"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AZMIN Kena Belajar Amalkan Teorinya Sendiri

wfauzdin 
TAHNIAH, Pakatan Rakyat Selangor telah buat keputusan melantik bekas MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk terus menerajui Kerajaan Negeri Selangor. Keputusan ini adalah hasil tolak ansur dari rakan-rakan Pakatan Rakyat terutamanya dari PAS yang memiliki lebih Kerusi Dun di Selangor berbanding PKR tetapi bersetuju untuk meneruskan khidmat Tan Sri Khalid Ibrahim, begitu juga dengan DAP yang memiliki Kerusi terbanyak di Selangor

Aku juga menghormati pendirian Azmin Ali tentang isu MB Selangor ini jika mengikut formula atau teorinya iaitu MB Selangor dari PKR mestilah melalui Pejabat PKR Negeri atau Majlis Pimpinan Negeri Selangor. Ertikata lain, tidak ada jalan lain untuk meletakkan calon MB dari PKR tanpa melalui saluran parti di negeri tersebut. Itu teorinya. Aku yakin nama Tan Sri Khalid Ibrahim tiada di dalam senarai calon MB Selangor yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat PKR Negeri Selangor. Calonnya aku percaya adalah Azmin Ali sendiri.

Retoriknya pula, bagaimana dengan banyak kes di serata negeri, senarai calon termasuk calon Dun ditentukan oleh JPRP (Jabatan Pilihanraya Pusat) yang diketuai oleh Azmin sendiri? Apa yang kita faham senarai calon Parlimen, JPRP boleh tentukan atau ada hak untuk memilih calon-calon yang mereka fikir layak, tetapi untuk calon Dun, sepatutnya kuasa menentukan calon lebih wajar diberikan kepada Pengerusi MPN atau Biro Politik Negeri untuk menentukannya. Malangnya, ada kes calon Dun pula 'datang dari belakang' tanpa melalui Ibu Pejabat Negeri sendiri. Ertikata lain, ada calon Dun menggunakan 'kabel' dari JPRP yang diketuai oleh Azmin dan beberapa orang kuncu-kuncunya.

Adakah formula Azmin yang dinyatakan di dalam Sidang Medianya pagi tadi (Jumaat) dipraktikkan oleh Azmin sendiri? Jika kuasa MPN dirampas oleh JPRP, mengapa perlu risau jika Presiden menggunakan kuasanya menentukan MB Selangor? Bukankah Tan Sri Khalid Ibrahim telah menunjukkan prestasi yang baik dan cemerlang sebagai MB Selangor, justeru itu rakyat memberikan sokongan berlipat kali ganda kepada PR di dalam PRU 13 baru-baru ini? Apatah lagi DAP dan PAS juga turut berkenan dan menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor. Sepatutnya kita sebagai ahli-ahli PKR amat gembira dengan sokongan DAP dan PAS kepada PKR biarpun kita memiliki Kerusi yang terendah di Selangor.

Sehubungan itu, Azmin Ali boleh lupakan teorinya buat sementara waktu sehingga beliau juga boleh beramal dengan teori atau formulanya sendiri.

Tiada ulasan: