Shahbudin Husin
Disebalik keghairahan Najib mahu menawan kembali Selangor daripada PR dalam pilihanraya akan datang ini, isu siapa bakal menjadi MB masih menjadi persoalan dan percakapan ramai. Disinari gemerlapan sebagai negeri yang termaju dalam Malaysia, UMNO Selangor juga diselubungi ketandusan pemimpin-pemimpin muda yang berbakat, berwibawa dan bersih imejnya sehingga UMNO kelihatan sukar memilih calonnya yang mutlak untuk jawatan itu.
Walaupun masih ada Noh Omar selaku menteri pusat dan Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Zin Mohamed selaku Penyelaras BN Selangor dan Satim Diman sebagai Ketua Pembangkang di DUN Selangor, tetapi mereka ini pula tidak pernah sunyi daripada pelbagai isu dan masalah yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan wibawa UMNO itu sendiri untuk menerajui negeri itu.
Sebaik Najib mengambil alih kepimpinan UMNO, beliau sendiri menyedari hakikat itu. Sebab itu beliau sendiri mengambil tanggungjawab menerajui UMNO Selangor dan mengenepikan pemimpin dari negeri Selangor. Kini beliau juga menjadi pengarah pilihanrayanya. Meskipun Najib juga sarat dengan pelbagai isu dan masalah, harapannya ialah kedudukannya sebagai Perdana Menteri mampu membawa angin baru kepada UMNO dan BN Selangor.
Sebagai negeri yang terkaya, Selangor adalah umpama gadis pingitan yang sentiasa menjadi rebutan. Masih mengekalkan kuasa di Putrajaya tapi tidak memiliki Selangor, tidak memberi banyak makna kepada UMNO dan BN. Sebab itu, Najib, selan mahu mengekalkan Putrajaya, matlamatnya juga ialah mengembalikan Selangor ke tangan UMNO.
Sementara Khalid tampak gemilang dengan pelbagai cerita kejayaan masa silamnya semasa mengetuai PNB dan kemampuan meningkatkan rizab tunai Selangor melebihi RM2 billion, UMNO pula selepas 2008 digerhanai dengan kes bekas MB Selangor yang didakwa atas tuduhan rasuah. Semua ini menjadikan UMNO tambah kelihatan suram di mata rakyat.
Menjelang pilihanraya ini dan di mana keghairahan Najib mahu menawan Selangor masih membara, isu siapa bakal MB Selangor jika UMNO kembali berkuasa terus menjadi persoalan. Ada beberapa nama yang timbul tenggelam dan disebut-sebut sebagai bakal MB Selangor, tetapi siapa saja yang disebut, nampak macam ada saja masalahnya.
Selain Noh Omar dan Zin Mohamed yang paling kerap disebut sebagai pilihan Najib, beberapa nama lain seperti Ezam Mohamed Nor, Rozali Ismail, tauke air Syabas dan FD Iskandar, Bendahari UMNO Selangor dan lebih dikenali melalui syarikat pemaju hartanah, Glomac Berhad juga disebut sama.
Bagaimanapun nama Ezam dan Rozali sudah lama tidak disebut dan kini sudah pun tercicir dari persaingan. Beberapa hari menjelang hari penamaan calon ini, nama Noh dan Zin juga dikatakan sudah hampir pasti tercicir dari persaingan menduduki kerusi MB Selangor itu. Kedua-dua mereka difahamkan akan kekal bertanding di Parlimen Tanjung Karang dan Sepang, dan akan diberikan jawatan menteri jika BN mampu kekal berkuasa di Putrajaya. Ezam akan terus menyambung peranan senatornya manakala Rozali tidak akan bertanding di mana-mana kerusi DUN mahupun Parlimen.
Najib kini dikatakan mempunyai pilihan yang hampir muktamad sebagai calon pilihannya sebagai MB Selangor jika UMNO kembali berkuasa. FD Iskandar yang merupakan Bendahari UMNO Selangor sejak empat tahun lalu, adalah satu-satunya calon dalam perkiraan Najib sekarang ini.
Selain masih muda, berketrampilan dan kaya-raya melalui Glomac yang diasaskan oleh ayahnya FD Mansor, beliau kini sudah hampir pasti akan bertanding di salah satu DUN Selangor dan akan diangkat menjadi MB jika majoriti kerusi kemenangan memihak kepada BN.
Mekipun Najib kelihatan bekerja kuat dan bersungguh-sungguh mahu menawan Selangor, pemilihan FD Iskandar ini tidak juga mengundang sokongan yang bulat daripada pemimpin dan ahli UMNO sendiri. Ini kerana ramai pemimpin dan ahli UMNO sendiri nampak keberatan untuk menyokong tokoh korporat dan pemaju hartanah terkenal itu sebagai calon MB Selangor akan datang kerana kedudukannya yang lebih dikenali sebagai ahli perniagaan berbanding ahli politik.
Ramai yang berpendapat, dalam keadaan sekarang Najib seharusnya memilih orang politik berbanding tokoh korporat untuk menerajui Selangor, tambahan pula Glomac banyak terlibat dalam pembangunan hartanah di Selangor juga. Sudah tentu kata mereka, jika beliau menjadi MB Selangor, keutamaannya adalah Glomac dan bukannya membantu ahli dan pemimpin UMNO peringkat bawahan.
Ada juga yang berpendapat, meskipun imej UMNO tercalar dengan dakwaan rasuah Khir Toyo dan ramai pula yang keberatan untuk menyokong BN jika Noh Omar atau Zin Mohamed yang ditonjolkan sebagai bakal MB atas beberapa masalah tertentu, namun sebenarnya UMNO Selangor juga tidaklah ketandusan sama-sekali pemimpin yang sesuai untuk menerajui negeri itu. Sekadar menyebut beberapa nama, mereka menyebut nama Nawawi, Shukor Idrus, Subahan Kamal dan Johan Abd Aziz adalah antara beberapa tokoh pelapis yang boleh diketengahkan jika Najib mahu memilih orang politik untuk menerajui Selangor.
Selain kalangan ADUN yang ada sekarang, di kalangan pemimpin UMNO peringkat bahagian juga dikatakan masih ramai yang berwibawa untuk ditonjolkan berbanding risiko memilih FD Iskandar bagi jawatan itu.
Selain kedudukannya sebagai ahli perniagaan dan kemungkinan lebih mengutamakan syarikatnya sendiri, FD Iskandar juga dilihat tidak mempunyai kemesraan dengan ahli-ahli UMNO peringkat bawahan. Beliau dikatakan agak memilih dalam berkawan dan lebih suka ke mana-mana sendirian. Mereka bimbang jika sudah menjadi MB nanti, kemesraan dan kesanggupan beliau merendah diri dengan rakyat dan ahli UMNO akan lebih terhalang lagi.
Baik di kalangan pemimpin dan ahli UMNO, soses-sosek tidak bersetuju dengan pemilihan FD Iskandar ini sudah semakin banyak kedengaran kebelakangan ini dan mereka mahu agar Najib mempertimbangkan semula keputusannya itu. Difahamkan juga, sudah ada pemimpin tertentu yang memberitahu perkara itu kepada Noh dan Zin untuk disampaikan kepada Najib dan risiko kalah juga lebih berkemungkinan berulang lagi.
Sama ada Najib mahu mengubah atau kekal dengan pendiriannya, hakikatnya sosek-sosek ini jika tidak ditangani dan diselesaikan dengan sebaiknya, ia tentunya boleh menjadi protes senyap yang akhirnya menggagalkan hasrat mahu menawan negeri itu. (SH 14/04/2013)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan