"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa Ahmad Maslan pilih perkataan ‘meliwat’?

Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Orang berkata penggunaan bahasa melambang watak dan keperibadian seseorang.

Mungkin itulah yang ingin dicerminkan oleh Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Umno hari ini dalam tulisannya di Utusan Malaysia yang bertajuk: “Jangan ‘meliwat’ fikiran rakyat”.

Dalam artikelnya, Ahmad menekankan bahawa himpunan aman dan demonstrasi jalanan tidak wajar disalahgunakan, sebaliknya bantahan terhadap proses pilihan raya hendaklah dibuat menerusi petisyen pilihan raya.

Sambil mengakui bahawa BN tewas undi popular di tangan Pakatan Rakyat, Ahmad berkata sistem pilihanraya negara mementingkan jumlah kerusi yang dimenangi.

“Oleh itu, pembangkang yang sering mendakwa mereka pandai dan layak memerintah sepatutnya faham undang-undang negara ini dan jangan memalukan diri sendiri. Jangan 'meliwat' pengetahuan dan akal sendiri. Malulah dan hormatilah rakyat.

“Setiausaha SPR, Datuk Kamarudin Baria menjelaskan, BN berjaya meraih 47% undi popular, manakala PKR 20.0%, DAP 15.4% dan Pas 14.5% (jika dijumlahkan hanya 49.9%),” kata beliau.

Namun bagaimana pengetahuan dan akal boleh ‘diliwat’ hanyalah Ahmad yang mengetahuinya.

Sebelum ini, Ahmad turut menimbulkan kontroversi apabila mengaku menonton video lucah yang diledakkan oleh Datuk T bersama isterinya.

“Apa yang telah disahkan oleh (Datuk Shazryl) Eskay adalah benar dan siapa yang melihat video itu mengaku ia adalah benar. Ya, saya tonton dengan isteri saya,” kata beliau.

Mengenai dakwat kekal yang tidak kekal, Ahmad berkata BN memberikan sokongan penuh kepada nasihat profesional pakar-pakar di Kementerian Kesihatan dan keputusan SPR untuk mengutamakan dan melindungi pengundi daripada bahaya kanser dan penyakit buah pinggang akibat kandungan bahan silver nitrat yang tinggi.

“Kadar itu memadai untuk membolehkan dakwat itu kekal 30-70% di jari pengundi selama 10 jam. Untuk kekal lebih lama, kadar sodium nitrat perlu ditambah, tetapi risiko pengundi mendapat kanser akan lebih tinggi,” kata beliau.

Namun begitu, Maslan tidak mengulas mengapa SPR sendiri memberi jaminan dakwat kekal akan tahan tujuh hari, terutamanya untuk para pengundi awal.

Dan lebih teruk lagi, mengapa alasan sedemikian tidak dimaklumkan kepada rakyat sebelum tarikh mengundi bagi pengundi awal dan hari mengundi?

Tepuk dada tanya iman sendiri.

Tiada ulasan: