"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib Bogelkan Terengganu- Undi Kami Bukan Untuk BN.

lidahbenar

Muka kami engkau ludah, hasil kami engkau rompak,

Kebajikan kami engkau persetankan, tahi dan lumpur engkau palitkan.

Undi kami bukan lagi untuk Barisan...

Isu penemuan minyak di blok PM307-Bertam mungkin telah tenggelam dek vidéo-video hebat yang tersiar hasil kepakaran manusia yang mensyukuri kelebihan yang dikurniakan kepada diri mereka. Namun lidah benar bangkitkan kembali isu Bertam kerana ini salah satu kayu pengukur terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN). Inilah penghargaan serta anugerah yang BN telah kurniakan terhadap Terengganu.

Rakyat Terengganu Ibarat Nyamuk.

Bagi PEMANGKU jawatan Perdana Menteri Malaysia sekarang, suara rakyat Terengganu ibarat bunyi bingit nyamuk yang mendatang. Meskipun desakan demi desakan, tuntutan demi tuntutan dibuat bagi mengembalikan HAK rakyat Terengganu, namun segalanya seperti usaha mencurah air ke daun keladi. Keegoan, kezaliman serta kerakusan pemimpin mengaburi keadilan. Murahnya maruah rakyat Terengganu apabila hasil negeri kurniaan Tuhan terhadap bumi Terengganu, dirampas sementah-mentahnya. Namun mereka lupa pada sejarah. Jatuhnya kerajaan Namrud adalah kerana nyamuk.

Bertam-Bukti Kerajaan BN Terengganu gagal membela hak Terengganu.

Sungguhpun Menteri Besar Terengganu pada awalnya lantang bersuara namun kedegilan Kerajaan Pusat mengatasi kuasa kerajaan negeri. Kes Bertam membuktikan kerajaan BN Terengganu gagal membela nasib rakyat Terengganu dan hanyalah Boneka UMNO kerana pada akhirnya, kepimpinan BN Terengganu perlu akur dan tunduk terhadap ''Raja dan Permaisuri'' yang memerintah. Kami sebagai rakyat Terengganu terasa dipinggirkan, dipermainkan serta dihina dengan jijiknya oleh pemimpin negara serta kerajaan Barisan Nasional. Terima kasih Najib kerana membogelkan maruah kami!

Pembangunan Terengganu bukti ketelusan BN?

Sejarah Terengganu menyaksikan Pas dan BN pernah memerintah di negeri ini, namun pemerintahan kerajaan Pas hanyalah bertahan selama 5 Tahun. Selama pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, dimanakah pembangunan yang disumbangkan selaku negeri pengeluar minyak? Jutaan ringgit dibazirkan untuk penganjuran pesta Monsoon Cup. Benarkan Monsoon Cup itu menyumbang kepada pembangunan negeri? Atau sekadar menjadi syarat untuk mengenyangkan perut kroni-kroni untuk projek yang berkaitan? Apakah yang rakyat Terengganu nikmati sepanjang pemerintahan BN? Hanya tahi dan lumpur. Yang besar temboloknya bukanlah rakyat, tetapi rumah pemimpin-pemimpin serta kereta mereka yang semakin besar saiznya saban tahun. Ya, pembangunan itu ada tapi pada Stadium yang runtuh dan masih gagal dibangunkan sehingga ke hari ini. Oh ya, terima kasih kerajaan BN. Tanpa kerajaan BN, kami tidak akan mempunyai Zoo!!

PRU-13, kami akan hukum kerajaan BN.

Kepada kerajaan BN, kami rakyat Terengganu, kami sapu lendir yang diludahkan ke muka kami. Kami angkat tangan kelangit sebagai rakyat yang dizalimi. Jangan mimpi untuk menjejak kaki ke negeri kami sebagai pemerintah. Negeri kami bukan lagi untuk dizalimi.. Kuasa rakyat kuasa keramat. Kami akan bangkit menentang menuntut hak. Undi kami bukan untuk BN. Kepada rakyat Terengganu, kembalikan maruah yang dihina. Sedarlah bahawa selama ini, peluh rakyat Terengganu hanyalah untuk membajai kekayaan BN dan kroninya yang kini lena kekenyangan..

1 ulasan:

otaistillkick berkata...

yang pasti perang gerila sesama bn / umno bermula

http://relaxkedaikopi.blogspot.com