuan mereka untuk berfikir semakin tumpul kerana budaya yang tidak membolehkan sesiapa bersuara dan memberikan pandangan yang bernas. Maka jadilah mereka perasuah dan penyalahguna kuasa yang besar apabila mendapat kuasa mandat rakyat itu untuk bersama membina budaya membina kepentingan dan kekayaan peribadi dan keluarga mereka. Sepatutnya jika seseorang itu telah berjaya untuk berfikir mereka tidak akan tergamak melakukan rasuah dan kerja-kerja hina yang lain itu.
Maksudnya jika kita berjaya untuk berfikir, maka gejala buruk akan terhindar dari diri mereka. Pemimpin yang benar-benar terdidik tidak akan sanggup melakukan rasuah kerana mereka akan merasakan malu yang amat sangat hasil dari didikan dan berfikir secara orang yang berpendidikan tinggi.
Saya ingin mengulangi yang berpelajaran itu tidak semestinya yang terdidik. Jika kita hanya berpelajaran belum tentu kita akan melakukan kerja yang baik-baik. Hanya yang terdidik sahaja yang boleh diberikan keyakinan, bukan kepada yang hanya berpelajaran. Senarai calon-calon yang dikatakan sebagai barisan yang berpelajaran itu tidak akan membawa apa-apa perubahan selagi budaya rasuah dan mementingkan keuntungan peribadi itu tidak dihapuskan dalam UMNO. Keadaan dalam UMNO itu akan tetap sama. Jika UMNO masih diberikan mandat ia tetap seperti biasa yang kita alami sekarang ini. Salah laku itu akan tetap berlaku, hanya yamg menjadi pelakunya itu orang yang berlainan sahaja.
Selalunya yang terdidik itu akan mempunyai nilai etika, bermoral tinggi dan lebih lagi ada agamanya dan meng’addin’kan agamanya dalam pentadbiran dan politik mereka. Yang terdidik itu selalunya akan melakukan segala-galanya dengan beriktikad untuk melakukan fardhu kifayahnya sekali kerana dengan fardhu kifayah itulah yang akan membuka jalan kearah keredhaan Tuhan dalam semua tindak-tanduk kita.
Pemimpin yang terdidik dengan didikan yang benar, mereka akan ada sifat malunya untuk melakukan kerja rasuah dan sebagainya. Merasa malu pada diri sendiri itulah yang mampu membendung kita dari melakukan kerja terkutuk seperti rasuah, membunuh serta dosa dan noda yang lain.
Walau apa pun, UMNO akan berpecah dan kita akan saksikan bersama-sama semua yang akan berlaku dalam UMNO itu. Tamat sahaja pengumuman calon nanti, kita akan lihat perpecahan itu berlaku dengan cepat dan deras di mana-mana.
Malahan ia telah pun berlaku di beberapa tempat di Selangor dan di Perak di mana ahli-ahli UMNO telah berkumpul dan berarak menentang calon yang di tonjolkan oleh pucuk pimpinan parti.
Benar, bermula hari ini UMNO akan berpecah. Dr Mahathir bolehlah saksikan apa yang beliau telah wariskan kepada pimpinan-pimpnan selepas beliau. Segala-galanya bermula dari kerja beliau memecah dan memerintah rakyat semasa mentadbir negara dahulu.
Sekarang beliau boleh saksikan puas-puas. Kehendaknya telah tercapai sepenuhnya. Dr Mahathir boleh tidur lena sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan