"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Memali dikunjungi semula

ADAM A KADIR
Adam A KadirSAYA berkesempatan bertugas di bawah semua perdana menteri, sejak zaman Tunku Abdul Rahman hinggalah sekarang, era Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Di satu pihak, saya sebagai staf = kerajaan, dan di satu pihak lagi, sebagai ahli politik dan berjawatan politik.
Untuk tiba ke waktu kini, satu usia yang agak panjang perlu diizinkan ALLAH. Namun begitu, kepanjangan usia ini adalah relatif: ramai lagi mereka yang berusia lebih panjang. Lebih banyak garam yang dimakan! Antara mereka ialah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Musa Hitam.

Suatu ketika, mereka menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri. Tidaklah diketahui siapa yang memulakannya, tetapi media tiba-tiba menggunakan ungkapan ‘Pentadbiran Dua M’ untuk memerikan kepimpinan mereka dalam kerajaan, menurut urutan nombor 1 dan 2. Apabila urutan itu pecah dalam tahun 1986, tentunya negara tertanya-tanya, kenapakah gerangannya?

Tanpa jawapan yang persis dan nyata, maka banyak spekulasi yang timbul. Dengan menggunakan pemikiran Inggeris, hubungan politik mereka ketiadaan kimia. Tidak cocok, kata orang Indonesia.

Tidak sebulu, kata kita. Namun begitu, tanya ahli-ahli politik yang berwibawa, mereka berasa malu untuk mengaku bahawa mereka tidak sesuai dengan si itu dan si ini, meskipun ia betul. Mereka suka mengatakan mereka boleh bekerja dengan sesiapa pun.

Pengakuan ini membayangkan satu keperibadian dan perwatakan bulat yang boleh menyesuaikan diri dengan sesiapapun. Begitulah kualiti seorang ahli politik yang berjaya, selaras dengan pengertian: ‘tiada musuh yang kekal dalam politik. Yang kekal ialah kepentingan bersama.’ Justeru, apabila Dr M dan Musa sudah pecah ruyung sedemikian rupa, ia seolah-olah bererti kepentingan bersama sudah tidak ada lagi.

Menggunakan istilah filem dan drama TV, kita ‘flash forward’ kepada waktu sekarang. Akhir-akhir ini timbul soal Memali, sekurang-kurangnya di media sosial. Media ini sudah menjadi sesuatu yang senang diikuti. Sering apa yang tersiar di media ini menjadi topik perbualan yang menunjukkan maklumat asasnya sudah diketahui daripada komputer. Jarang sekali berita hangat daripada media cetak dan elektronik (tv dan radio) menjadi topik begitu.

Dalam satu petikan, Musa menceritakan bagaimana beliau mengendalikan tragedi Memali. Suara dan wajahnya mencerminkan Memali ialah satu episod yang menyedihkan dan ia bukan selari dengan darah dagingnya. “Memali menjadi satu titik hitam dalam sejarah hidup saya,” kata Musa.

Tugasnya sebagai Menteri Dalam Negeri waktu itu ialah mengarahkan agar ‘keselamatan’ (security) diutamakan dan ‘kekerasan’ (violence) tidak diberikan toleransi. Pelaksanaannya dijalankan oleh pihak polis di peringkat pusat dan lokal. Selepas memerikan segala itu, beliau sebagai menteri yang berkenaan menerima tanggungjawab (responsibility) dan tantangan (accountability).

“Nyata sekali, peristiwa Memali itu berlaku di Kedah. Disebabkan ia amat sensitif, saya meminta Dr Mahathir supaya jangan pergi ke negara China. Beliau lebih faham kerenah dan politik Kedah,” tegas Musa.

Dr M memberikan versinya pula. “Saya tak ingat beliau meminta saya jangan pergi, tetapi saya ingat beliau berada di lapangan terbang menghantar saya pergi dan mengucapkan selamat berjaya,” katanya. “Bagaimanapun, saya yakin kepadanya dan saya sudah lantik dia sebagai Pemangku Perdana Menteri.”

Walau apa pun, ia sudah berlaku dan tidak akan berubah lagi, biarpun cakerawala dan bintang berlaga di angkasa.

Kita menjadi lebih bijak selepas sesuatu kejadian berlaku. Andainya aktivis-aktivis Memali itu dibiarkan terkepung di kawasannya berminggu-minggu malah berbulan-bulan tanpa bekalan makanan dan keperluan asas yang lain, apa akan terjadi? Dua kemungkinan. Satu, mereka akan moyot kelaparan dan keluar mencari makan minum, ertinya menyerah diri. Dua, mereka sanggup mati ‘demi jalan ALLAH’.

Jika begitulah akhirannya, tidaklah timbul soal-soal peribadi dan jawatan seperti yang Tun Musa lahirkan itu. Saya terkenang perang Iraq 2003 yang dipaksakan oleh AS kepada negara Arab itu.

Selepas berlaku pelbagai kekejaman, AS terpaksa melakukan otopsi atau penyiasatan rapi. Ramai yang didapati bersalah dan dihukum. Jeneral pemerintah AS di Iraq, Jeneral No. 1 di Washington dan Presiden AS George W Bush selaku Panglima Utama Angkatan Bersenjata AS, yang sepatutnya bertanggungjawab, tidak dikaitkan dengan apa-apa kesalahan. Malah mereka melahirkan kekesalan dan mengecam para pesalah. Tidakkah mungkin ini dilakukan terhadap peristiwa Memali?

Ikut cara AS. Benar atau salah di dunia kini ditentukan oleh AS.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat
-sinarharian-

Tiada ulasan: