"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Borang ahli Mat Taib belum diterima

Jamilah Kamarudin 
KUALA LUMPUR: PAS nafi pihaknya sudah menerima borang permohonan daripada Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib untuk menyertai parti itu.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu @ Mat Sabu berkata, perkara itu belum sampai kepada pengetahuan pemimpin tertinggi PAS Pusat.

“Ini spekulasi. Saya tak tengok borang dia lagi jadi kami masih tak bincang apa-apa pun lagi,” katanya kepada FMT di sini hari ini.

Semalam, beberapa laman blog melaporkan Muhammad yang dikenali sebagai Mat Taib atau nama timangannya Mike Tyson menyertai PAS selepas menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Harun Din di Bangi.

Sementara pengisytiharan rasmi akan dilakukan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada malam ini, menurut laporan blog.

Mat Sabu ketika ditemui bagaimanapun enggan mengesahkan laporan tersebut.

Namun beliau berkata PAS tidak pernah menutup pintunya kepada mana-mana individu yang berminat menyertai PAS termasuk bekas pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN).

“Sedangkan (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) pun kita terima…tunggu (pengumuman) 22 haribulan ni di Bangi,” katanya.

Spekulasi timbul selepas bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub memberi bayangan akan ada bekas Menteri Besar daripada Utara Semenanjung menyertai PAS dalam masa terdekat.

Digelar ‘Bapa Pembangunan Selangor’, Muhammad memegang jawatan Menteri Besar Selangor ke-11 pada tahun 1986 selama 11 tahun.

Namun pada 11 April 1998, Mohammad meletakkan jawatan Menteri Besar setelah Mahkamah Majistret Brisbane memutuskan beliau bersalah kerana membawa keluar wang tunai sebanyak RM2.4 juta ke Australia.

Beliau ditahan di Lapangan Terbang Brisbane, Australia pada 16 Disember 1996 kerana tidak mengisytiharkan wang milik adiknya untuk membeli tanah di Queensland .

Beliau kemudiannya dilantik menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah selain memegang jawatan Ketua Penerangan Umno pada tahun 2008.

Tiada ulasan: