Harakahdaily
KUALA LUMPUR: DAP terpaksa menggunakan lambang parti rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat jika Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak menarik balik suratnya dua hari lepas menjelang jam 3 petang ini.
Ini kerana, dengan tidak mengiktiraf barisan kepimpinan DAP yang ada bermakna tidak ada pemimpin DAP yang layak mengeluarkan surat kuasa kepada calon-calon DAP untuk bertanding.
"Dengan tidak mengiktiraf kepimpinan DAP yang dipilih oleh perwakilan pada 15 Disember 2012 lalu, saya tidak mempunyai kuasa sebagai Setiausaha Agung untuk mengeluarkan sebarang surat kuasa kepada calon-calon DAP untuk menggunakan simbol roket," kata Lim Guang Eng, Setiausaha Agung DAP dalam kenyataannya yang dikeluarkan selepas mesyuarat tergempar DAP semalam.
Lim Guan Eng serta Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam teresak-esak menangis ekoran tindakan yang tidak wajar ini. Bagi banyak pihak, ini adalah pukulan 'bawah pinggang' (bellow the belt) sebagaimana tindakan mengedarkan video lucah ke atas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.
Menurut peraturan SPR, setiap parti perlu mengesahkan calon-calon yang bertanding mewakili parti masing-masing.
Surat-surat ini hendaklah dikemukakan semasa penamaan calon esok, 20 April.
Tanpa surat kuasa ini bermakna semua calon DAP tidak boleh bertanding atas tiket DAP yang menggunakan lambang roket.
Pengerusi SPR berkata, DAP tetap boleh bertanding kerana pendaftaran parti itu tidak dibatalkan.
Namun dengan tidak ada surat kuasa ini, bagaimana calon-calon DAP hendak bertanding di atas lambang DAP itu.
Malaysiakini hari ini melaporkan, ROS sedang berbincang bagaimana mahu bertindak ekoran permintaan DAP semalam yang menetapkan ROS perlu menarik balik suratnya menjelang jam 3 petang ini.
“Kami akan buat apa yang sepatutnya selepas ini,” Kata Ketua Pengarah ROS, Abdul Rahman Othman
Jika ROS tidak menarik balik atau membatalkan surat itu, kesemua calon DAP di Semenanjung akan menggunakan lambang PAS manakala di Sabah dan Sarawak lambang PKR.
Di Pejabat Agung PAS, kakitangan PAS telah menyiapkan semua surat kuasa penggunaan lambang PAS oleh calon DAP.
Ia ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.
"Perkara ini telah dibincangkan beberapa minggu sebelum ini dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang tak ada masalah dengan perkara ini, " kata Mustafa semalam.
Para pemimpin DAP, PAS dan PKR semalam menyatakan, tindakan ROS menghantar surat 48 jam sebelum hari penamaan calon adalah agenda jahat BN untuk menyusahkan mereka.
"48 jam sebelum penamaan calon, sepatutnya kami tidak berada dalam sidang media ini. Kami harus membuat persiapan terakhir untuk penamaan calon tapi kerana tindakan ROS, kami terpaksa buat mesyuarat tergempar.
"Atas semangat kekitaan, PKR bersedia memberi laluan kepada DAP di Sabah dan Sarawak untuk guna lambang PKR," kata Datuk Saifudin Nasution Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan