Harakahdaily
KUALA LUMPUR: PAS percaya DAP akan dibenarkan menggunakan lambang Roket untuk bertanding dalam PRU13, dalam penamaan calon hari ini selepas Umno-BN melihat perkara itu telah menjadi senjata makan tuan.
Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali (gambar) yang dihubungi Harakahdaily berkata segala tindakan yang diambil oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) adalah bermotifkan politik semata-mata.
“Reaksi rakyat terhadap isu ini adalah di luar jangkaan Umno-BN. Maka, hasrat itu bakal terbatal. Senjata sudah makan tuan. Saya menjangkakan DAP akan dibenarkan menggunakan simbol Roket untuk bertanding – keputusan ini juga bermotifkan politik,” kata beliau.
Mustafa berkata sekiranya betul calon-calon DAP tidak dibenarkan untuk menggunakan simbol Roket pada penamaan calon hari ini, ia adalah satu malapetaka kepada sistem demokrasi negara.
“Keputusan yang dibuat di saat-saat akhir ini begini telah menimbulkan persepsi bahawa Umno-BN akan menggunakan segalanya, termasuk agensi kerajaan untuk mengelakkannya dari tumbang,” tegas beliau.
Jika pelan jahat terhadap calon-calon DAP diteruskan juga, Mustafa berkata kerajaan sementara Umno-BN bakal berdepan dengan kemarahan rakyat, yang rata-ratanya menginginkan satu pertandingan yang adil antara Pakatan Rakyat.
Sementara itu, penganalisa politik Bridget Welsh turut berkata Umno-BN tersilap langkah dalam mempermainkan DAP menggunakan RoS pada saat-saat akhir menuju garisan penamat.
(Sidang media DAP di Pulau Pinang malam tadi)
“Mereka salah percaturan. Mereka memandang rendah keinginan rakyat untuk melihat satu pertandingan yang adil dan seimbang dan bukannya berat sebelah,” kata Bridget dalam tulisannya di Malaysiakini.
Semalam, Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng berkata partinya terpaksa menggunakan lambang PAS dan PKR setelah barisan kepimpinannya tidak diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan yang menyebabkan surat watikah calon tidak boleh dikeluarkan untuk calon-calon DAP.
Atas sebab itu, DAP terpaksa menggunakan simbol PAS di Semenanjung dan simbol PKR di Sabah dan Sarawak.
Berdasarkan janji SPR, kata Guan Eng, logo Roket boleh digunakan, semua calon-calon DAP akan diberikan dua surat watikah.
"Satu surat watikah untuk gunakan simbol Roket. Jika mereka menolak, kita akan gunakan surat watikah PAS yang menggunakan simbol bulan," beritahu Guan Eng.
Menurut Guan Eng, pihaknya telah menerima semua surat watikah dari PAS yang ditandatangani oleh Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan